01 May 2004

Ulasan Filem : Lock, Stock and Two Smoking Barrels (1999)

Lock, Stock and Two Smoking BarrelsOleh Mahhass

Saya percaya, oleh kerana terlalu banyak sekatan terhadap sesetengah filem, maka sedikit sebanyak telah memberi satu kongkongan besar kepada majoriti peminat filem tempatan. Kadang-kadang saya terfikir apalah gunanya klasifikasi 18 tahun ke atas jika sekatan atau penapisan terlalu giat diperlakukan oleh pihak berkuasa sedangkan inilah sebenarnya faktor (walau bukan yang utama) yang mendorong pasaran VCD/DVD gelap beroperasi sekitar Malaysia. Jelas sekali minda rakyat Malaysia (18 tahun 'ke atas' tetapi 'dikebawahkan') bukanlah terlalu sempit untuk menilai segala bentuk keganasan, tahyul, dongeng atau mistik dalam sesebuah filem.

Bukankah filem hanya sekadar apresiasi? Kita bukan terlalu ekstrem untuk menuruti segala macam bentuk falsafah yang diperjuangkan dalam sesuatu filem itu. Pastinya, filem hanyalah variasi hiburan. Maka, apa salahnya jika kita mempelbagaikan bentuk hiburan itu dalam suatu konteks filem?

Lock, Stock and Two Smoking Barrels adalah satu dari puluhan (atau mungkin ratusan) filem yang tidak berjaya melepasi 'sekatan' tersebut. Filem ini sudah agak lama dikeluarkan iaitu sekitar tahun 1999, dan hanya baru-baru ini saya sempat menontonnya (terima kasih sekali lagi untuk saudara P kita!)

Filem keluaran UK yang bertemakan jenayah, keganasan, dadah dan gangsterisme ini saya kategorikan sebagai sebuah filem yang 'serius' tetapi penuh kejenakaan (atau boleh juga dikatakan 'komedi dalam keseriusan').

Ia membariskan pelakon seperti Nick Moran (Eddy) Jason Flemyng (Tom), Jason Statham (Bacon), Dexter Fletcher (Soap), Vinnie Jones (Big Chris), Sting (JD), P.H. Moriarty (Harry) dan Vas Blackwood (Rory Breaker).

Struktur plot filem ini agak rumit berikutan watak-wataknya yang mengelirukan saya. Saya hampir ingin menontonnya sekali lagi. Tetapi biarlah saya ceritakan serba sedikit al-kisahnya. Ia menampilkan empat sekawan yang mungkin saya boleh kategorikan 'hero' walaupun berwatak kelabu, iaitu Eddy, Bacon, Tom dan Soap.

Eddy, seorang kaki judi yang juga anak kepada pemilik bar, telah mengalami kekalahan sebanyak £500, 000. Beliau diberi tempoh selama satu minggu oleh Harry (pemilik 'sex shop') untuk menyelesaikan hutang judinya. Beliau juga diugut, jika kelewatan, akan kehilangan satu demi satu jarinya mengikut bilangan hari.

Maka, keempat-empat sekawan mula mencari jalan untuk melangsaikan hutang Eddy terhadap Harry (kebetulan Harry sememangnya menaruh dendam terhadap JD, iaitu ayah kepada Eddy).

Dalam pada itu, jiran Eddy merupakan sekumpulan penjenayah yang merancang untuk merompak seorang pengedar dadah kaya. Maka, keempat sekawan itu mula merancang untuk merompak penjenayah tersebut selepas rompakan itu dilakukan. Jadi, di sinilah 'kenakalan' filem ini bermula.

Apa yang paling menarik bagi saya ialah teknik fotografinya yang diselang-selikan 'freeze-slomo-speed' iaitu sewaktu adegan Bacon dan Tom dikejar polis (pada awal babak filem) kerana menjual barangan curi secara lelong di kaki lima.

Lock Stock saya kira bukan sebuah filem yang sengaja dikomedikan. Filem ini nyata serius dengan penampilan tema 'British Gangster' serta beberapa adegan getir dari segi gore, violence dan juga dialognya. Ia begitu sesuai dengan berlatar belakangkan rentak muzik 70an dari James Brown, dan kadang-kadang diselitkan muzik 'ska' yang begitu ketara dengan konsepnya.

Lock Stock tidak menampilkan lakonan-lakonan yang 'bermoral', maka ia dilihat agak 'sempurna' dalam genrenya. Ini menjadikan watak-wataknya 'bernyawa' dalam suasana brutalisme.

Filem yang diarahkan Guy Ritchie ini telahpun mendapat pengiktirafan di beberapa festival awards sekitar tahun 1998-2000.

Sutradara & lakonlayar : Guy Ritchie
Genre : Thriller/Komedi/Jenayah
Barisan Pelakon : Nick Moran, Jason Flemyng, Jason Statham, Dexter Fletcher
Durasi : 1 jam 48 minit
Tahun keluaran : 1998 (UK); 1999 (worldwide)
Distributor : Gramercy Pictures


SKRIN Rating : B+ (3.5/5)