10 September 2004

Ulasan Filem : The Ladykillers (2004)

LadykillersOleh Mahhass

Sebetulnya, kali pertama yang saya tonton filem ini, saya tertidur di suku pertamanya. Bosan? Barangkali… Tetapi apabila saya dimaklumkan oleh rakan saya GAIA, bahawa filem ini (yang diterbitkan semula dari versi originalnya tahun 1955) telahpun memasuki Cannes Film Festival 2004 - kategori Golden Palm, saya cuba gagahi untuk menontonnya buat kali kedua - sampai habis.

Maka ternyata filem arahan Coen Brothers ini memikat hati sebenarnya. Walaupun plotnya agak sedikit mendatar pada mulanya, ia cuma memerlukan sedikit kesabaran dalam penghayatan dan pemahamannya. Hanya apabila kita 'nampak' akan muslihat antagonis dalam filem ini, maka barulah kita faham kenapa tutur dialognya terlalu tinggi dan berfalsafah (yang boleh saja mematikan 'mood' menonton di awal bahagian).

Saya meletakkan kekuatan filem ini dibahu Tom Hanks yang membawa watak Professor G.H Dorr. Wataknya 'kelabu', sinikal, humanis dan amat melucukan sekali. Beliau jugalah yang menjadi ketua dalam pakatan menyamun sebuah "Casino" melalui terowong yang dibina bermula dari sebuah rumah milik seorang perempuan tua, Madam Munson (lakonan Irma P. Hall) – yang disewa Prof. Dorr. Beliau dan kuncu-kuncunya menyamar sebagai pemuzik amatur sambil melakukan kerja penggalian terowong tersebut.

Pun begitu, apa yang agak kurang menariknya dalam filem ini, ialah kerana penulis skrip terlalu banyak memberi fokus terhadap subplotnya (kisah kuncu-kuncunya) dari memfokuskan plot utamanya. Biarpun temanya adalah komedi, namun aspek ini perlu diambil kira tambahan lagi pemilihan pelakonnya yang saya kira agak kurang bersesuaian (kecuali Hanks dan Irma Hall). Mungkin niat penulisnya terlalu tinggi, dengan cuba menarik golongan muda menonton filem ini. Saya kira itulah kesilapan besarnya. Dan barangkali juga inilah faktor yang menjadikan filem ini dikritik oleh sebilangan besar pengkritik filem.

Tetapi filem ini sebenarnya menarik, unik serta feel-good, yang boleh membuatkan kita lupa akan beberapa aspek kelemahannya. Dalam filem ini kita dapat perhatikan sebuah utopia atau sosialisasi masyarakat yang begitu sempurna, sehingga digambarkan penjara-penjara sudahpun berdebu, usang tidak berpenghuni sejak sekian lama. Polis-polis yang bertugas di balai boleh disindir sebagai 'makan gaji buta'. Juga digambarkan gereja-gereja yang sentiasa meriah, dipenuhi pengunjungnya serta tatabudaya yang mesra ditonjolkan.

Juga yang menariknya tentang filem ini, ialah apabila sebuah 'pulau' dibina khas sebagai tempat pelupusan sampah-sarap, jauh dari komuniti tersebut. "Pulau sampah" itu sebagai ekspresionis penulisnya, menyimbolkan betapa segarnya suasana komuniti yang terhindar dari segala macam sisa-sisa kotoran (anasir jahat), juga simbolisme 'gelap' membayangi watak 5 orang penyamun tersebut.

Disebalik lakon layar yang agak sedikit longgar (kecuali garapan komedinya), teknik fotografi serta sinematografi yang dipaparkan amat menarik sekali. Walaupun kadang-kadang tampak luar dari jangkauan logikal minda (CGI juga memainkan peranan), namun ia amat kena dengan konsep filem ini. Cantik dan menarik.

Kisah 5 Penyamun


Saya tidak boleh membandingkan versi awal Ladykillers (keluaran British) yang diputarkan pada tahun 1955 oleh sebab saya belum berpeluang menontonnya lagi. Pun begitu, secara peribadinya, saya berani mengatakan bahawa filem ini boleh saja dianggap sebagai sebuah filem remake yang baik dan 'menjadi'. Tetapi dalam masa yang sama juga (yang lebih penting sebenarnya) – membuktikan bahawa karyawan Hollywood semakin ketandusan idea.

No comments: