Oleh Mahhass
Keris Lama merupakan sebuah telefilem (VCD) seram yang diinspirasikan dari "Kisah Benar" terbitan majalah Mastika keluaran Oktober 2003 (tajuknya menghiasi kulit majalah). Bagi mereka yang pernah membaca kisah ini, pastinya tahu bahawa kisah ini jelas memberikan iktibar serta pedoman khususnya untuk kita sebagai umat Islam.
Ia menceritakan tentang seorang wanita tua bernama Mak Wok, yang telah jatuh sakit selama berbulan-bulan lamanya. Beliau dijaga oleh anaknya, Rahim. Anehnya, apabila waktu makan, beliau begitu pelahap sekali, seperti orang yang benar-benar kelaparan. Juga, walaupun difahamkan beliau terlantar sakit, namun penduduk kampung sering mengadu melihat beliau berkeliaran lebih-lebih lagi pada waktu malam. Akhirnya, Rahim meminta pertolongan Imam kampung untuk menyelesaikan masalah yang membelengguinya. Lantaran menyaksikan pertarungan getir Imam dengan Mak Wok yang sebenarnya telah dikuasai kejahatan lain (iblis dsb) berpunca daripada perbuatan syiriknya menyekutukan Allah.
Keesokan harinya, di kala azan subuh berkumandang, Mak Wok menghembuskan nafas terakhir. Namun, jenazah Mak Wok tidak seperti kebiasaan, kerana dalam masa yang begitu singkat sekali ia membusuk, malah segala macam jenis ulat dilihat mula meratah tubuh arwah tersebut. Bukan itu sahaja, mayatnya tiba-tiba bertukar menjadi hitam legam seolah-olah rentung terbakar. Ini berlaku setelah mayatnya dimandikan dan sejurus sebelum jenazahnya diusung ke perkuburan untuk dikebumikan.
Sungguh tidak saya menjangka sama sekali bahawa telefilem ini begitu hebat sekali. Agak jarang saya memuji filem-filem seram produksi tempatan, tetapi untuk telefilem ini, saya harus tabik hormat dengan pengarahnya, Opie Zami (atau kita lebih kenalinya sebagai Mat Rock dalam Spanar Jaya). Ia hampir sempurna dari segenap aspek. Dari teknik fotografi, sinematografi, olahan skrip dan lakon layar, kesan khas (bunyi & visual), elemen seram, 'gore', cemas serta suspen yang ditonjolkan seolah-olah menafikan bahawa ia dibikin oleh anak muda 'gila-gila' ini. Ada beberapa babak yang sungguh memeranjatkan sehingga terloncat saya dibuatnya!
Yang lebih melengkapkan lagi kesempurnaan VCD ini ialah dengan adanya sarikata dalam bahasa inggeris. Walaupun perkara ini (sarikata) dianggap kecil bagi sesetengah pengeluar filem (vcd khususnya), tetapi sebenarnya, ia amat besar besar pengaruhnya dalam memberi kesan apresiasi sesebuah tontonan. Saya berharap agar setiap pengeluar filem vcd tempatan tidak bersikap acuh tak acuh mengenai perkara 'subtitle' ini. Ia penting sebenarnya.
Sebagai komedian, Opie tidak lupa menyuntik unsur komedi ke dalamnya. Saya ketawa melihat watak seorang watak pemuda cina bernama Ah Lek, yang cuba menenangkan Tulang (salah satu watak dalam filem ini) agar 'mengucap' kerana terserempak dengan 'hantu' Mak Wok. Saiful Apek juga muncul (undangan khas) sebagai penyeri filem ini. Walaupun sesetengahnya (komedi) agak slapstik, formula komedi yang sama (berulang-ulang contohnya penggunaan dialog oleh Bob Ku2) dan agak lapuk tetapi ia berjaya diseimbangkan dengan baik malah masih mampu menggeletek hati.
Seperkara lagi yang menarik tentang filem ini ialah, ia tidak disudahi dengan mimpi (seramimpi). Seperti yang saya pernah saya mengutarakan untuk filem Kafir suatu ketika dahulu, di pengakhiran filem ini jelas memberikan hukuman terhadap segala kejahatan yang berlaku. Maksudnya, ia mengangkat darjah keIslaman, yang mana memberikan suatu tafsiran bahawa walau sehebat mana sekalipun kuasa sakti atau ilmu hitam yang diamalkan oleh seseorang itu, ia tidak akan mampu melawan kebesaran Tuhan.
Dan apa yang saya lihat, filem ini seperti memberi homage ke atas filem-filem seram melayu 60an, 70an dan 80an dahulu dan termasuk juga filem-filem produksi Indonesia yang seumpamanya. Ini suatu perkara yang harus dibanggakan. Tambahan lagi ia ditamatkan dengan paparan tafsiran surah Al-Nisa' - Ayat 116 dan Surah Al-An'aam Ayat 120.
Corak ending sebegini adalah jauh lebih baik dari mimpi (tiba-tiba di polan itu tersedar dari mimpi) yang jelas tidak memberikan sebarang impak apatah lagi makna ke atas sesebuah filem seram (atau kononnya tahyul dan terlalu 'ganas') itu. Untuk itu, saya tidak ragu-ragu untuk meletakkan telefilem ini antara genre seram yang terbaik tahun ini bagi produksi tempatan.
Syabas Opie aka Mat Rock serta semua krew yang terlibat dalam pembikinan VCD "Keris Lama" ini!
Konsep & Idea asal : KISAH BENAR dari Mastika (Okt. 2003)
Skrip (olahan semula) : Panel Skrip Opy Global Pictures Sdn Bhd
Sutradara : Opie Zami
Barisan Pelakon : Mohd Latiff Zami (sebagai Rahim), M. Rajoli (Imam), Maimunah Ahmad (Mak Wok), Bob Ku2 (Man), Mohd Syawal Hussein (sebagai Tulang), Paramasivam (Param), Tan Choo Yee (Ah Lek), Mohd Idrus Adnin (sebagai Bilal).
Terbitan : Opy Global Pictures Sdn Bhd & Hollymood Sdn Bhd
No comments:
Post a Comment