10 May 2004

Ulasan Filem : Man On Fire (2004)

... Lelaki dalam AmarahOleh Mahhass

Difahamkan, satu penculikan kanak-kanak berlaku setiap 60 minit di Amerika Latin. Hanya 30% kes dapat diselesaikan, manakala 70% lagi, mangsa akan berakhir dengan kehilangan atau kematian. Persoalannya, bagaimana harus diselesaikan, jika pihak polis sendiri terbabit dalam penculikan tersebut?

Jadi, sekali lagi, akan ada hero yang membanteras jenayah ini. Kali ini, watak hero itu didukung dengan cemerlang oleh Denzel Washington sebagai Creasy, seorang bekas polis alkoholik yang sering dilanda trauma kisah-kisah lampaunya.

Man Of Fire, sebuah kisah bermotifkan dendam yang cukup lazim dalam produksi Hollywood. Filem ini serentak dikeluarkan dengan Kill Bill Vol. 2 dan The Punisher. Jadi, sudah tentu filem ini saya kira kurang mendapat tumpuan walaupun dipengaruhi nama Denzel Washington sendiri.

Filem ini memakan masa hampir 2 jam ½ (itupun tidak termasuk end-credits). Saya kira ia satu durasi yang agak tidak bersesuaian bagi genrenya. Maka, untuk menceritakan filem ini, saya bahagikan ia pada dua bahagian.

Untuk seawal jam pertamanya, filem ini bergerak mendatar. Pengarahnya, Tony Scott hanya menumpukan perkembangan watak-watak dalam plotnya. Watak Creasy yang alkoholik tetapi tenang, berganding dengan Pita (lakonan comel tetapi serius, Dakota Fanning – masih ingat Uptown Girls?).

Oleh kerana masalah penculikan seperti yang saya sebutkan tadi, maka Creasy diambil berkerja sebagai bodyguard Pita, anak hartawan Samuel (lakonan penyanyi yang terkenal dengan lagu I Want To Spend My Lifetime Loving You - Marc Anthony) di El Paso berdekatan sempadan Mexico/Texas.

Hubungan kasih sayang antara Pita dan Creasy dibentuk dengan baik untuk bahagian awal filem ini, dan ia amat penting bagi menjana emosi penontonnya kerana malangnya Pita berjaya diculik juga malah hero kita ditembak berdas-das seolah-olah filem ini sudahpun berakhir.

Bagaimanapun, tanpa pulih sepenuhnya dari kecederaan, Creasy bangkit untuk membalas dendam kerana Pita dipercayai telah mati dibunuh akibat tindakan polis yang membabi-buta dalam operasi menyelamatkan si kecil tersebut.

Teknik kamera ala MTV seperti kita lihat dalam filem 21 Grams dan juga City of God, ditambah lagi dengan pop-up 'subtitle' dari dialog-dialognya, Tony Scott saya kira berjaya memberi paparan hebat, khususnya ketika misi balas dendam Creasy yang begitu sadis sekali. --- Masih ingat Charles Bronson dalam Death Wish? ---

Maka, apabila filem ini masuk jam keduanya, paparan keganasan mula menyelubungi filem ini. Jadi, ia baru 'kena' dengan judulnya - Man On Fire atau Amarah Seorang Lelaki.

..Dakota sebagai Pita Satu persatu penjenayah yang terlibat dalam penculikan Pita diamuk, diseksa dan akhirnya dibunuh (sudah tentu istilah 'seksa' itu merujuk 'dengan tanpa belas kasihan') – sehingga adakalanya ingin saja saya bangun dan bersorak melihat aksi-aksi 'balas dendam' itu kerana hati saya begitu puas sekali!

Paling ketara, ialah sewaktu Creasy mendapatkan maklumat dari konconya, tentang dalang utama yang bertanggungjawab ke atas pembunuhan Pita – jari konconya itu (seorang polis yang telah dirasuah) dipotong satu persatu dan akhirnya BANG! – ditembak ke kepala (saya dah pun menganggaknya).

Filem-filem Hollywood sememangnya berkonsep propaganda Amerika. Bagaimanapun, saya tidak lihat Man On Fire mempunyai propaganda sedemikian (walaupun watak Creasy merupakan bekas 'CIA' ataupun bekas 'pejuang anti-terrorism'). Ia agak berbeza dengan filem A Man Apart kerana Vin Diesel sememangnya cuba memberi 'imej baik' kerajaan amerika dalam filem itu.

Sememangnya saya menyukai filem ini kerana kombinasi hubungan ke'bapa'an (walaupun wataknya hanyalah bodyguard) sehingga menerbitkan emosi dan mencetusnya amarah yang memuncak. Hasilnya, kita akan lihat pengkontrasan watak Creasy sewaktu sebelum dan selepas kehilangan Pita.

Maka tidak hairanlah kenapa watak ini diberikan kepada Denzel Washington kerana penghayatan penuh dramatiknya itu, meninggalkan kesan di akhir babak filem ini.

Selepas kegagalan filem Out of Time, Man on Fire saya kira mungkin mengangkat kembali nama Denzel Washington di persada Hollywood.

Saya hadiahkan 3½/5 bintang untuk keseluruhan Man On Fire termasuk amukan Denzel Washington serta kecomelan/kepetahan Dakota Fanning.

Judul : Man On Fire
Sutradara : Tony Scott
Lakon layar : Brian Helgeland & A.J. Quinnell
Pendukung utama : Denzel Washington, Dakota Fanning, Christopher Walken, Marc Anthony, Radha Mitchell
Durasi : 2 jam 26 minit
Klasifikasi : "R" (US)
Tarikh keluaran : 23hb April 2004
Distributor : 20th Century Fox


SKRIN Rating : B+

No comments: