Oleh Mahhass
Kalau diikutkan, filem-filem yang berkisarkan tentang konspirasi politikal bukanlah antara genre kegemaran saya. Tetapi agak lain ceritanya untuk filem klasik The Manchurian Candidate. Filem yang diarahkan oleh John Frankenheimer pada tahun 1962 ini jelas mempunyai segalanya. Ia dikategorikan di antara filem yang paling 'sempurna' pernah dihasilkan.
Dari elemen konspirasi, horror (paranoia), sains fiksyen, cemas, suspen, perang dingin, cinta (romantis), pembunuhan, surrealistic, politikal melodrama, 'noirish' malah juga diselitkan dengan unsur black-comedy. Kesemua elemen ini digabungkan dalam filem ini. Ia digarap cemerlang oleh penulis lakon layarnya, George Axelrod (1922-2003) setelah diadaptasi dari novel hasil penulisan Richard Condon.
Ia mengisahkan tentang sekumpulan askar amerika yang baru sahaja pulang dari perang di Korea (Cold War). Mereka disambut, dijulang dan dianugerahkan pingat di atas jasa-jasa mereka oleh kerana kepahlawanan, kesetiaan mereka berkhidmat untuk negara. Sebelum itu kita akan 'faham' bahawa mereka terlebih dahulu telah di brain-washed oleh agen Soviet/Chinese (atau mungkin penentang kerajaan) untuk membunuh calon presiden ketika itu berdasarkan mimpi ngeri (pelik) yang dialami oleh semua askar yang terlibat. Walaubagaimanapun, filem ini hanya memberi tumpuan kepada dua watak utamanya, iaitu Captain Bennett Marco (lakonan cemerlang Frank Sinatra) dan Sgt. Raymond Shaw (lakonan Laurence Harvey).
Dari seawal minit pertama lagi, filem ini tidak henti-henti berdialog. (Jadi bagi sesiapa yang mengharapkan sebarang paparan aksi, filem ini bukan untuk anda!). Dari dialog-dialognya jika diamati betul-betul, ia begitu sarat dengan simbolisme dan membuatkan kita tertanya-tanya "Apa yang sedang berlaku, Siapa sebenarnya dan Mengapa?".
Filem ini memaparkan beberapa teknik yang begitu berkesan sekali terutamanya sewaktu babak brainwashing di Garden Club Party. Teknik (brain-washing) ini begitu sofistikated, sungguh original, sangat brilliant dan cukup istimewa, memandangkan filem ini dibuat hampir 42 tahun yang lalu. Tidak hairanlah filem ini diharamkan tayangannya di negara-negara 'Tirai Besi' (Soviet dan sekutu komunisnya termasuk China) sehinggalah tahun 1993 (setelah Soviet Union tumbang).
Menyentuh tentang lakonan, kesemua watak-wataknya begitu bernyawa sekali menggerakkan segala elemen yang saya sebutkan di atas. Frank Sinatra dengan gaya seorang hero moden Amerika. Adegan beliau di keretapi bersama Janet Leigh merupakan salah satu adegan yang paling bermakna untuk filem ini. Kedua-duanya jatuh cinta antara satu sama lain dengan penuh 'subtle' dan 'frankness'. Laurence Harvey pula dengan gaya tenangnya sebagai pembunuh. Manakala Angela Lansbury pula sebagai satira 'kejahatan' era politikal Amerika tatkala itu.
Kesan dan pengaruh filem ini bukan setakat itu sahaja, malah ada segelintir pihak yang mengaitkan filem ini dengan peristiwa pembunuhan Presiden J.F.Kennedy setahun kemudian. Samada benar atau tidak Lee Harvey Oswald telah diinspirasikan oleh filem ini masih menjadi tanda tanya sehingga kini. Berikutan itu, Frank Sinatra (yang difahamkan mempunyai hak ke atas filem ini) menghentikan tayangannya ke serata dunia sebagai tanda penghormatan di atas pembunuhan JFK sehinggalah ia di'release' semula dalam format Home Video itupun setelah hampir 25 tahun, iaitu pada tahun 1987.
Dan kini, buat pertama kalinya setelah hampir 4 dekad, filem ini telah di’remake’, dan kini sedang ditayangkan di serata Amerika. Ia dipertanggungjawabkan sepenuhnya di bahu Jonathan Demme, sutradara yang pernah menggegarkan serata dunia dengan filem The Silence of The Lambs . Adakah ini sekali lagi satu petanda bahawa Hollywood sudah ketandusan idea?
Dibarisi bintang handalan seperti Denzel Washington sebagai Capt Ben Marco (menggantikan Sinatra), Meryl Streep (sebagai Eleanor Shaw, mengambil alih tugas Angela Lansbury - saya harapkan Meryl Streep boleh 'meletup' di Oscar untuk filem ini sebagaimana Lansbury) dan Liev Shreiber yang memegang watak Sgt. Raymond Shaw.
Mungkin saya agak skeptikal (apatah lagi selepas menonton trailernya), apapun saya mengharapkan sebuah garapan baru yang lebih memikat di samping elemen-elemen penting filem ini dikekalkan... - yang mana telah menjadikan ia tersenarai dalam political-thriller terbaik pernah dihasilkan ini.
Nota : Terima kasih Fadz untuk VCD.
No comments:
Post a Comment