Oleh Mahhass
Kisah yang disutradarai oleh Craig Lahiff ini menyingkap kembali sejarah 'hitam' kaum kulit putih di Australia terhadap kaum minoriti pribumi Aborigines. Begitu tercemarnya institusi kehakiman, kepolisan serta keangkuhan kaum kulit putih waktu itu. Kisahnya agak berbeza sepertimana filem Rabbit-Proof Fence suatu ketika dahulu, namun temanya tetap sama, iaitu prejudis perkauman dan penindasan terhadap kaum pribumi Australia.
(Klik sini untuk ulasan Rabbit-Proof Fence)
Filem ini diinspirasi dari sebuah kisah benar. Kisah yang (sekali lagi) selepas Rabbit-Proof Fence berjaya memberi 'hentaman' yang cukup hebat terhadap masyarakat kulit putih Australia sendiri khususnya. Ia memaparkan sebuah perbicaraan kecil ke atas Max Stuart, seorang warga kulit hitam Aboriginal (lakonan menyentuh David Ngoombujarra) yang akhirnya mencetuskan kontroversi hangat di seluruh Australia.
Kisah tragis ini berlaku pada Oktober 1958 di sebuah pekan kecil Ceduna, terletak di bahagian barat Australia. Max Stuart dituduh merogol dan membunuh dengan kejam seorang kanak-kanak perempuan (kulit putih) berumur 9 tahun (ketika sedang bermain-main di pesisiran pantai). Beliau ditangkap pada malam kejadian dan seterusnya dipaksa untuk membuat pengakuan ke atas pertuduhan tersebut – walaupun beliau bersungguh-sungguh menafikannya. (Di sini, kita dapat melihat lakonan beliau yang sangat karismatik, menyentuh dan menghibakan). Beliau diugut malah dipukul untuk menandatangani surat konfesi, walaupun pada hakikatnya, beliau sendiri tidak pernah tahu menulis apatah lagi membaca.
Bagaimanapun, kes beliau mendapat perhatian David O'Sullivan, peguambela yang begitu yakin bahawa Max sebenarnya ditindas dan teraniaya. Bagaimanapun, setelah kes pendakwaan tersebut dihujahkan di mahkamah, akhirnya Max Stuart dijatuhi juga hukuman gantung sampai mati.
Tandatangan di atas surat konfesi (pengakuan) dijadikan bahan bukti kukuh bagi kesalahan tersebut (dan sudah tentu institusi kehakiman terang-terangan memihak kepada kerajaan sehingga banyak bukti yang mengatakan surat itu ditandatangani secara paksa, ditolak dan dianggap tidak relevan). Perbicaraan ini begitu mengingatkan saya pada kes perbicaraan Anwar Ibrahim suatu masa dahulu.
Kisah ini bagaimanapun membuka mata banyak pihak apabila seorang paderi yang sering melawati Max, juga menyatakan bahawa kebenaran sebenarnya berpihak kepada Max. (Bukankah ini membuktikan sekali lagi bahawa 'naluri' dan kepercayaan terhadap agama lebih mengatasi segala-galanya? Tidakkah filem ini juga menyimbolkan bahawa kata-kata seorang paderi itu sangat dihormati dan dipercayai?)
Bukan setakat itu sahaja, malah kes ini berjaya menimbulkan konfrontasi besar sebahagian besar masyarakat seluruh Australia, justeru menggugat kredibiliti pihak berkuasa waktu itu melalui provokasi serta sentimen anti-racisme akhbar The News yang membela nasib malang yang menimpa Max.
Sangkaan awal saya filem ini terlalu bermelodrama, nyata sekali meleset kerana struktur naratifnya membuatkan kita melekap dari awal hingga ke akhir filem ini. Filem 'kecil' ini, yang lakon layarnya ditulis cemerlang oleh Louis Nowra ini berjaya memenangi anugerah Lakon layar Terbaik di Film Critics Circle Awards, Australia (sepertimana Philip Noyce memenanginya untuk filem Rabbit-Proof Fence dalam kategori Sutradara Terbaik) serta dinominasikan di beberapa festival filem Australia pada tahun 2003.
Black and White adalah sebuah filem 'mesti tonton'.
No comments:
Post a Comment