Oleh Fadz
Semalam malam aku di Institut Asia Eropah Universiti Malaya untuk menonton filem 11'9"01- September 11. Filem ini adalah kumpulan 11 filem pendek yang diterbitkan oleh Alain Brigand dari 11 sutradara di seluruh dunia yang ingin memperkatakan sesuatu tentang 11/9/01 di World Trade Centre New York.
Filem-filemnya mungkin tidak memperkatakan secara menerus tentang tragedi 11/9 sepertimana dokumentari 11/9 yang ditayangkan sebelumnya, tetapi ia sebenar-benarnya adalah rasa hati (tanpa pengaruh Amerika), fikiran, intelektual, dan mata pengarah-pengarahnya tentang rasa, takut, soal, sedih, polemik dan sindiran pada tragedi 'yang patut dirasai oleh seluruh dunia ini', mengatakan bukan sahaja masyarakat New York sahaja yang berhak bertalqin tentang tragedi ini, bukan sahaja USA boleh merintih seperti ibu yang melihat keranda anaknya pergi.
Filem-filem ini adalah filem-filem telus tentang permintaan pengarah-pengarah ini yang 'berjaya' mewakili dunia, tentang apa itu 11/9 pada mereka. Filem ini juga memperkatakan tentang kedatangan satu alaf baru, dan bagaimana manusia perlu mendepaninya. Ia juga agak menakutkan kerana dengan menonton segmen-segmen filem ini, aku merasa 'hari akhirat' seakan sudah kian dekat. Armageddon seakan di sebelah rumah. Maka filem ini menguja penontonnya, apa yang kita perlu buat jika hari akhir sudah terlalu dekat.
Makhmalbaf-Iran
Filem pertama yang bermula adalah filem daripada Samira Makhmalbaf (pengarah Blackboard). Ia adalah filem yang paling senang ditontoni, juga yang paling menyeleruh, merumuskan dan menjadi muqadimah pada setiap kefahaman pengarah filem yang akan menyusur selepasnya tentang tragedi 11/9. Terdapat empati di dalamnya. Terdapat juga sindiran tentang 'perlukah kita peduli tentang tragedi ini?'. Filem ini menggunakan kanak-kanak dunia ketiga untuk menceritakan filemnya. Kata kanak-kanak itu sungguh tulus, kelakar dan sekaligus menyinggung minda. Tuhan dipersoalkan ("Tuhan cipta manusia dan Tuhan musnah manusia", "Tuhan takde kapalterbang!"), kepeludian rakyat dunia ketiga dipersoalkan, juga secara separa sedar, 'musuh-musuh' Amerika sendiri dipersoalkan (pada waktu itu, Iraq, Afghanistan, Iran, dll.) jika mereka perlu bertanggungjawab dengan kejatuhan WTC New York. Ada satu line yang sangat memikat, mengajak kita menonton filem ini dengan hati terbuka, empati tanpa menghakimi dan emosi; sewaktu cikgu kanak-kanak itu berkata: "Keep your innocence O Children." Filem ini diakhiri dengan cikgu kanak-kanak itu mengajak pelajarnya berdiri di bawah cerobong tinggi yang berasap. "Ini menara, gambarkan manusia-manusia di dalamnya". Ia sekaligus kelakar dan poignant. Pada orang New York, akhir filem ini sangat menyentuh dan mengharukan. Pada orang-orang yang masih tidak memahami perlunya bersedih ke atasnya, walaupun tidak bersalah kerana tidak, akan melihat menara itu hanya seperti cerobong yang tinggi dan berasap.
Lelouch-Peranchis
Filem kedua adalah daripada Claude Lelouch. Ia adalah antara segmen paling cantik dibuat, antara 'personal favourite' aku. Segalanya drama manusia, sifat manusia dan kemanusiaan yang dimainkan. Ia cuba menceritakan, sebalik satu-satu tregedi, ada juga hikmahnya, mungkin besar atau kecil tapi penting untuk seseorang itu merasainya dan mencari nilai disebaliknya. Filem ini menceritakan perhubungan yang kian berakhir antara seorang perempuan bisu dengan seorang lelaki yang tiada cacat fizikalnya. Lelaki itu adalah simbol Amerika- angkuh, sedar kemerdekaannya, bebas, bersemangat tinggi, sentiasa tahu bahawa dia boleh berdiri dengan sendiri tanpa pertolongan orang lain. Perempuan itu adalah 'the rest of the world', yang senitasa inginkan intim dan penerimaan Amerika, sehingga diakhir-akhir masa, dia/kita sudah hilang kepercayaan kepadanya, merasa terkilan akannya. Para masyarakat New York tentu marah dengan akhir filem ini kerana ia menimbulkan optimisme pada detik berlakunya bencana itu. Tetapi itulah persoalan yang ingin dihidangkan oleh Lelouch, mencari harapan dalam satu-satu malapetaka, walaupun mungkin untuk seorang individu sahaja. Sangat mengharukan.
Chahine-Mesir
Filem Youssef Chahine pula agak berfalsafah. Pendekatannya mengikut gaya filem-filem Mesir/Arab di mana filemnya disandarkan dengan alunan biola yang menggertak dan suara-suara manusia yang meluah tanpa batas (kita akan sedar bila menonton filem-filem Mesir, ia mempunyai unsur yang sama dengan filem-filem Tamil, Telegu, Punjab dan Hindi, cakap-cakapan terus dan berkias, watak-wataknya terlalu kasar dan terus-terang, unsur dramatiknya dan deringan gesek biolanya yang asyik). Luahan ini adalah 'kata hati' pengarahnya yang sangat berfalsafah, kritis dan sekaligus analitik tentang kebaikan dan keburukan kesan tragedi 11/9. Satu babak yang sungguh klise dalam filem-filem Arab dibuat dalam babak pemuda Palestin yang bersedia untuk berjuang, di mana penggunaan klise itu berjaya menaruh mesej pengarah bahawa drama tetap ada di mana-mana, dan drama di Palestin ini tidak akan berakhir dengan jatuhnya WTC. Ada satu babak yang mencuitkan dan mengharu, bila si pelakon yang membawa watak pengarah itu memusing ke belakang klip kejatuhan Menara Kembar New York ("Aku boleh buat ini"), dan si askar Amerika berkata, "Tapi ia tetap tidak boleh membawa balik nyawa yang tiada lagi". Filem mungkin tidak dapat berbuat apa-apa dan mengubah pendirian manusia, sepertimana kehancuran yang berlaku di Afghanistan dan Iraq sekarang kerana tragedi 11/9. Orang Amerika rasa perlu darah-darah mangsa itu ditebusi. Amat menyedihkan.
Loach-UK
Kerana itu, filem polemik dan sekaligus berkuasa dari Ken Loach seharusnya membuka pekung di dada rakyat Amerika tentang rasionalisasi keinginan mereka untuk berperang kerana tragedi ini. Filem ini sangat kuat dalam mempersoalkan tentang kehibaan orang Amerika (tanpa terlalu menghakimi, kerana watak filem ini yang sebenar, Vladimir Vega memberitahu, "aku berharap kau (USA) juga mengingati kami waktu 11/9 ini") tentang tragedi 11/9. Kerana gaya dokumentari filem ini menjelaskan peristiwa berdarah di Chile waktu 11/9/1973, waktu yang sama di mana Amerika sendiri yang menyerang secara 'terrorist' bandar Chile, Santiago. Aku boleh mengaku bahawa, kekuatan filem dokumentari ini lebih berkesan dari Farenheit 9/11 Micheal Moore.
Tanovic-Croatia
Isi filem daripada Danis Tanovic (pengarah No Man's Land) pula agak sama dengan Makhmalbaf dan Loach. Ia mengjustifikasikan dunia di luar Amerika juga ada hak untuk berhiba waktu 11/9, mengingatinya kerana New York, mengingatinya kerana kemanusiaan atau mengingatinya kerana kita juga mempunyai pengalaman kita sendiri tentang kemusnahan dan kehilangan jiwa. Kita ada hak untuk berhiba dengan cara kita sendiri, tidak tertakluk pada permintaan dan pengaruh Amerika.
Ouerdrago-Afrika Barat
Filem daripada Idrissa Ouedraogo adalah yang paling kelakar dan penuh sindiran. Ia membawa persoalan yang memikat bahawa orang dunia ketiga tidak ada masa untuk bersedih dengan Amerika si negara kaya, tetapi dunia ketiga boleh mendapat keuntungan daripada kesan kesedihan itu. Mungkin ia 'cahaya baru' untuk negara-negara miskin, sekaligus amat pedas kerana menunjukkan kesiksaan di sekeliling dunia sebenarnya lebih penting dari berita-berita dari Negara Barat, yang sepatutnya diselesaikan oleh orang Barat sendiri dengan rasional dan hati terbuka dan bukan mengheret dunia ketiga untuk sama-sama beremosi. Filem ini adalah tentang bagaimana sekumpulan budak sekolah (unsur yang sama dengan Makhmalbaf) cuba menangkap Osama Laden yang dilihat berpeleser di tengah kota, dan bagaimana orang sekeliling 'buta' dengan kehadirannya dan bukan budak-budak itu (simbol separa sedar, orang Islam sebenarnya dibelakang perjuangan Osama). Adakah Osama juga satu ciptaan imej budak-budak itu, sebagai harapan hidup mereka boleh berubah kerana Helang Amerika patah sayapnya dan perlukan pertolongan? Mereka tidak pedulipun Osama itu sama Islam dengan mereka. Mereka hanya tahu, Osama adalah dalang 11/9 dan dalang yang boleh membawa keuntungan. Aku ketawa berdekah sewaktu Adama menjerit dan menangis hiba: "Osama, datanglah balik ke sini sekali lagi."
Gitai-Israel
Filem Amos Gitai juga cuba menjadi filem yang menyentuh sekaligus kelakar. Tetapi ia tidak dapat menandingi filem Ouerdrago walaupun ia mempunyai mesej yang tersendiri. Ini adalah mungkin (seperti filem Mesir tadi) kerana kecalangan watak-wataknya yang terlalu, dan sebenarnya disengajakan kerana ia tidak mahu menimbulkan simpati tetapi perasaan hiba yang meronta (budaya ini amat sinonim dengan masyarakat Ibrani. Juga seperti Iran, meratap adalah satu 'pahala besar' dalam mengingati satu-satu kesedihan dalam hidup orang Yahudi). Menonton filem ini sebenarnya menggegarkan, dan sedar bahawa orang Yahudi masih mahu memperkatakan dengan terus-terang, kedatangan zaman perubahan sudah datang, armageddon sudah sungguh dekat. Manusia secara takdir, sudah mempunyai tarikh keramat di mana segala perubahan akan berlaku. Tuhan juga akan selalu menurunkan bencana setiap tahun, menguji manusia (dengan perbezaan tahap kesusahan mengikut zamannya), seperti mana Asyura pada Yahudi dan Islam (tanda hari gemilang dan kadangkala penuh ujian untuk manusia agama wahyu. Orang Islam disunatkan untuk berpuasa dan banyak beramal pada hari itu kerana kebanyakan peristiwa besar dalam kalendar Yahudi dan Islam tentang rasul-rasul dan wali-wali mereka berlaku pada hari itu), begitulah juga 11/9. Filem ini juga menyeramkan bila kita sedar, pada setiap kali bencana yang berlaku pada zaman ini, chaos yang datang tidak membuat manusia menjauhinya tapi datang kepadanya (seperti mana fokus kamera dan watak-watak yang inginkan tempat dalam fokus kamera filem ini) seperti semut berjumpa gula (dalam tradisi Islam, tempat-tempat bencana seharusnya cepat-cepat dijauhi dan dibaca, "innalillah wa inna hi rajiun" supaya badi bencana itu tidak mendekati orangnya. Sungguh menakutkan apabila orang zaman ini, laut masin di Jordan sudah dijadikan tempat perlancongan). Filem ini menggunakan satu shot tanpa suntingan, menginginkan ia menjadi revelasi tragedi 11/9 ala Israel. Filem ini cuba mengatakan, inilah roh (the heart) 11 filem yang lainnya. Tetapi filem Inarritu dari Mexico adalah roh sebenar filem-filem ini.
Iñárritu-Mexico
Alejandro González Iñárritu dalam segmennya telah menciptakan satu tayangan hiba-seram dan sekaligus menjadi filem yang paling baik antara 10 filem lain dalam mengungkapkan tragedi 11/9. Filem ini adalah filem yang paling aku gemari antara 11 filem yang ditayangkan. Ia memulakan segalanya dengan 'black screen', dan kita dengar bagaimana suara-suara manusia (yang mana, setiap bahasa dalam dunia ini dipotong dan di satukan menjadi satu alunan mentera) Tuhan berkumat, dan kemudiannya lagu yang menghayun perasaan, kemudiannya suara-suara manusia yang mengalami tragedi 11/9 (Spiral memberitahu, Farenheit 9/11 telah mencuri idea ini dari Inarritu). Imaginasi penonton yang diperlukan, menggambarkan seram dalam hati mereka apabila melihat kegelapan skrin dan suara-suara jeritan, hentakan di tanah dari manusia yang terjun dari Menara Kembar. Dan kegelapan ini diselang-selikan dengan manusia-manusia yang terjun dari Menara Kembar. Horror. Untuk orang yang baru mengetahui tentang tragedi ini, segmen ini sahaja sudah sungguh menginsafkan. Dalam tahap rohani pula, pengarahnya (yang memang terkenal membawa elemen 'bible', metafizik dan keTuhanan dalam filem-filemnya) seakan-akan memberitahu, Tuhan sedang 'buta', malah membasuh tangannya dari bencana ini (Tuhan hanya mendengar suara-suara manusianya, dan tiba-tiba sedar tragedi ini sedang berlaku 'di depan matanya'). Tuhan walaupun mungkin 'buta', turut hiba bila ciptaan-ciptaannya (manusia) musnah begitu (Innaritu juga ingin menyatakan, yang penting di sini adalah manusia, dan bukan situasinya). Maka Tuhan (juga Innaritu) mengarah satu mesej yang sungguh berkesan (dengan suara latar mentera manusia anak-anak Tuhan yang mula menguat), menyoal diri kita, "Adakah manusia buta atau sedar dengan cahaya Tuhan?"
Nair-India
Filem Mira Nair dimulakan dengan bacaan seorang perempuan Islam, ayat doa Nabi Yunus sewaktu dalam perut Ikan Nun (untuk menghilangkan kesusahan yang melandanya, juga separa sedar untuk Orang Islam seluruhnya tentang kesan tragedi ini) dan kemudiannya zikir pada Tuhan (Yang MeRahmati, Yang Selamat). Ia adalah testimoni yang mewakili seluruh Umat Islam. Aku sedar juga bagaimana dunia zaman ini sudah begitu kompleks, satu-satu budaya mula bergesel dengan budaya yang lain, dan bagaimana dengan geselan itu sudah tentu berlakunya inersia yang membawa pada ledakan (juga armageddon). Suara Mira Nair adalah satu suara yang sungguh jujur dan datang dari hati, bagaimana penghakiman tidak perlu ada dalam manusia bila kita tidak faham akannya. Ini adalah antara filem yang senang tetapi kuat impaknya pada aku. Itulah filem sepatutnya.
Penn-USA
Filem daripada Sean Penn ini sama tarafnya dengan filem Lelouch. Bila tragedi 11/9 adalah 'miracle' untuk sekumpulan yang lain. Tetapi Penn agak pedas bila ingin memberitahu (kerana Lelouch mengambil watak orang Peranchis dalam segmennya) orang-orang itu adalah rakyat Amerika sendiri. Ernest Borgnine berlakon sebagai lelaki tua yang nyanyuk dan bercakap sendiri. Ia adalah sindiran halus pengarahnya pada Amerika itu sendiri, bagaimana tuanya ia, dan bagaimana impian-impiannya sudah lama meninggalkannya tapi tidak pun disedari. Dengan runtuhnya Menara Kembar, Amerika baru sedar tentang kehilangan 'American Dream' itu. Mereka hiba, walaupun satu dari impian itu tercapai (bunga yang memekar), mereka tidak akan faham dengan proses itu.
Imamura-Jepun
Filem ini ditutup dengan filem daripada Shohei Imamura. Filemnya juga agak menyentuh dengan sindirannya tentang kebenaran sifat manusia. Seorang askar dari pos Perang Dunia Kedua telah 'disumpah' menjadi ular. Imamura seakan memberitahu, pos 11/9 menunjukkan manusia tidak patut jadi manusia jika peperangan dan pembunuhan yang diingini dalam membela 11/9. Ia juga menyatakan, perang jihad adalah peperangan mengikut kepentingan satu-satu kumpulan, tidak pernah untuk manusia sebenarnya. Imamura juga menonjolkan, bagaimana peperangan menyebabkan kesusahan dan sial baru pada masyarakat setempat (manusia yang hilang sifat manusianya, manusia jadi penipu, isteri membelakangi suaminya, keriuhan) dan ia bersambung tanpa penghujung. Imamura juga dengan agak berani menguatkan ke'dayus'annya (atau semangat berdiri atas pagar dan berpeluk tubuh) bahawa masyarakat tidak perlu berbuat apa-apa dengan permintaan pos 9/11. Masing-masing mempunyai rumah masing-masing, tidak perlu jaga tepi kain orang. Ini yang menyebabkan, ramai pengkritik Amerka dan Barat amat membenci segmen ini.
11/9/01- Omnimbus Wasiat Untuk Masa Depan
Keseluruhannya, untuk satu duduk, filem ini agak 'streching' untuk ditonton. Bukan kerana ia tidak bagus tetapi keseluruhan 11 filem ini, semuanya bertemakan tema-tema yang berat dan besar, memerlukan konsentrasi yang penuh walaupun dalam 11 minit dan 9 saat. Tidak ada satu pun yang berjiwa kecil. Malah ia sungguh menggerak, ia berjaya menjadi wasiat untuk ditenungi penonton dunia tentang nilai dan pengertian satu-satu peristiwa yang berlaku berjuta batu dari tempatnya. Aku sedari, dalam setiap filem pendek yang ditayangkan, semuanya mempunyai rantaian mesej yang sangat jelas iaitu; pengharapan. Harapan sesuatu yang baik pada masa akan datang dan boleh dicapai oleh manusia, walaupun disekeliling masih dalam kucar kacir. Ini yang menyedihkan kerana Amerika yang patut mencari pengertian ini, masih juga menyerang negara merdeka yang lain semata-mata 11/9. Sangat menyedihkan kerana filem ini tidak berjaya memunggah hati mereka untuk lebih berfikiran empati, seperti yang diingini oleh pengarah-pengarah filem omnibus ini.
No comments:
Post a Comment