Oleh Fadz
Dua hari lepas, aku pergi cari DVD 'lanun' di tempat biasa aku. Aku pilihlah beberapa DVD. Sebelum tu, aku dah ke sebuah kedai Melayu yang masih menjual VCD filem Melayu lama. Aku beli Anak Sarawak ("Terbitan Kerajaan Negeri Sarawak") arahan Rahim Razali.
Aku punggah-punggah deretan senarai filem-filem DVD tu. Aku jumpa Atame! arahan Almadovar (filem yang menaikkan lagi nama Antonio Banderas sebagai simbol seks di Sepanyol), Underground arahan Emir Kusturica (filem Bosnia yang pertama aku lihat dalam suratkhabar The Sun yang buat aku kata, "Aku kena tonton filem ni") dan Midnight Cowboy (antara filem terbaik yang aku tonton di HBO yang aku tahu, aku kena beli DVDnya kerana ia antara filem 'favourite' aku).
Amoi yang jaga kedai tu tengok filem-filem yang aku beli. Dia tengok plastik VCD yang aku beli sebelum tu.. Dia tertanya, kenapa aku beli 'filem lapuk', aku terus-terang kat dia, aku memang tengah 'mengumpul' filem-filem lama, baik Melayu dan luar.
"Yang ni?" Dia tunjuk filem-filem yang aku nak beli dari dia.
"You suka 'cowboy' ya?" ... Aku ketawa.
Aku terus-terang: "I love depressing movies".
Dia kata aku pelik untuk beli filem-filem 'depressing'.
"Yang ni pula?", dia tunjuk kat Atame!.
Aku kata: "Ni filem seks"
Dia tersengih, terus kata: "Blue pun saya ada mah... mau?"
Well, that's another story... (frasa Neverending Story)
Malam semalam pula, aku ke UM dengan Azwan dan GAIA untuk tonton Salaam Bombay arahan Mira Nair (Monsoon Wedding, 9/11/04 Documentary, The Perez Family, The Kama Sutra). Selepas menontonnya, aku baru sedar, aku sudah menonton sebuah filem paling 'depressing' yang pernah aku tonton.
Aku dah lama teringin nak tonton filem ni, sejak artikel tentangnya keluar dalam The Times Magazine dan bagaimana orang negara India amat marah dan benci filem kontreversi ini hinggakan filem ini terpaksa di'tutup' tayangannya di negara lahirnya. Mereka amat marah hinggakan (kalau aku tak silap) waktu tayangannya di beberapa pawagam kecil di kota Mumbai, penonton membaling kerusi, mengamuk dan memarahi si projektor filem untuk berhenti memusing filem ini.
Kenapa mereka benci sangat filem ni?
Filem ini juga membuat aku ingin sangat menontonnya bila sebuah filem komedi lakonan Bette Midler dan Woody Allen sebagai pasangan suami isteri bergaduh (kerana mendapati masing-masing curang) dalam sebuah pawagam yang sedang menayangkan Salaam Bombay! (nama filem itu ialah Scenes From The Mall).
Kenapa pula orang luar suka sangat mem'parodi'kan filem ini?
Kedua-dua persoalan itu terjawab kerana ini- Realitinya. Apabila filem ini berjaya dalam melayarkan sebuah kehidupan yang real (dengan menggunakan teknik realisme dan dokumentari, seperti mengambil pelakon-pelakon yang tidak profesional, gambaran di lokasi, tangkapan-tangkapan tersembunyi untuk menangkap reaksi penduduk Mumbai) di India, atau lebih tepat, kehidupan bandar di India tentang golongan 'kelas bawahan', ini yang membuat filem ini disayangi penonton luar dan dicerca penonton India. Walaupun secara teknikalnya, filem ini patut memuji Mira Nair kerana ceritanya dan arahannya, kuasa filem ini secara teknikal terletak pada suntingan (seorang Orang Puteh) yang sangat baik dan penggambaran yang sungguh cantik, antara yang terbaik dari sebuah filem realism.
Filem ini adalah sebuah filem anti-bollywood besar-besaran. Malah beberapa babak dalam filem ini sebenarnya, secara menyindir, mengutuk bandar 'pembikinan filem kebangsaan' India itu sendiri - Mumbai. Tidak ada tari menari dari wajah-wajah cantik dan segak. Hanya seorang anak perempuan kecil yang belajar 'Inggeris' dengan paluan radio, ibunya merokok senyum dengan anak lelaki menari bersama anak perempuan kecil tadi. Si budak lelaki yang menyanyi sebuah lagu ad-lib Sri Devi (GAIA beritahu siapa pelakon sangat seksual itu yang ditayangkan) bernyanyi sambil kencing di rel keretapi. Seorang lelaki 20-an mengambil dadah untuk mencari impiannya, melarikan diri dari realiti hidupnya (satu simili kepada penonton majoriti India yang mencari impian mereka menonton Hindustan di pawagam-pawagam). Seorang penjual tiket memberitahu si kecil, "Kau ke Bombay, balik jadi bintang!". Si suami yang juga bapa ayam isterinya mengherdik isterinya (kalau tak salah aku, dalam norma masyarakat India, lelaki selalunya mempunyai kuasa terhadap isterinya, malah arahan suami mesti dipatuh habis-habisan, kalau tidak, nerakalah jawabnya pada si isteri.
Ini ditonjolkan dalam riwayat hidup Rama dan Sita sebagai gambar ideal pasangan suami isteri India yang sepatutnya, di mana filem Fire arahan Deepa Mehta [antara filem India kegemaran aku] cuba melawan norma ini) si pelacur yang cuba meninggalkannya, "Kau mahu jadi wali pelacur? Kau mahu jadi 'Mother India'?" (Mother India adalah sebuah filem agung bollywood tentang simbol seorang wanita India yang benar-benar India).
Dan paling menyeramkan - beberapa budak lelaki bawah umur minum 'arak murah', dengan kaca mata hitam dan baju warna-warni yang lusuh, seakan mengajuk bintang-bintang Bollywood, bernyanyi dan ketawa penuh ghairah (pada saat babak ini, aku sudah tidak boleh menontonnya.. Mata aku tak menangis tapi hati aku sudah cucuh, lebur. Sejak filem itu mula, aku masih boleh ketawa dalam beberapa babak, tetapi sampai saat itu, aku tidak boleh lagi tersenyum dan menonton filem itu secara langsai.. Ingat A Clockwork Orange waktu McDowell diklip matanya luas-luas untuk menonton keganasan dan seks? Begitulah yang aku rasa sewaktu menonton selebihnya filem itu selepas saat ini).
Salaam Bombay! meneruskan perjuangan dalam memberi peluang pada kanak-kanak untuk berlakon dengan sempurna sepertimana Panter Panchali, 100 Blows!, Pixote dan Au revoir les enfants, dan aku sedar filem ini juga yang memberi inspirasi pada ramai pembikin filem untuk meneruskan (malah Mira Nair bagi aku, berjaya mempopularkan kembali Neo-realis) filem-filem realiti tentang golongan bawahan, kanak-kanak tertindas kerana kemiskinan dan isu kemiskinan itu sendiri. Kerana banyaknya elemen dalam filem ini didapati ada dalam filem-filem seperti filem-filem Iran (menggunakan kanak-kanak tidak profesional untuk berlakon, elemen neo-realis), Central Station (persamaan watak seorang 'penulis surat' untuk masyarakat buta huruf dalam Salaam Bombay!), Daun Di Atas Bantal (Azwan mengatakan filem Daun lebih menggetirkan).
Bagi aku filem ini lebih getir, malah banyak sungguh persamaan filem itu dengan filem ini - kanak-kanak terbiar yang terpaksa dewasa dengan cepat dan belajar tentang dunia, kegagalan orang dewasa untuk menjaga anak-anak ini, dadah dan rokok, keretapi laju, pengakhiran yang pesimis.
Sebuah filem Melayu, KAMI lakonan Sudirman mempunyai ton yang sama walaupun lebih meneliti perhubungan kawan kedua pelakonnya), Ali Souza-Prince of Theives (kanak-kanak menciptakan khayalan/mitos yang mengelilingi hidup merempat mereka), City of Joy (hidup miskin masyarakat Culcutta yang agak sama tonnya dengan filem ini, tetapi mempunyai sentuhan 'hollywood'. Bagaimanapun, filem ini juga dibenci oleh rakyat India kerana menonjolkan realiti golongan 'the slum' mereka) dan mungkin juga Bukak Api Osman Ali dan Sepet Yasmin Ahmad.
Shafiq Syed, pelakon kecil yang membawa watak Krishna/Cahipau (budak teh) juga antara 'miracle' filem ini. Lakonannya (simbolsime innocence, harapan ada dalamnya) sungguh berkesan, malah berjaya membawa aku melalui filem getir ini hingga penghujung. Waktu akhir filem ini yang sungguh 'ambiguous', waktu Syed memandang penonton, aku teringat akan wajah gadis Afghanistan di muka depan National Geographic (mereka kata, the 20th Century Mona Lisa) yang mana kita sedar, kita memahami hidupnya, sudah melaluinya bersama, mana, ini realiti, ini realiti yang Mira Nair cuba 'bogel'kan (atau 'on your face') pada kita. Mungkin kita tidak akan membuat apa-apa, sekurang-kuranya kita sedar adanya realiti tiada harapan ini di India.
Maka 'ketiadaan harapan' ini jugalah yang menyebabkan filem ini di'ban' di negaranya. Juga penonjolan kerajaan itu sendiri tidak dapat berbuat apa-apa dalam merubah strata kehidupan masyarakatnya. Ini pula ada kena mengena dengan budaya dan norma yang sudah lama terselam dalam India, yang berkenaan juga dengan pengaruh agama Hindu iaitu pembahagian kasta.
Mungkin ramai para politik India menegahnya tetapi realitinya, ia akan dan sentiasa tetap ada dalam hidup orang India. Ini dipertonjolkan dalam babak 'The Chiller Room' yang mana budak-budak berpeleseran diletakkan dalam sebuah 'penjara anak yatim' (sebuah babak yang sungguh gelap adalah waktu budak-budak itu seakan membaca rukun "kami semua adalah 'satu' " yang seakan satu idealisme komunis. Aku teringat pada satu dokumentari tentang perayaan kemerdekaan Singapura yang mana mereka ramai-ramai memakai merah putih dan menjerit riang slogan kerajaan "One Singapore".. aku teringat akan 1984 George Orwell.. sangat menakutkan..), yang mana Syed berjaya melepaskan diri, menonjolkan bagaimana sistem itu sendiri sangat rapuh dan sangat senang dilanggari (hinggakan si pelacur yang anaknya ditangkap, mengatakan "Adakah kau ingat negara ini boleh menjadi ibunya?").
Malah sebuah lagi simbol separa sedar yang amat menggetar penonton India adalah simbol-simbol keagamaan yang ditonjolkan dalam filem ini. Satu adalah babak budak-budak itu tidur yang mana gambar Ka'abah, Dome of Rock dan Jesus di tabir mereka (agama-agama ini agama minoriti di India..Azwan mengatakan pada aku, mungkin ini menyimbolkan agama hanya satu hiasan dalam hidup-hidup orang ini), dan bagaimana dewa Ganesh dipuja di Chiller Room (Mira Nair melakukan ini dengan amat menyeramkan, membuatkan seakan budak-budak itu di'program'kan untuk memuja!) dan di jalan kota untuk perayaan Ganesh Chaturthi, yang mana si pelacur dan si budak yang berpegang tangan tiba-tiba terlepas dalam ke'chaos'an dan ghairah penyembah Ganesh.
Ini menggetarkan lagi apabila perayaan itu dibuat untuk memuja dewa agung Hindu ini yang disimbolkan sebagai "Lord of success and destroyer of evils and obstacles. He is also worshipped as the god of education, knowledge, wisdom and wealth".. Sindiran ini sungguh halus, memberitahu penduduk India bahawa 'ecstacy' agama mereka juga, dalam ironinya membawa kesusahan dan kesedihan (seperti yang ditunjuk berlaku pada si budak dan si pelacur).. Adakah sebab 'mereka' tidak layak mendapat rahmat dewa Ganesh, itu karma mereka, atau kerana paksaan sosial mereka dan perspektif orang India yang tidak akan memberi mereka peluang langsung untuk bergembira? (selain dari mendapat eskapis dari dadah, arak, menari, menyanyi, merokok dan menonton Hindustan). Gambaran ini lebih getir apabila kita sedar, babak-babak budak-budak itu tidur di sisi gambar simbol agama lain tadi, walaupun sejuk, mereka mempunyai 'rumah' untuk tidur dan melepaskan penat.
Mungkin kerana itu filem ini dibenci sangat.
Azwan memberitahu aku tentang kata-kata Ku Seman "filem tidak mengajar"..Kata-kata itu sungguh benar. Filem hanya memberi 'rasa', tetapi 'rasa' itu sebenarnya tidak benar-benar boleh di'rasai' hinggalah kita sendiri yang melaluinya (ini dipetik dari sedutan buku Imam Ghazali Ayyuhal Walad, yang mana kebanyakan ilmu rohaniah, adab dan ilmu tentang selok-belok dunia hanya dapat dipelajari hanya apabila kita 'melalui'nya)... Dari rasa itulah, kita akan sedar sesuatu, mempengaruhi kita atau membuat kita melakukan sesuatu yang lain.
Mungkin filem ini tidak mungkin menginsafkan kita. Tetapi sekurang-kurangnya ia membuka satu tingkap realiti untuk kita sedar, 'ohhh, ada orang sebegini di dunia'.
Mungkin filem lakonan Woody Allen boleh 'mengutuk' filem ini apabila mereka bertengkar tentang 'realiti' hidup keluarga mereka dalam tayangan filem ini sedang satu pasangan India sedang runsing menontonnya kerana kebisingan mereka (untuk mengatakan hidup mereka lebih 'sengsara' dan 'real' dari kesengsaraan yang berlaku dalam Salaam Bombay!), tetapi ia juga satu homage (kerana dalam filem ini, dengan situasi yang sama, budak-budak ini menonton sebuah filem lakonan Sri Devi, yang mana mereka memekak hingga penonton 'kelas pertengahan' memarahi mereka.
Si budak itu menjawab "kami membayar seperti kamu apa?". Ini adalah 'simbol' filem ini, memberitahu bahawa filem ini juga berhak disamping filem-filem hindustan yang lain), tentang bagaimana, sengsara ini benar, on the face dan amat-amat benar dalam meriwayatkan hidup orang miskin, terbiar dan kehilangan 'innocent'.
Ulasan oleh Fadz
Disusun dan diterbitkan semula oleh Mahhass
Lihat senarai penuh Awards Salaam Bombay!
No comments:
Post a Comment