Asalnya bangunan itu, meskipun usang pada zahirnya, namun ia tesergam megah di tengah-tengah komuniti masyarakat sekitarnya. Ia menjadi satu-satunya mata punca hiburan penduduknya, tanpa mengira tua muda, asal keturunan, pangkat atau darjat, yang berada mahupun yang daif.
Di sana, adakalanya kedengaran mereka ketawa, gema sorak-sorai riuh rendah, adakalanya mereka naik berang lantas mengamuk dan adakalanya mereka bersedih - menangis semahu-mahunya tanpa mempedulikan sesiapa jua.
Ia juga, telah menjadi sebati dalam kehidupan, malah kebanggaan masyarakatnya. Sehinggalah pada suatu malam yang penuh celaka, mengecewakan mereka untuk terus berhibur lagi kerana bangunan itu hangus dijilat api. Namun akhirnya ia dibangunkan semula, lantaran kembali menceriakan mereka.
Suasana yang saya gambarkan itu sebenarnya merupakan sebuah panggung wayang yang diberi nama "Cinema Paradiso". Ia menjadi tempat yang menjadi simbol keagungan sebuah ikatan persahabatan di antara Salvatore dan Alfredo serta cinta mereka terhadap sinema.
Kisah ini dilayarkan secara imbas kembali, di saat Salvatore (atau Toto - nama gelarannya sejak kecil) sudahpun berjaya sebagai pembikin filem terkenal, setelah pergi membawa diri 30 tahun meninggalkan tempat di mana beliau mula mengenali keunggulan sinema. Berita kematian Alfredo mengundang beliau semula ke sana sambil kita menyelami nostalgia bermula saat beliau masih kecil hingga mula mengenali alam dewasa.
Entah berapa kali saya menangis sewaktu menonton filem ini. Barangkali kerana kekuatan hubungan sentimentalis yang terjalin di antara seorang lelaki tua (Alfredo) dengan Toto, seorang budak yang sangat menggemari filem (sehinggakan sanggup menggunakan wang ibunya yang sepatutnya dibeli susu, tetapi dibelinya tiket wayang!) itu menjadikannya menyentuh sekaligus menceriakan.
Sewaktu melangkah ke alam remaja, Salvatore telah jatuh hati dengan seorang gadis bernama Elena. Kisah cinta yang digarap penuh suka-duka ini sebenarnya melengkapkan lagi sebuah naskhah hebat karya penulis/pengarah Giuseppe Tornatore ini. Seawal perkenalannya digambarkan penuh romantis – hampir saban malam Salvatore menunggu agar Elena membuka jendela kamarnya, bagi menandakan cintanya diterima. Meskipun, akhirnya diterima, namun percintaan mereka menemui jalan buntu berikutan tentangan dari keluarga Elena.
Saat ceria mereka berdua tatkala projektor dipancarkan ke luar panggung
Pun begitu, kekuatan filem ini bukanlah tertunjang pada plot cintanya semata-mata. Ia masih tertumpu halus pada kisah sinema serta konflik antara cinta dan kerjayanya sebagai projeksionis. Lebih tragis apabila di akhir filem ini, Salvatore tidak sempat menemui Alfredo buat kali terakhir – hanya sempat berada di upacara pengkebumiannya. Bagaimanapun, sebelum pemergiannya, beliau ada meninggalkan sesuatu buat Salvatore – iaitu segulung filem yang mengandungi paparan "Screen Kiss" yang sebelum ini telah dieditkan beliau.
Ia satu peninggalan yang amat menyentuh lagi menghibakan. Dan sekali lagi, membuatkan saya menangis di saat akhir filem ini.
SKRIN Rating : 4.5/5
"Wajib-tonton bagi semua peminat filem"
No comments:
Post a Comment