Oleh Mahhass
Filem yang paling dinanti-nantikan oleh seluruh rakyat Malaysia tahun ini telah tiba. Begitu gah sekali poster-poster di jalan-jalan besar hampir di seluruh negara, kain rentang gergasi di sana-sini, artikel promosi samada di akhbar, televisyen, laman-laman web (termasuk laman ini!) malah di mana sahaja begitu ramai yang memperkatakan tentang filem ini. Ada yang sudahpun membuat penilaian awal sesudah menonton trailernya. Tidak kurang juga yang skeptikal terhadapnya.
Apapun, saya sudahpun menontonnya malam semalam di upacara gilang-gemilang di Royal Premiere bertempat di TGV KLCC, atas jemputan saudara Kamal (www.filemkita.com) bersama-sama rakan sepenulisan saya, Fadz (tontonfilem.com) (dan juga GAIA yang datang bersama Yasmin Ahmad). Ucapan setinggi-tinggi terima kasih untuk beliau kerana sudi menjemput saya (dapatlah juga saya merasai pengalaman memijak 'karpet merah' buat pertama kalinya!).
Tema 'feminisme' di Kancah Perfileman Melayu
Jika disorot kembali, sejak produksi Jalan Ampas di awal 50an, kaum lelaki dilihat lebih mendominasi filem-filem (melayu) tempatan. Bagaimanapun, bermula sejak awal 90an (atau mungkin lewat 80an), pembikin filem kita sebenarnya telah berjaya mencipta arus revolusi perfileman tanahair, iaitu dengan menjadikan 'wanita', cinta dan airmata sebagai 'tema'nya. Justeru kaum wanita mula diangkat dan dijulang selaku protagonis (watak utama) untuk sesebuah filem.
Untuk dekad 90an itu, ia bermula dengan nama Isabella (yang setentunya sudah menjadi nama 'cult'), diikuti Syakila yang penuh misteri lakonan Kuza, Riang Tirana, Selubung arahan Shuhaimi Baba, seterusnya Wanita Bertudung Hitam karya Mahadi J. Murat, 'Legenda' Azizah, 'nasi kangkang' Zaleha dalam Perempuan, Isteri dan... karya provokatif U-Wei menyusul pula kemudian kisah anak luar nikah Mas Ayu dalam Black Widow, Sayang Salmah sekali lagi di tangan Mahadi J. Murat, Maria Mariana arahan 'Raja Polis Malaysia' Datuk Yusof Haslam, Rabiah yang kudus dan akhir sekali (secara kebetulannya) filem Perempuan Melayu Terakhir karya Syed Azidi arahan Erma Fatima menutup tirai segala filem yang bertemakan 'wanita' untuk dekad 90an.
Alaf baru, Wanita dan Provokatif
Sejajar dengan alaf baru, filem kita juga menunjukkan arus perubahan baru, iaitu mula berjinak-jinak dengan kisah realisme masyarakat. Ini direalisasikan oleh Osman Ali, sutradara muda berbakat tanahair mula menghasilkan sebuah karya paling provokatif dalam sejarah perfileman melayu. Ia mencetuskan kontroversi serta perdebatan hangat di kalangan pengkritik dan juga penggemar filem tempatan. Filem dokumentari sub-budaya mak nyah, pelacuran dan AIDS ini juga berjaya membuka mata pihak-pihak tertentu, malah turut berjaya memasuki beberapa festival filem antarabangsa walaupun tidak diiktiraf oleh kerajaan kita sendiri. Malang sekali.
Seterusnya, filem-filem 'indie' mula mendapat perhatian. Ia mula menampakkan elemen 'kemesraan' di kalangan mainstream (mereka sudah mula boleh menerimanya) walaupun tidak dikomersilkan namun berjaya meraih perhatian. Seperti mana filem Dari Jemapoh ke Manchestee, Spinning Gasing juga The Big Durian. Bagaimanapun kita akhirnya disogok juga dengan produksi filem-filem besar yang lebih mendominasi pawagam berikutan 'kuasa' promosinya. Seperti filem PGL, promosi besar-besarannya jelas menampakkan pendominasian meskipun ia masih belum lagi dibuka tayangannya (sepertimana Lord of The Rings, Spiderman 2 atau mana-mana filem gergasi Hollywood).
Promosi Gergasi
Ia suatu yang pada dasarnya patut dibanggakan kerana usaha ini membuktikan kesungguhan serta komitmen mereka (tetapi dalam masa yang sama patut dikritik juga – "ada wang semua boleh"). Maka tidak hairanlah jika filem ini berjaya mengaut kutipan 'ekspress' apabila ia mula ditayangkan pada 31 Ogos nanti. Sedar atau tidak, tema 'wanita' (sepertimana protagonis wanita dalam Embun, Paloh dan yang terbaru sekali Maya Karin dalam Pontianak Harum Sundal Malam) sekali lagi menjadi pertaruhan besar untuk filem berbajet paling besar dalam sejarah produksi filem Malaysia.
Rata-rata, pastinya tahu dengan hikayat legenda Puteri Gunung Ledang ini, atau setidak-tidaknya nama puteri itu sendiripun sudah cukup sinonim dengan masyarakat melayu khususnya. Sebagaimana agungnya nama Mona Lisa di barat, begitu jugalah agungnya nama puteri itu. Kali ini, kisah yang ditulis oleh Mamat Khalid dan disutradarai oleh Saw Teong Hin ini, berteraskan cinta dan pengorbanan.
Kemertabatan Bahasa dan Budaya Melayu
Filem ini sarat dengan puitis. Seni bahasa yang digunakan sungguh tinggi. Ia memertabatkan bahasa serta estetika budaya melayu lama ke persada antarabangsa (PGL telahpun memasuki Venice Film Festival 2004). Ia sebuah gabungan drama, romantik, aksi, hikayat, mistik, fantasi, art, 'surreal' malah apa saja unsur yang diperlukan untuk sebuah epik yang bermutu.
Dari segi teknikal, bajet yang besar diperuntukkan sememangnya tidaklah mengecewakan. Lihat sahaja kostum, senjata, penggunaan kuda, CGI efek, koreografi pertempuran serta silat, skor muzik (oleh M. Nasir), sinematografi, kepelbagaian lokasi penggambaran dan yang paling menarik bagi saya ialah casting (pengambilan pelakon) yang akan membuatkan filem epik ini bakal laris di pawagam. Maka tidak mustahillah jika filem ini akan 'bersarang' beberapa purnama lamanya di pawagam-pawagam, bermula serentak dengan hari ulangtahun ke 47 sambutan kemerdekaan tanahair kita.
Keseluruhan barisan pelakon-pelakon hebat (Christine Hakim, Rahim Razali, Alex Komang, Sofea Jane, M. Nasir) dengan watak-watak yang ditampilkan sudah cukup untuk melonjakkan keterujaan menontonnya. Nama-nama besar itu semua sudah cukup menggegarkan. M. Nasir sebagai Hang Tuah membawa watak laksamana beperwatakan tegas tapi 'soft', handal dan sakti tapi melankolik. Watak Sultan Mahmud pula cukup 'gelap' dan sempurna ditonjolkan dan ia dikontras dengan begitu baik sekali melalui watak Bendahara oleh Rahim Razali. Alex Komang sebagai Gusti Adipati Wira Namtani (pemimpin kerajaan Majapahit) yang baran, penuh kesaktian malah di antara lakonan paling cemerlang dalam filem ini selain dukungan penuh 'natural' Christine Hakim yang memegang watak Mbok. Babak 'bunuh diri' merupakan paling dramatik lagi tragis untuk filem ini. Ekspresi wajahnya sudah cukup membuatkan saya menahan nafas seketika menahan kesebakan.
Namun di sebalik kegemilangan itu semua, PGL saya lihat tidak sempurna. Masih ada kekurangan meskipun dianggap kecil, tetapi ia tetap memberikan kesan yang maksima terhadap penontonnya. Bohonglah saya kiranya jika saya TIDAK katakan yang filem ini terlalu meleret-leret, slow-moving, terlalu 'arty' malah kadang-kadang sampai ke tahap 'rimas'. Seolah-olah filem ini bakal menerima nasib sepertimana filem Paloh tahun sudah – filem yang (khabarnya) ‘bermutu’ tetapi tidak mendapat tempat di hati penonton.
PGL dan Kontroversi
Sebahagian paparan juga boleh menjadi kontroversi. Salah satunya ialah babak keganasan kerajaan Islam Demak terhadap Majapahit dan tanah jawa. Ia satu sinikal terhadap dakwah Islamiyah, seolah-olah ekstrimis Islam itu wujud sejak dari zaman itu lagi.
Terus terang saya katakan bahawa sesungguhnya saya amat terkejut dengan babak pertemuan Tuah dengan wakil Pangiran Demak (lakonan Azmil Mustapha) sewaktu mendengarkan tutur bicara mereka. Apakah ini satu sentimen anti-Islamik yang cuba dipergambarkan? Adakah yang berjanggut dan berjubah itu senantiasa dianggap ekstrimis? Apakah akan wujud gelombang protes para ulama berikutan daripada babak ini? Sedang negara barat mula menerapkan nilai-nilai keagamaan ke dalam filem mereka, kenapa kita pula mengutuk atau menyindir agama sendiri?
Inilah yang saya katakan perkara kecil tetapi sebenarnya amat besar kesan serta interpretasinya. Janganlah kita terlalu mengambil mudah. Lihat saja bagaimana Mel Gibson sendiri 'menyembunyikan' kesalahan bangsa Roman dalam Passion of The Christ, walhal sejarah membuktikan orang Yahudi dan Rom lah yang bertanggungjawab atas kematian Jesus.
(Fikirkanlah, dan tidakkah kalian sedar, adalah amat memalukan apabila kita sendiri menggambarkan sebuah kerajaan Islam yang agung di tanah jawa suatu masa dahulu itu menakluk semata-mata kerana hajat yang tidak kesampaian untuk mengahwini seorang wanita. Persoalannya, di mana kalian letakkan maruah Islam yang suci itu? Kenapa cinta itu terlalu 'diagungkan' sehingga kita sanggup 'menutup mata' akan perkara ini?)
PGL sebenarnya memberikan tamparan yang sangat hebat untuk kaum lelaki melalui tema feminisme. Cinta yang tergambar walaupun penuh 'subtle' (lihat saja kelembutan Tuah) sebenarnya agak kabur, yang lebih menonjol ialah egoisme wanita (jadi bolehlah saya katakan bahawa watak yang didukungi Tiara Jacquelina sememangnya amat berkesan). Bayangkanlah pergolakan serta peperangan yang berlaku antara tiga buah kerajaan besar yang 'berpunca' dari seorang wanita. Kesetiaan Tuah terhadap sultan juga menemui jalan akhirnya berikutan cinta seorang wanita. Juga jatuhnya institusi kerajaan Melaka selepas itu adalah berpunca dari seorang wanita (walaupun tidak dilayarkan ke skrin). Seperti yang saya katakan di awal ulasan ini, bahawa tema 'wanita' sememangnya amat berkesan.
Cinta Agung yang Tidak Dirasai
Walaubagaimanapun, Cinta Tuah dan Puteri Gunung Ledang atau nama sebenarnya Gusti Putri Raden Ajeng Retno Dumilah semacam tidak 'kesampaian' dari sudut jiwa atau rasa. Ia tidaklah seagung cinta Laila/Majnun, Romeo/Juliet, Shah Jehan/Mumtaz, (Jack/Rose untuk Titanic?) atau mana-mana filem cinta agung epik lain. Ia tidak begitu menggetarkan hati, jauh sekali untuk mengalirkan air mata.
Maka amat mudah sekali jika 'tema cinta agung' yang dilaung-laungkan itu dianggap tidak berjaya. Paparan imej-imej yang indah (yang sarat dengan falsafah serta makna puitis) sahaja tidak mencukupi. Dan lebih malang lagi apabila watak-watak yang dibawakan amat cemerlang itu tidak berjaya dijustifikasikan sejajar dengan olahan skripnya yang saya boleh rumuskan sebagai "sebuah epik yang cantik tetapi sayang sekali...ia tidak sempurna". - mahhass@gmail.com
Nota Penulis : Meskipun pandangan aku lebih ke arah negatif terhadap PGL, namun aku TETAP menyarankannya untuk tontonan kalian semua (yg akan bermula esok 31 Ogos).
Apapun, pesanan aku, sebelum kalian melangkah masuk ke panggung, anggaplah filem PGL ini sekadar filem 'kecil' atau sederhana, nescaya kalian akan keluar dengan perasaan yang 'BESAR'. Jangan berbekalkan perasaan yang (terlalu) besar, nescaya kalian akan pulang dgn perasaan 'kecil'.
Selamat Menonton aku ucapkan. - Spiral a.k.a Mahhass
Ulasan-ulasan lain :
Oleh Fadz @ tontonfilem
Oleh Sultan Muzaffar
Oleh Jr @ Enchanted Realm
Oleh Shahnon
Oleh An @ wickiwild.tk
Oleh Aizuddin Danian
Oleh Noor Azam Shairi
No comments:
Post a Comment