Oleh Mahhass
Jika saya rujuk kepada garis panduan Lembaga Penapisan Filem Malaysia (LPF), maka jelas sekali, filem Kafir (atau judul lainnya "Satanic") keluaran negara seberang ini (Indonesia) tidak memenuhi syarat yang ditetapkan kerana :-
1. Filem ini ADA beberapa adegan ganas seperti darah bersembur-semburan.
2. Filem ini ADA mengandungi adegan keluar masuk kubur.
3. Filem ini TIDAK diakhiri dengan MIMPI, maksudnya, bukan mimpilah!
Jadi, saya tidak pasti samada (VCD) filem ini ada dipasarkan atau tidak di Malaysia, kerana saya memperolehinya melalui teman saya di Jakarta.
Kafir menceritakan tentang seorang dukun santet (santau) yang bernama Kuntet (didukung oleh Sujiwo Tejo). Beliau mempunyai isteri yang bernama Nyi Syariah (lakonan Meriam Bellina) dan seorang anak lelaki.
Bagaimanapun, di awal babak filem ini, telahpun dipaparkan kepada kita akan kematian dukun itu (mayatnya diusung untuk dikebumikan). Pengkebumian ini bagaimanapun ditentang orang kampung yang rata-ratanya begitu membenci dukun tersebut, sehingga mereka mengharamkan mayatnya berada di kampung tersebut.
Maka, kita akan faham kenapa dukun tersebut terlalu dibenci penduduk setelah satu persatu ceritanya dikupas melalui struktur imbasan (yang diceritakan oleh isterinya).
Sebenarnya, saya bukan bertujuan untuk memberi penilaian untuk filem ini, kerana sememangnya filem-filem klasik yang berteraskan unsur kebomohan, mistik atau ilmu hitam ini agak sinonim dengan filem keluaran negara Indonesia.
Namun, apa yang saya cuba tekankan ialah walaupun elemen-elemen seperti 'kuasa sakti' atau 'kebal' yang dipaparkan, pengarah atau penulis skripnya masih lagi memberi sebuah kontras atau perbedaan yang baik.
Sebagai contoh, watak hitam si dukun tersebut yang percaya bahawa kononnya beliau adalah Wali yang akan hidup kekal, maka akan wujud juga watak putih tipikalnya, seperti orang-orang alim (secara fizikalnya mempunyai janggut panjang, berserban, memegang tasbih sambil memuji nama-nama Allah) yang akan menentangnya.
Maka, mesej sebenar yang cuba disampaikan ialah tiada kuasa lain (iblis, setan dan sebagainya) yang dapat menandingi kebesaran Tuhan. Ini sebenarnya diperjelaskan dengan baik (biasanya di akhir babak) dan sebab itulah tidak sepatutnya wujud sama sekali garis panduan di atas SELAGI mesej keTUHANan itu sampai kepada penontonnya.
Apa yang lebih menarik, filem ini terang-terangan mengutuk perbuatan syirik sehinggakan 'tagline' untuk filem ini berbunyi : "Kematiannya Tidak Diterima Bumi".
Jadi, walaupun ia tidak diakhiri dengan elemen mimpi sekalipun, mesejnya jelas – Tuhan lebih Berkuasa – Tidakkah itu lebih baik dari mimpi?
No comments:
Post a Comment