22 September 2004

100 Greatest Films - Bonnie & Clyde (1967)

Oleh Mahhass

Saya belum boleh menganggap diri saya "film-buff", selagi saya belum (habis) menonton filem-filem klasik hebat era 50an, 60an, serta 70an atau mana-mana filem yang dianggap para pengkritik sebagai "100 Greatest Films". Dan oleh kerana itu, saya hanya mampu mengaut 57 mata dalam "Film-Buff Test" yang saya cuba-cuba melalui internet baru-baru ini.

Malu untuk saya katakan yang saya baru sahaja menonton filem Bonnie & Clyde (1967). Saya malu kerana filem ini dianggap 'ikon' kepada segala filem yang bertema gangster/jenayah seluruh dunia. Ia juga ditakrifkan sebagai "filem revolusi" atau landmark di saat produksi Hollywood di ambang kemunduran atau kejatuhan. Malah filem ini menjadi "influential film" bagi sub-genre crime/gangster-romantik sehingga kini.

"They’re young...They’re in Love... and they kill people." Itu adalah tagline penuh waja untuk filem ini.

Sebenarnya filem ini, sewaktu awal diputarkan telah mendapat kritikan yang hebat oleh sebahagian besar pengkritik filem waktu itu (bukan sahaja di kalangan mainstream). Memaksa filem ini ditutup awal dengan seribu kontroversi. Agak lama juga sehingga ada di kalangan pengkritik mengakui kesilapan mereka mengkritik filem tersebut. Bagaimanapun, Bonnie & Clyde akhirnya dinominasi dan merangkul dua anugerah di Academy Awards tahun 1968 (dan beberapa anugerah di festival lain).

Berlatarbelakangkan era 1930an, filem ini tampak hebat. Dari skrip, arahan, kostum, set, sinematografi, lokasi, dialog, casting malah semuanya hebat. Memanglah tidak adil untuk saya bandingkan segalanya di masa sekarang, cuma kita perlu bayangkan satu situasi baru yang diwujud dan diketengahkan oleh penulis skrip dan lakonlayarnya iaitu David Newman dan Robert Benton, di bawah arahan Arthur Penn ketika itu – yang menguja. Pastinya ia sebuah revolusi perfileman biarpun pada awalnya rata-rata membenci, akhirnya mereka julang juga. Ini yang sepatutnya berlaku di Malaysia.

Filem ini diinspirasikan dari separa-biografi dua penjenayah Bonnie Parker dan Clyde Farrow. Apa yang menarik, kisah ini dilayarkan bermula saat perkenalan mereka berdua, iaitu ketika Clyde cuba mencuri kereta milik ibu Bonnie. Saat itu digambarkan Bonnie berada dalam kemuncak depresi (telanjang secara fizikal), seolah-olah kebosanan hidup dan ingin mencari sesuatu yang baru dalam hidupnya. Perkenalan beliau dengan Clyde sungguh cantik dan amat menjadi. Dan ini merupakan saat pertemuan yang paling jujur, realis, simplicity, humoristik dan romantis pernah difilemkan.

Begitu juga ketika Bonnie kecewa/merajuk dan lari ke sebuah lading, lantas dikejar Clyde. Perhatikan wide-shot yang digunakan, dan dalam masa yang sama perhatikan juga awan mendung yang berarak (barangkali 'kebetulan') – menggambarkan 'klimaks' depresi kedua-dua antagonis tersebut. Adegan tersebut paling terserlah kecantikannya dan merupakan salah satu 'adegan-paling'-diingati' untuk filem ini.

Antara line menarik : "This here's Miss Bonnie Parker. I'm Clyde Barrow...We rob banks"! Kata-kata jenaka itu sebenarnya sangat serius sekaligus meletakkannya antara line yang seringkali diungkap-sebut oleh anak-anak muda ketika itu.

Bonnie & Clyde sebenarnya merupakan filem satira terhadap sektor kewangan khususnya institusi bank yang dilihat sering membelenggu serta menindas para peminjamnya. Satu adegan yang jelas memberi kutukan besar ialah ketika Clyde menyuruh seorang petani miskin (membawa bersama anak-anaknya meninjau untuk kali terakhir rumah mereka) menembak notis 'rampasan' bank dipasang di luar rumahnya. Adegan tersebut sebenarnya sangat mengharukan.

B & C juga dianggap sebagai filem paling realistik dari sudut keganasan waktu itu. (Sepertimana kita tonton filem-filem getir dan ganas masakini). Saya boleh membayangkan reaksi 'shock' yang dialami penontonnya sewaktu adegan Clyde menembak tepat ke muka salah seorang polis yang cuba mengejar mereka! Ironi kerana kita masih boleh memaafkannya.

Bagaimanapun, sudah menjadi "hukum-cerita" - kedua-dua watak ini berakhir dengan keadilan sosial (Bonnie dan Clyde diperangkap dan ditembak bertalu-talu), namun apa yang menjadikannya istimewa ialah pendistorsian karakter serta perasaan emosi dan empati yang berjaya diwujudkan dalam filem ini. Adegan tragis di saat akhir tersebut berjaya menambat jiwa kita – dan saya percaya barangkali ada insan yang akan menangisi adegan ini.

Seperti yang saya katakan tadi, Bonnie & Clyde semestinya akan kekal sebagai ikon Hollywood, berikutan tercetusnya filem-filem hebat era 70an seperti The French Connection (1971) (juga mengambil Gene Hackman), trilogi Godfather dan seterusnya untuk sinema alaf baru.

Nota : Ucapan terima kasih untuk saudara Fadz, kerana sudi meminjamkan saya filem-filem hebat ini. Selepas ini saya akan cuba coretkan kata hati saya untuk filem The Graduate (1967) pula.

No comments: