Oleh Oca
Sebagaimana ghairahnya Hollywood menghasilkan filem adaptasi komik, Asia pula dengan genre seramnya yang cukup popular dan selalunya beroleh sambutan yang baik sekitar rantau ini. Saban tahun filem-filem dari genre ini dilihat membanjiri pawagam negara kita. Terbaru ialah The Eye 2, karya terkini adik beradik Pang setelah kejayaan besar filem The Eye sekitar dua tahun yang lalu.
Filem The Eye 2 ini, bagaimanapun bukanlah sambungan kepada filem pertamanya. Ia adalah satu cerita yang baru dengan watak-watak yang baru. Kali ini watak utamanya ialah Joey (Shu Qi) seorang editor majalah yang mendapati dirinya mengandung setelah memutuskan hubungan dengan bekas teman lelakinya Sam (Jesdaporn Pholdee). Ketika bercuti di Bangkok, Joey pernah cuba membunuh diri namun percubaannya gagal. Semenjak itu Joey berupaya melihat hantu atau roh orang mati, namun Joey tidak benar-benar menyedarinya sehinggalah kandungannya berusia sekitar enam bulan.
Klise? Mungkin ramai yang mempunyai tanggapan sebegitu. Watak Joey seolah-olah tidak banyak bezanya dengan watak Mun dari filem The Eye 1 di mana keduanya mempunyai abiliti untuk melihat hantu. Setelah menyedari keupayaan luar biasa mereka, kedua Joey dan Mun sentiasa berasa tertekan apabila sering terserempak dengan peristiwa yang menyeramkan. Namun sekiranya dilihat dengan teliti kita akan dapati perbezaan yang agak ketara antara kedua mereka. Satu-satunya keupayaan Mun yang tidak dipunyai oleh Joey ialah kemampuan melihat kehadiran "lembaga berpakaian hitam" sejurus sebelum berlakunya "kematian". Ya! Mun mempunyai abiliti untuk melihat kehadiran "Angel of Death" ataupun "Malaikat Maut". Berlainan pula dengan Joey yang tidak memiliki keupayaan tersebut, sebaliknya dia mampu melihat kehadiran "roh" sejurus sebelum wanita mengandung melahirkan anak. Ringkasnya tema filem The Eye adalah "kematian" manakala The Eye 2 pula bertemakan "kelahiran".
Umumnya agama-agama wahyu seperti Islam dan kristian mempercayai kitaran hidup manusia berakhir dengan kematian, begitu juga dengan kepercayaan akan adanya hari kiamat yang menandakan segala pengakhiran untuk segala bentuk kehidupan. Sebaliknya, agama Buddha dan Hindu mempercayai konsep kelahiran semula... yang musnah akan diperbaharui, begitu juga dengan kehidupan manusia di mana yang mati dipercayai akan lahir semula dan menjalani kehidupan yang baru tanpa sebarang memori dari karma yang lepas. Di sini kita dapat lihat bahawa adik-beradik Pang cuba mengupas falsafah Buddhisme mengenai kematian dan kelahiran semula dan mencadangkannya sebagai teori dalam kedua filemnya ini.
Lazimnya wanita mengandung bersikap aneh. Menerusi filem ini kita seolah-olah diberitahu bahawa wanita mengandung sentiasa ditemani roh si mati yang bakal dilahirkan semula sebagai bayi mereka. Suatu ketika dalam filem ini Joey bertindak ganas terhadap seorang lelaki yang cuba memperkosanya. Lelaki itu cedera parah di bahagian muka, namun anehnya Joey langsung tidak tahu atau sedar mengenai apa yang pernah dilakukanya terhadap lelaki tersebut. Apakah Pang Brothers cuba memberitahu bahawa perlakuan dan reaksi aneh wanita mengandung sebenarnya dipengaruhi oleh roh-roh yang menemani mereka?
Tidak seperti Mun yang memperolehi 'mata aneh' setelah pembedahan, sebab-sebab kenapa Joey boleh melihat hantu agak kabur. Mungkin ia pernah dijelaskan oleh "orang alim" yang ditemui oleh Joey di rumah jirat, malangnya saya sendiri gagal mentafsirkannya. Saya kira judul filem ini tak sepatutnya 'The Eye 2' kerana ceritanya langsung tidak ada kena-mengena dengan mata, mungkin lebih elok judulnya diberi sebagai "Pregnancy" atau sebarang nama yang lebih sesuai.
Filem ini mungkin bukanlah sepenuhnya bagus, namun ia juga bukanlah filem seram yang kosong semata-mata. Sebahagian besar penonton mungkin hanya akan bercerita tentang sejauh mana seramnya ia, manakala sebahagian lagi mungkin memberikan reaksi negatif terhadap unsur klise yang ditonjolkan oleh The Eye 2. Tak ramai yang cuba menyelami konsep Buddhisme yang cuba dikupas oleh sutradara Danny dan Oxide Pang ini. Adik beradik Pang ini juga pandai bermain dengan simbolik dan visual. Penggunaan latar Thailand di permulaan filem ini juga seolah-olah disengajakan sebagai signifikasi kepada "permulaan" atau "kelahiran" yang menjadi tema utama filem ini, manakala penggunaan latar Thailand di penghujung filem The Eye 1 pula seolah-olah signifikasi kepada "pengakhiran" atau "kematian" yang menjadi tema filem tersebut. Kekuatan filem ini juga banyak bergantung kepada lakonan Shu Qi yang agak bagus. Tidak mustahil sekiranya dia tercalon menerusi kategori aktres terbaik untuk Hong Kong Film Award atau Golden Horse Festival akan datang.
Judul Filem : The Eye 2
Sutradara : Oxide Pang Chun, Danny Pang
Lakonlayar : Jojo Hui
Genre : Horror
Negara : Hong Kong
Bahasa : Mandarin/Thai
Pelakon : Shu Qi, Jesdaporn Pholdee, Eugenia Yuan...
Rating : 3.5/5