Oleh Mahhass
Ini adalah sebuah filem dokumentari realiti (atau disingkatkan menjadi dokurealiti) karya Tino Saroengallo yang menyingkap tragedi rusuhan mahasiswa dan orang awam di Jakarta sekitar Mei 1998 hingga Disember 1998.
Dokumentari ini diterbitkan oleh Jakarta Media Syndication (saya fikir ia adalah sebuah syarikat yang mungkin tidak berdaftar di Indonesia disebabkan tiada sebarang informasi yang boleh saya dapati tentangnya di internet).
Ia memaparkan kesemua rakaman sebenar di beberapa lokasi berlakunya perhimpunan besar mahasiswa dan mahasiswi universiti seluruh Jakarta. Filem dokumentari ini dikeluarkan bagi mengimbas kembali saat-saat pergolakan politik, ekonomi dan sosial di Indonesia pada tahun 1998, iaitu tahun 'gelap' dalam sejarah Indonesia moden pernah dicatatkan.
Ia juga bertujuan bagi membuka mata seluruh masyarakat dunia tentang konfrontasi rakyat Indonesia terhadap pemilihan semula Soeharto di dalam pilihanraya pada bulan April 1998. Mereka mengadakan demonstrasi besar-besaran menuntut agar diadakan semula pilihanraya yang lebih 'bersih', bebas dari sebarang anasir rasuah serta memberi tekanan terhadap pemerintah dalam mengatasi krisis ekonomi yang menyaksikan kenaikan kadar pengangguran yang melampau.
Demonstrasi ini berlanjutan walaupun selepas perletakan jawatan beliau sebagai Presiden, iaitu selepas B.J Habibie (timbalannya) dilantik menjadi presiden.
Tirai doku-filem ini dibuka dengan paparan tragedi di Universiti Trisakti yang mengorbankan empat orang pelajar. Berikutan dari peristiwa inilah, tercetusnya rusuhan besar-besaran di Jakarta sehingga mengorbankan ratusan orang awam (tidak disiarkan dalam VCD). Presiden Suharto dikecam oleh majoriti rakyat yang sebahagian besarnya ialah mahasiswa fundamentalis kerana gagal mengawal keadaan porak peranda selama beberapa hari waktu itu. Ada juga yang berpendapat bahawa mereka (mahasiswa) sebenarnya diperalatkan oleh militan anti-kerajaan.
Seterusnya berlangsung pula Tragedi Semanggi (November 1998) yang menyaksikan angka korban meningkat iaitu seramai tujuh orang mahasiswa, seorang remaja yang masih bersekolah, seorang saksi (yang tidak terlibat) dan seorang polis dan beratus-ratus lagi cedera.
Paparan visual realiti begitu getir ditonjolkan dengan berlatarbelakangkan muzik yang seolah-olah membawa kita merasai perjuangan menuntut keadilan tanpa henti rakyat pada waktu itu. Begitu banyak paparan pelajar dibelasah, dipijak, ditendang dan ada juga yang dibiarkan terbaring lesu di tengah jalan tanpa belas kasihan. Ia gambaran sebuah 'medan peperangan' antara militan dengan orang awam.
Kemuncak dokumentari ini adalah pada tanggal 17hb Disember 1998 yang juga berlaku di Semanggi (Semanggi 2). Kali ini, mereka tidak lagi meyuarakan reformasi secara damai tetapi kini digantikan dengan pekikan Revolusi! Revolusi!...laungan yang dibalas dengan 'peluru' oleh jentera suruhan kerajaan. Mereka bertindak untuk membalas dendam atas beberapa kematian serta perlakuan kasar yang dilakukan kerajaan terhadap rakan seperjuangan mereka.
Mereka mendesak agar keseluruhan struktur organisasi kerajaan ditukar sepenuhnya. Bukan sekadar perubahan minor. Mereka mahu Suharto dan kroninya diadili.
Di sini kita akan menyaksikan buat pertama kali, barisan jentera polis (atau di Malaysia dikenali sebagai FRU) digempur sehingga sebahagian besarnya terpaksa lari menyelamatkan diri dari dibelasah perusuh yang mengamuk (secara fizikalnya mereka kelihatan menutup muka dan bersenjatakan kayu).
Keseluruhan naratifnya diceritakan dalam bentuk lisan, malah tidak pula dinyatakan kredit tenaga produksi yang terlibat dalam mengeluarkan doku-filem ini atas sebab-sebab keselamatan.
Difahamkan bahawa filem dokumentari ini telah merangkul anugerah di 47th Asia Pasific Film Festival 2002. Tetapi, jika difikirkan kembali, siapa pula yang menerima trofi tersebut sedangkan tenaga produksinya tidak didedahkan?
Apapun, filem dokurealiti yang durasinya hanya sekitar 30-40 minit ini saya sarankan untuk tontonan.
No comments:
Post a Comment