Oleh Fadz
"Aku Aznil lah, bukan Azwan!"- Aznil Hj. Nawawi.
Agak menyesal juga bila aku dapat tahu MAKAR dah tak ditayangkan. Tak sempat. Mungkin tu aje filem tempatan yang aku terlepas (aku masih ingat lagi janji aku). Filem ni pula, dengan trailer yang berkumandang O Fortuna!, hmm, nampak boleh tahan. Lebih-lebih lagi, Aznil baru sahaja menghabiskan mengacara AF2. Ini memang filem sulungnya (rakannya Azwan dikatakan ingin membikin komedi TV Lontong ke filem) setelah beberapa filem komedi santapan Hari Raya yang Aznil lakukan (beberapa daripadanya agak baik, aku selalu anggap Aznil sangat keratif orangnya), dan siri semacam Kandid Kamera, WWF versi Malaya, berita hiburan di RTM. Dengan kreativitinya, semangatnya, kerajinannya, ia tidak patut menjadi masalah.
Setelah menonton Aku No. 1, aku berbelah bahagi, ada beberapa gaya yang ada 'ini cop Aznil' yang mencuit hati, tetapi ada yang terlalu-lalu dan 'malas', membuat filem sulungnya ini yang beridea besar nampak terumbang-ambing (mungkin ini disengajakan. Menunjukkan bidang media tempatan sendiri memang begitu, nampak selesa, seronok dan sistematik pada penonton umum, tapi sebenarnya di balik tabir, ia chaos memanjang seperti filem Network).
Filemnya mudah. Plotnya mudah. Malah terlalu mudah, kita senang mengikutinya. Adalah beberapa plot twist, dengan motif dan rahsia membongkar di sana sini. Secara keseluruhannya, ia nampak seakan Aznil benar-benar tengah syok bermain (atau main-main) dengan konsep, dengan apa yang ingin dibawanya. Tetapi seakan ada sesuatu yang kurang, mungkin sebab ia sendiri sebuah filem 'luar kawalan' (ironi pada beberapa elemen 'detail' filem ini yang disengajakan), mengingatkan aku pada konsep kumpulan Monthy Phyton, juga filem-filem arahan Terry Gilliam, absurd, penuh fantasi, surreal (ada beberapa babak mimpi yang tiba-tiba 'berlaku dalam realiti', sangat menarik) dan boleh mengarah ke mana-mana yang ingin dituju, semacam biji atom yang dipisahkan dan mula menghentam antara satu sama lain, tetapi kemudiannya, pecahan atom itu LESAP tiba-tiba.
Itulah Aku No. 1.
Maka adalah beberapa suntikan Aznil yang sangat menjadi. Witty pun boleh, berlipat ganda makna pun boleh. Ini terletak pada dialog-dialog yang diulang-ulang oleh watak filem ini ("yang benar, sebenar-benar, benar", "kita ni kan 'colligans' ", "semua mesti di 'i-mail'").
Kadang-kadang, kepala hotak Aznil memang gila. Dia membuat kita ketawa di tempat-tempat 'the least expected'. Seperti babak waktu Aznil membongkar rahsianya tentang 'saya anak yatim piatu, bukan orang kaya' yang sepatutnya dibuat penuh emosi 'kasihan'. Di latar, kita sedar kereta yang mereka bawa sedang GOSTAN tanpa henti. Kemudian, di satu babak, Aznil yang sedang marah, tiba-tiba menyuruh penolongnya yang sedang memandu "lalulah, aku nak drive" dan terus ambil stering kereta, dan dalam perbualan itu, tiba-tiba keluar sahaja dari kereta kerana merajuk! Sungguh absurd, tapi agak menjadi!
Semua perkara ini berlaku menunjukkan 'ekspresi' watak dalam filem itu. Kadangkala ada beberapa simbol yang 'mengacau' mis-en-scene satu-satu babak. Simbol-simbol ini adalah 'isi hati' watak-watak itu apabila berbicara (seperti jerung, tiba-tiba melihat penonton), yang tak mungkin diluahkan oleh wataknya (kadang-kadang wataknya bermonolog tanpa voice over), tetapi kita sedar, itu yang ingin mereka bahaskan. Elemen GILA paling gila dari Aznil adalah bagaimana tiba-tiba watak itu tiba-tiba menegur seorang watak yang lain apabila mereka 'bercakap belakang orang'. Dalam dunia Aznil, semua boleh jadi...Tapi itu yang agak tidak sedap. Komedi sepatutnya menelanjangkan, menggambarkan, menyindir atau satira (sepertimana Buli, Lips to Lips, Mekanik, filem-filem Scenario).
Filem ini agak dikdaktik, memberitahu 'filem ni ada PENGAJARAN buat personaliti-personaliti yang ingin bekerja dalam bidang media' walaupun sebenarnya ia ada riwayat hidup (atau kononnya kontreversi) persahabatan Aznil dan Azwan. Contoh-contoh yang mengelirukan adalah, kenapa tiba-tiba Salleh Yaakob 'boleh' menang, kenapa Bard masuk wad gila dan lain-lain 'plot terjun'.
Filem ini lebih cacat apabila pelakon-pelakonnya melakonkan watak 'dibuat-buat'. Tidak salah, memang. Tetapi kadang-kala ia sangat menyinggung aku, kerana lakonan OTT yang sangat tidak terkawal (lebih-lebih lagi Azwan, Jeslina Hashim). Adakah Aznil ingin mengatakan, semua orang media begitu, 'over'? Ironinya, hanya Aznil yang memberi lakonan yang terkawal dan agak baik, juga Yassin sebagai 'pak pacak pelbagai', juga si managing director Mami Jun itu.
Mungkin filem ini mempunyai pelbagai mesej yang lebih 'pedas-pedas-pedas' dari Bintang Hati dalam menonjolkan hipokrisi dan realiti media dan hiburan tempatan (antara perkara yang menarik yang aku lihat, Aznil ingin memberitahu, kita tidak boleh lari dari mengumpat. Mengumpat itu media dan media itu mengumpat. Maka masyarakat sendiri memakan 'umpatan' itu, dan mereka juga terpengaruh dengan aktiviti ini lalu membuatnya satu proses yang normal dalam masyarakat. Atau sebaliknya, mana-manalah, macam filem ni) juga bagaimana orang awam sebenarnya tidak ambil peduli pada sesiapa yang dihidang oleh pihak media. Tetapi caranya agak memeranjatkan, meriuhkan, juga 'entah apa-apa'.
foto : filemkita.com
No comments:
Post a Comment