03 September 2004

Ulasan Filem : Eternal Sunshine of the Spotless Mind (2004)

Eternal Sunshine and the Spotless MindOleh Mahhass

Sebelum saya menulis ulasan ini, saya minta anda membayangkan sejenak. Bayangkan sewaktu anda muda remaja dahulu (atau mungkin kini) – anda sedang hangat dilamun cinta – memadu kasih asmara, sehati sejiwa, bergurau senda, sehidup semati, kadangkala bertengkar, berjauh hati– akhirnya berpisah.... Perpisahan itu memang perit. Lebih perit lagi apabila memori ketika bersama itu tidak mungkin boleh dilupakan atau hilang begitu saja, bukan? Jadi bagaimana jika memori itu akhirnya dapat dilenyapkan melalui satu kaedah psikologi dengan bantuan teknologi? Persoalannya, sanggupkah anda lakukan sedangkan anda masih lagi ‘sayangkan’ memori indah ketika bersama malah masih menaruh perasaan terhadap teman anda itu?

Jadi persoalan ini dikupas dan dilayarkan dalam filem Eternal Sunshine of the Spotless Mind. Filem ini ber'tagline'kan "Would you erase me?". Ya, tagline itu sangat sesuai sekali dengan plotnya malah ia merupakan filem romantik yang paling unik pernah saya tonton. Walaupun bergenrekan komedi (black comedy), apatah lagi nama Jim Carrey pendukung utamanya (sebagai Joel), namun filem ini penuh dengan jiwa (dan saya amat merasainya). Ia adalah filem lakonan terbaik pernah dibawa Jim Carrey setakat ini. Gandingannya ialah Kate Winslet (sebagai Clementine).

Perjalanan filem ini juga agak unik apabila kita dipertontonkan dahulu selepas segalanya telah berlaku (sepertimana Irreversible, Memento). Joel dan Clementine sudahpun menjalani proses memadamkan memori itu. Ironinya, mereka bertemu sekali lagi di dalam sebuah keretapi seolah-olah (atau memangpun) mereka tidak mengenali antara satu sama lain. Lalu ia menjadi seperti pertemuan awal dahulu, berkenal-kenalan antara satu sama lain. Bukankah saat pertemuan itu indah sekali?

Seterusnya, barulah filem ini mengimbas kembali apa yang berlaku ke atas kedua-duanya (uniknya apabila opening credits setelah hampir 20 minit filem ini berlangsung!). Segala babak-babak romantis digarap kembali melalui memori Joel. Meskipun pada mulanya beliau bersetuju untuk menjalani proses tersebut, namun kontradiksi serta konflik yang berlaku dalam dirinya membuatkan segala proses tidak berjalan dengan begitu sempurna, kadangkala lucu, kadangkala mensayukan juga apatah lagi sewaktu satu-persatu memorinya dipadamkan buat selama-lamanya.

Orang yang bertanggungjawab melayarkan idea unik ini ialah Charlie Kaufman yang juga menulis lakon layar filem-filem seperti Being John Malkovich, Adaptation dan yang terbaru Confessions of a Dangerous Mind. Filem ini disutradarai dengan baik oleh Michel Gondry.

Yang menarik lagi tentang filem ini ialah barisan pelakon pembantunya, seperti Elijah Wood (masih ingat Frodo Baggins?) sebagai Patrick dan Mark Ruffalo (13 going on 30) sebagai Stan. Kedua-duanya bekerja di bawah Dr. Mierzwiak – doktor yang bertanggungjawab menjalankan prosedur tersebut. Kirsten Dunst (Spiderman 2) pula sebagai Mary (mary lagi?) dan walaupun tampil sekadar pembantu, wataknya juga ada memberikan kesan dalam subplot filem ini.

Eternal Sunshine and the Spotless Mind


Saya tidak mahu mengupas lebih lanjut tentang filem ini, kerana jika anda boleh membayangkan temanya, saya kira sudah cukup menterujakan anda bagi yang belum menonton. (Ha ha sudahkah anda membayangkannya tadi?). Barangkali di bahagian akhir filem ini agak terlalu 'subtle', tetapi ia bagaikan mencerminkan segala keindahan itu telah muncul kembali. Biarlah saya pendekkan sahaja bebelan saya, dan meletakkan filem ini antara yang terbaik untuk tahun ini.

No comments: