Oleh Mahhass
Sebuah filem pendek karya serta arahan sutradara muda, Osman Ali. Walaupun durasinya begitu singkat (sekitar 30 minit) namun filem ini merupakan sebuah karya puitis yang hebat berbekalkan tema 'gelap', falsafah serta mesejnya yang cukup berat lagi mendalam.
Ia adalah kisah seorang isteri (lakonan Ning Baizura) yang menjalani hidup dengan menjaga suaminya yang terlantar sakit di sebuah rumah yang agak jauh terpinggir dari masyarakat. Kisah menyayat hati ini digarap melalui voice-over narration oleh anaknya iaitu sebagai (metafora) 'malaikat' yang sedang memerhati dan berbicara dari suatu sudut metafizikal jendela. Suara si kecil itulah yang menceritakan segalanya dengan penuh 'subtle' dan begitu menyentuh perasaan.
Mendengar keluhannya sahaja cukup membuatkan saya merasa sebak. Suara kerinduan si kecil itu untuk berada di pelukan ibunya dan kerapkali menyatakan hasrat dan berdoa agar ibunya sentiasa bersabar menempuh segala dugaan. Prosa 'literal' si kecil inilah yang sebenarnya menjadi aset utama kekuatan bagi keseluruhan filem ini.
Si ibu merupakan seorang bidan di kampung. Oleh kerana penyakit yang dihidapi suaminya, maka beliau dipandang serong, dan seolah-olah disisih masyarakat kampung itu. Sehinggalah suaminya pergi buat selama-lamanya. Saat itu beliau hanya mampu melihat jenazah arwah itu diusung pergi.
Si isteri yang kini tidak lagi membidan, meneruskan hidup sebagai nelayan. Namun, atas kegersangan kasih sayang, lalu sebuah dosa terpahat. Dan dosa itu merupakan entiti yang menggambarkan erti sebuah harapan yang kian musnah atau lenyap. Tambahan lagi suara 'resah' si kecil itu, 'menantikan' ibunya yang masih belum pulang-pulang lagi.
Kekuatan filem 'indie' (yang diterbitkan oleh Nuansa Films dengan kerjasama FINAS sebagai sebuah filem dana) ini selain dari kehebatan skrip dan arahan Osman Ali, ia juga terletak di bahu Teoh Gay Hian, iaitu pengarah seni fotografi yang telah menayangkan kita rangkuman sinematografi yang begitu indah lagi memukau. Paling menarik ialah sewaktu babak 'pensucian-dosa' di dalam air, berjaya memperlihatkan seni sebuah visual fotografi yang cukup membanggakan.
Begitu juga dengan alunan muzik latarbelakang oleh Nurzaidi Abd Rahman yang membentuk suasana kehibaan. Penggunaan dialog yang minimalis serta penghayatan watak-wataknya yang penuh kemanusiaan, walaupun pada mulanya saya agak skeptikal terhadap pemilihan Ning Baizura sebagai protagonisnya. Menariknya, pembawakan watak Ning sangat 'menjadi' malah menggegarkan.
Saya amat tertarik dengan jukstaposisi kampung (suasana yang tenang), perahu, sungai, laut dan AIDS (sebagai simbolisme hukuman ke atas dosa manusiawi). Ia memberikan kita pelbagai interpretasi yang mana saya percaya ianya agak 'samar' di kalangan audien mainstream. Walaubagaimanapun, saya kira Osman Ali telah berjaya menjadikannya sebagai sebuah karya yang cukup provokatif, landasan kedua selepas Bukak Api ke persada antarabangsa.
Kredit : Laman Web Nuansa Films, Malaysia
No comments:
Post a Comment