11 August 2004

Ulasan Filem : Frailty (2002)

Oleh Mahhass

Kembali menonton horror. Kali ini bukan sebarang horror yang saya tonton, tetapi antara genre yang terbaik pernah dihasilkan lebih-lebih lagi untuk alaf baru ini. Saya berani katakan demikian kerana belum ada lagi 'formula' horror sebegini rupa pernah dihasilkan sebelum ini.

Maka, Bill Paxton boleh sahaja berdiri megah apatah lagi filem ini merupakan filem sulung arahannya, ditambah pula 'keaslian' skrip hasil penulisan (juga kali pertama) Brent Hanley yang di bawa ke layar besar.

Kalian usah tersilap, kerana Frailty bukanlah filem blockbuster baru sebagaimana The Village yang sedang menggegarkan panggung wayang kita tatkala ini, kerana filem ini terlalu di'underrated' suatu masa dahulu. Tidak ramai yang mengetahui kewujudan filem ini. Saya sendiripun harus mengaku yang saya terlalu pesimis terhadap filem ini pada mulanya.

Sehinggalah saya diyakinkan oleh Fadz, yang meletakkan filem ini sebaris dengan filem-filem cult pilihannya untuk tahun 2003.

Bukannya apa, tapi lihatlah saja dengan tajuknya... (sungguh tak meyakinkan tambah lagi rupa cover dvd/posternya). Lagipun, tajuknya memang tak berapa sesuai dengan intipati yang terkandung di dalamnya. Banyak tajuk lain yang lebih sesuai, lebih 'kena' atau lebih menarik perhatian untuk filem ini pada hemat saya. Mungkin ini salah satu faktor kenapa filem hebat ini 'diabaikan' peminat horror khususnya.

Premisnya mudah. Kisah pembunuh bersiri yang diberi gelaran "God’s Hand" yang sudah sekian lama diburu pihak FBI. Kisah ini bermula dengan abang kepada pembunuh bersiri itu tampil di pejabat FBI lalu membuat pengakuan dan menceritakan segalanya secara terperinci tentang sejarah adiknya itu, yakni dari saat mereka berdua masih lagi kecil. Beliau mengimbau kronologi bagaimana, di mana dan yang paling pentingnya ialah persoalan "MENGAPA" perkara itu semua berlaku.

Lalu kita ketahui yang ayahnya telah diturunkan suatu 'rahmat' kuasa/sakti, yang menjadikan beliau (diamanatkan) sebagai penghapus 'syaitan yang bertopengkan manusia' di muka bumi ini. Maka bermula saat itulah (setelah nama-nama syaitan itu 'diutuskan') lalu seorang demi seorang mangsa tersebut diculik dan dibunuh.

Walaupun temanya berbunyi seakan sebuah lagi kisah 'gore-slasher-horror', apatah lagi terdapat alatan membunuh seperti 'kapak', sarung tangan, tempat persembunyian rahsia bawah tanah (sebagai 'medan' pembunuhan dilakukan) namun kesemua material ini bukan sebenarnya dijadikan elemen asas yang menguatkan genre ini. Apa yang nyata, 'kisah keluarga' itu sendiri (yang dianggap disfungsi) merupakan "keseraman sebenar" filem ini. Jika filem Se7en 'gah' dengan psycho-thrillernya, Frailty ada ramuannya tersendiri lebih-lebih lagi twist di bahagian akhirnya.

Walaupun filem ini begitu menggegarkan tetapi sebenarnya cukup 'mudah'. Ia terlalu mudah untuk disukai (dari sudut apresiasi horror), juga amat mudah dibenci - khususnya bagi mereka yang terlalu 'melihat' filem ini ke arah konteks keagamaan.

Seperti biasa, saya tidak mahu membicarakannya (tentang keagamaan) kerana saya tahu pendirian saya. Kerana setiap apa jua filem yang berkisarkan keTuhanan, keMalaikatan, syaitan (kejahatan) serta benda-benda ghaib yang dimanipulasikan Hollywood, pastinya ada di antaranya yang boleh membuatkan kita untuk "melihat dari sudut Islam" (yang mana kita boleh hubungkaitkan dan yang mana tidak). Harus tidak akan wujud istilah "filem yang menyesatkan" selagi kita berpegang teguh pada Iman kita.

Dari filem-filem sebegini, sebenarnya lebih menguatkan lagi pegangan kita terhadap agama kita. Ia seolah-olah melihat melalui 'pantulan cermin'... yang pastinya kita sendiri tahu membezakan mana yang realistik dan yang mana simbolistik.



Memetik kata Fadz: "..adalah antara filem yang berani 'menarik' kita masuk ke dalam lubangnya, dan bukan sahaja kita 'dipaksa' duduk dalam lubang itu, kita tidak dibenarkan keluar langsung dari lubang itu."

Saya pula akan katakannya dengan lebih mudah dan ringkas : "Getir dan sungguh original"

Sutradara : Bill Paxton
Skrip & lakon layar : Brent Hanley
Barisan Pelakon : Bill Paxton, Matthew McConaughey, Jeremy Sumpter, Matt O'Leary
Genre : Drama/Thriller/Horror/Misteri/Seram/Slasher/Psycho dll.
Tahun : 2002
SKRIN Rating : A- (4/5)

No comments: