Oleh Mahhass
Hampir setiap kanak-kanak diperdengarkan dengan kisah-kisah dongeng, hikayat atau fairy-tales tidak kiralah sewaktu hendak diulit tidur mahupun ketika di sekolah atau bersama kawan-kawan. Jadi sudah tentunya masing-masing punya imaginasi tersendiri kerana itulah sifat lazim yang ada pada kanak-kanak.
Tetapi, bagaimana jika kita masih lagi asyik diceritakan kisah-kisah sebegini walaupun sudah melangkah jauh meninggalkan alam kanak-kanak? Persoalan inilah yang menjadi tunjang filem Big Fish yang diadaptasi oleh John August dari novel "Big Fish" karya Daniel Wallace.
Big Fish diarahkan oleh Tim Burton yang sebelum ini terkenal dengan filem-filem fiksyen fantasi seperti Batman Returns, Planet of The Apes, Mars Attack!, Edward Scissorhands dan sebagainya. Namun, filem beliau kali ini bukanlah fiksyen aksi, tetapi lebih bersifat fantasi serta imaginasi dalam sebuah 'realiti'.
Filem ini menampilkan protagonis yang penuh 'bernyawa' hasil lakonan Albert Finney sebagai Edward Bloom dikala tua dan lakonan Ewan McGregor sewaktu masih muda remaja (yang digambarkan dalam naratif literalnya).
Dari saat kecil hinggalah ke dewasa, Edward bercerita 'kisah hidup' beliau kepada anaknya Will Bloom (lakonan Billy Crudup), iaitu kisah-kisah yang seringkali membuatkan Will 'resah' dalam membezakan yang mana satu realiti dan fantasi ataupun yang mana boleh dipercayai dan yang mana terlalu mustahil.
Will menemui kemucak 'kebosanan'nya dihari perkahwinan beliau (oleh sebab ayahnya masih lagi bercerita kisah 'ikan'nya pada tetamu majlis), lantas mengambil keputusan untuk menjauhkan diri dari ayahnya (tiga tahun lamanya).
Sehinggalah Will mendapat berita yang ayahnya telah jatuh sakit akibat kanser, dan akhirnya menyaksikan Will pulang jua menemui ayahnya semula yang sedang terlantar. Tetapi, itu bukan 'cerita' yang menjadi kekuatan filem ini. Apa yang menarik ialah 'imaginasi' Will itu sendiri terhadap antologi ayahnya yang selama ini dianggap terlalu 'mustahil' untuk dipercayai.
Kisah insan bernama Edward Bloom ini dipaparkan dengan penuh orna-orna fantasi. Kisah-kisah 'superhero' ini adakalanya mengingatkan saya pada filem Forrest Gump tetapi agak berbeza kerana penceritaannya lebih berbentuk khayalan.
Saya amat tertarik dengan kisah persahabatan Edward dengan 'Gergasi'. Begitu juga sewaktu bibit-bibit pertemuan beliau dengan Sandra yang begitu romantis sekali dibayangkan oleh Will. Maka, patutlah amat sukar bagi Will untuk sekurang-kurangnya berkata 'Ya' terhadap apa jua cerita-cerita 'waktu tidur' yang kononnya mitologi ayahnya. Di akhir babak, saya tersenyum sendirian kerana begitu jauh sekali imaginasi anaknya (Will) itu dalam membayangkan kisah ayahnya.
Skor musiknya (yang juga dinominasikan di Oscar 2003) saya kira begitu cocok sekali dengan tema filem ini ditambah dengan paparan visual yang membuatkan kita turut sama 'keriangan' di alam fantasi realiti ini. Tim Burton sekali lagi mempertontonkan kepakarannya dalam genre sebegini.
Saya tidak dapat untuk mengatakan 'tidak' untuk filem ini. Filem ini bagi saya begitu menyeronokkan, menghiburkan malah menyentuh perasaan (mungkin tidak bagi sesetengah penontonnya). Ia bertemakan 'hubungan'. Juga soal kasih sayang dan yang terpenting ialah sebuah kepercayaan. Sejauh mana kepercayaan seorang anak terhadap ibubapa serta ikatan kekeluargaan. Ia juga sebuah filem yang setidak-tidaknya dapat mewujudkan kembali 'jiwa' seorang kanak-kanak ke dalam setiap golongan dewasa yang menontonnya.
SKRIN Rating : B+ (3.5/5)
Ulasan rakan: Nizam Zakaria