La Belle Noiseuse jika diterjemahkan bermaksud "The Beautiful Troublemaker", adalah sebuah filem, yang bukan sahaja artistik dari segi teknik, malah filem ini benar-benar menceritakan tentang seorang 'artist' atau pelukis tua, yang melakarkan ekspresionis minda beliau dalam mencari sesuatu intimasi serta mengolah sesebuah rahsia dari metafizikal ketelanjangan tubuh badan wanita.
Secara peribadinya, La Belle Noiseuse telah mencipta sejarah tersendiri buat saya, iaitu kerana durasinya yang mencecah 4 jam. Belum pernah lagi saya menonton sebuah filem yang sepanjang ini untuk sebuah filem. Walaupun 4 jam, filem 'art' ini sebenarnya cantik dari segi olahan visualnya, kisahnya agak 'compelling' (kecuali di bahagian 1 jam pertamanya). Maka, untuk menonton filem-filem sebegini harus dibekalkan dengan kesabaran yang tinggi. Tambahan lagi dengan penggunaan dialog yang agak minimalis.
Walaupun filem ini memaparkan secara zahir serta beberapa bentuk ilustratif keranjangan wanita (sewaktu proses pelukis tersebut mempotretkan modelnya), namun tiada satupun adegan seks mahupun sensual-erotik yang berlaku dalam filem ini. Dinamiknya, bukan keranjangan fizikal yang cuba dipersembahkan dalam filem ini tetapi emosi yang terbentuk di antara Frenhofer (lakonan Michel Piccoli), iaitu pelukis dan modelnya Marianne (lakonan Emmanuelle BĂ©art).
Apa yang menariknya lagi tentang filem ini ialah kita dapat melihat secara 'simplicity' atau terus-menerus, bagaimana proses ilustrasi lukisan tersebut dilakarkan dengan teknik 'sketch' yang sungguh memberangsangkan, sekaligus kita dapat menyelami perasaan gementar, kesabaran serta keresahan yang wujud di antara dua protagonis filem ini. Keplatonikan antara kedua-duanya memberi ruang penontonnya untuk terus 'mengejar' satu-persatu perjalanan plotnya meskipun filem ini memakan masa yang banyak.
Filem ini juga, hampir langsung tidak berlatarbelakangkan muzik, hanya kedengaran dengusan nafas serta bunyi-bunyian yang terhasil ketika potret tersebut dilakarkan. Itu menambahkan lagi kecantikan asli filem ini.
Saya tidak akan menolak sebarang kemungkinan apabila sesetengah penontonnya tidak dapat menghayati sepenuhnya filem ini (atau mungkin separuh jalan) berikutan struktur perjalanannya yang barangkali begitu lembab dan membosankan.
Tetapi itulah sebenarnya yang 'sengaja' disampaikan oleh dua orang penulis skripnya, Pascal Bonitzer dan Christine Laurent, seterusnya dilayarkan ke skrin oleh sutradara terkenal Jacques Rivette. Ia seakan sebuah gambaran refleksi kehidupan sebenar serta jiwa, kesukaran seorang pelukis (dan modelnya) yang memerlukan komitmen besar serta kesabaran yang jitu dalam melakukan kerja-kerja seni mereka. Maka secara keseluruhannya, filem ini amat sesuai sekali bagi mereka yang berjiwa seni khususnya dalam aliran lukisan dan juga ekspresionisme.
Filem keluaran negara Perancis ini telah merangkul anugerah Grand Prize of the Jury, Prize of the Ecumenical Jury - Special Mention (termasuk nominasi Golden Palm) di Cannes Film Festival 1991.
No comments:
Post a Comment