03 August 2004

Ulasan Filem : Confusion of Genders (2003)

Oleh Mahhass

"Sebelum aku dihujani pelbagai 'tomahan', harus aku katakan, bahawa faktor yang telah mempengaruhi aku untuk menonton filem ini adalah kerana terpampangnya beberapa 'label' di poster filem ini, iaitu kejayaannya memasuki festival filem antarabangsa seperti Sundance, Palm Springs, New York serta Cesar Awards, France – bukan sebab 'jenis' atau apa-apa sahajalah tentang filem ini."

Confusion of Genders adalah sebuah lagi filem Perancis. (ya, filem mereka lagi...). Sudah cukup bosan rasanya untuk saya menonton filem keluaran Perancis yang tak sudah-sudah dengan kisah paparan seks explicit dan segala macam permasalahannya. (Tentu sahaja kita boleh meneka kisahnya dengan hanya berpandukan pada tajuknya). Saya cuba untuk tidak mempedulikan paparan itu semua kerana apa yang saya cari ialah 'cerita' yang ada dalam sesebuah filem itu.

Filem ini mengisahkan Alain Bauman (lakonan Pascal Greggory), seorang lelaki berusia 40an (dalam midlife crisis), yang masih lagi tidak berpijak di alam nyata. Beliau masih keliru dalam 'mencari' dirinya sendiri. Mencari jawapan samada adakah beliau merupakan seorang gay, biseksual mahupun heteroseksual.

Alain merupakan seorang peguam. Mempunyai teman wanita yang juga sepejabatnya iaitu Laurence (yang juga terbelenggu dalam midlife crisis). Mereka seringkali tidur bersama. Pada masa yang sama, (seperti yang saya katakan tadi bahawa beliau 'keliru'), Alain menjalinkan hubungan dengan Christophe, (gay yang begitu mencintainya). Kebingungan Alain kian bertambah apabila Laurence disahkan mengandung, lalu mereka terpaksa merancang untuk mendirikan rumahtangga. Maka di sinilah konflik yang dialami Alain berikutan hubungan songsangnya ini menjadikannya bertambah rumit dan membingungkannya.

Dalam masa yang sama juga, kliennya, Marc yang berada dalam tahanan penjara sanggup menyerahkan 'dirinya' untuk dijamah Alain semata-mata untuk meminta Alain memujuk teman wanitanya Babette, berjumpa dengannya. Bagaimanapun, Babette tiba-tiba pula menaruh hati terhadap Alain (setelah berkali-kali beliau berjumpa dengannya). Di sini, kita sebagai penonton, mungkin dapat melihat kekeliruan demi kekeliruan Alain dalam usaha mencari 'cinta' sebenarnya apatah lagi beliau akhirnya berkahwin dengan Laurence. Sehinggakan sewaktu upacara perkahwinannya, Alain mengaku yang beliau lebih mencintai Cristophe, iaitu pasangan homoseksnya.

Apa yang boleh saya katakan ialah perjalanan plot filem ini ternyata lemah dan cukup membosankan. Begitu banyak sekali paparan ranjang yang terkandung di dalamnya yang jelas tidak 'asli', artistik apatah lagi untuk ditakrifkan sebagai 'seksi'. Sekali lagi saya tidak mengerti kenapa filem explicit yang bertemakan seks sebegini berjaya memenangi hati para juri sehingga disanjung, diangkat dan dipuji di festival filem antarabangsa. Adakah juri-juri lebih mengutamakan filem yang bertemakan seks sebagai kriteria penting dalam pemilihan filem-filem bermutu? Atau adakah mereka-mereka itu juga terdiri dalam golongan (biseksual) itu? Kalau filem ini berjaya di peringkat Lesbian & Gay International Film Festival barangkali tidaklah menghairankan.

Kalau dinilai dari segi teknikal juga tiada apa yang boleh dibanggakan. Tidak seperti Humanite dan mana-mana filem Perancis yang banyak menekankan aspek sinematografi, filem ini tidak wujud itu semua malah watak-wataknya langsung tidak berjaya menimbulkan sebarang respons di hati, kecuali saya lihat watak Marc yang bolehlah dikatakan paling berkesan (dilakonkan oleh Vincent Fernandez).

Walaupun filem ini pada dasarnya adalah sebuah genre komedi namun, keseluruhan watak-wataknya tiada menunjukkan sebarang simbolik komedi (ekspresi wajah terlalu serius) yang sekurang-kurangnya boleh membuatkan kita senyum (kalau tidak ketawa sekalipun). Mungkin juga elemen komedi ini boleh dirasai bagi penonton Perancis saya kira.

Barangkali juga kerana sarikata DVD yang rasa saya, tidak berapa seiring dengan dialog (komedi), ditambah lagi dengan kebosanan lakonan dan skripnya, memaksa saya untuk melabelkan filem ini "entah apa-apa entah".

SKRIN Rating : C- (1.5/5)
Keseluruhan DVD kualiti : 4.5/5
Mengandungi galeri imej, beberapa buah teaser/trailer DVD filem-filem asing dari Tales of Orphanage seperti Abandoned, Class Trip, Killer Kid, dan lain-lain.

No comments: