14 September 2004

Ulasan Filem : Audition (2001)

Oleh Mahhass

Bagi para pembaca budiman yang telahpun mengunjungi laman SKRIN ini sejak dari dulu lagi, pastinya sedia maklum bahawa lazimnya, filem-filem yang diulas oleh saya lebih menjurus kepada yang bercorak seram atau berunsurkan keganasan. Tidak bermakna saya seorang yang ganas mahupun pengganas. Entah kenapa saya sendiri kurang pasti.

Barangkali saya sukakan deruan adrenalin atau debaran, keterujaan serta perasaan klaustrofobia tatkala menonton sesebuah filem tersebut.

Pernah salah seorang sahabat saya Vad, menulis 'testimoni' untuk saya di awal perkenalan kami. Saya benar-benar menghargai penulisan beliau malah saya jadikannya sebagai dorongan untuk saya terus menulis lagi.

Saya juga percaya bahawa TIDAK semua pengunjung laman ini mempunyai minat yang sama seperti saya. Tidak kurang juga yang membenci penulisan saya. Tetapi tidak mengapalah. Saya berpegang pada prinsip – "sesuatu penulisan itu tidak akan sempurna jika semua orang mengiyakannya".

Berbalik semula kepada topik seram-ganas, minggu sudah saya menonton sebuah filem arahan sutradara Jepun terkenal Takeshi Miike berjudul AUDITION atau "Odishin" dalam istilah Jepun. (Sebelum ini saya juga ada mengulas filem terbaru beliau berjudul Visitor Q). Sudah sekian lama saya memerhatikan kulit DVDnya. Cuma kali ini baru saya terbuka hati untuk menelaah isinya.

Memang benar, saya ada terbaca serba sedikit ulasan filem ini di rottentomatoes, namun ia belum berjaya mempengaruhi saya kerana saya agak skeptikal tentangnya. Barangkali saya terlalu 'sombong' – beranggapan bahawa sinema Asia tidak setanding dengan sinema barat khususnya dalam konsep keganasan yang ditonjolkan.

Ternyata saya silap kerana segala paparan keganasan yang divisualkan oleh pengarah muda Jepun dalam filem AUDITION ini berjaya meranapkan segala rasa sangsi saya terhadapnya sekaligus menghantui saya hingga ke saat ini. Saya benar-benar maksudkannya sebagai keganasan ekstrem.

Saya juga berani katakan bahawa pengarah Asia ini boleh saja diletakkan sebaris dengan nama-nama besar seperti George A. Romero, Sam Raimi, Mario Bava, David Lynch, Tobe Hooper, David Crononberg, Dario Argento, Lucio Fulci, Peter Jackson (di awal pembabitan perfilemannya), Quentin Tarantino serta Rob Zombie. Bahkan, AUDITION seolah-olah menjadikan karya Tarantino (Kill Bill) dan Gaspar Noe (Irreversible) boleh diklasifikasikan "PG-13"!

AUDITION mengisahkan Auyoma (lakonan Ryo Ishibashi) yang setelah 7 tahun hidup menduda, mula berkeinginan untuk mencari pengganti isterinya. Perkara ini disedari oleh rakan sekerjanya Yasuhisa Yoshikawa (lakonan Jun Kunimura) yang kebetulan berkerja sebagai produser filem. Seterusnya, mereka mengadakan satu uji bakat 'olok-olok' bagi pencarian seorang pelakon wanita sebagai salah satu usaha untuk mendapatkan calon isteri Auyoma.

Akhirnya, Auyoma telah terpaut hati dengan salah seorang peserta iaitu Asami - walaupun rakannya ada menyuarakan kesangsian terhadap pemilihan wanita yang penuh misteri tersebut.

Segala-galanya berjalan seperti biasa – strukturnya bergerak perlahan dan mendatar – agak melodrama di bahagian awalnya hinggalah di bahagian pertengahannya. Namun, apabila filem ini mencecah ke 30 minit terakhirnya, barulah kemuncak sebenar dapat kita rasai. Dan kemuncak itu adalah jawapan kepada segala elemen misteri, suspen, surreal, dark-side, psiko, halusinasi, paranoia yang terkandung dalam filem ini.



Corak keganasan dan seksaan (penuh subtle, halus penuh berseni – "deeper... deeper") yang dipaparkan sungguh realistik, menguja, menakutkan, 'eerie', bloody, meloyakan, mengilukan, menyeriaukan, menggelitik, mengerikan malah lebih menyeksakan dari Texas Chainsaw Massacre, House of 1000 Corpses dan filem-filem yang seangkatannya. Barangkali ia setanding Passion of The Christ namun intepretasi seksaan (Passion) tersebut berbeza sama sekali.

Saya tidak tahu bagaimana caranya lagi untuk 'mempra-tontonkan' filem ini untuk kalian. Bagi mereka yang 'sanggup tahan' akan segala paparan "extreme-violence-extravaganza" - NAH, ini dia filemnya... yang terbaik antara yang terbaik pernah dihasilkan!

SKRIN Rating : A+ (5/5)

No comments: