Oleh Mahhass
Untuk menghasilkan sebuah filem yang berkonsepkan tarian, para pembikinnya pasti akan menemui dua kriteria pilihan, iaitu samada mengambil penari yang langsung tidak ada latar belakang sebagai pelakon atau mengambil beberapa orang pelakon (yang sudah terkenal) yang juga pada dasarnya tidak tahu menari... mana satu yang lebih ideal dalam pembikinan sesebuah genre ini? Jadi dalam filem yang sarat dengan tarian hip-hop, breakdance dan aksi ekstrem gimnastik ini, pemilihan pelakon dibuat berdasarkan kriteria pertama tadi, iaitu penari sebenar diberikan keutamaan. Maka, apa yang jadi pada lakonan dalam filem tersebut? Jawabnya kaku (tiada dinamik, mendatar bak kata kata Ramli MS dalam konsert akhir akademi fantasia terhadap... - err...cukup -)
Saya akui, filem ini boleh dianggap hebat jika dinilai dari segi persembahan tarian dan setidak-tidaknya kita kagum dengan setiap gerak tari anak-anak muda tersebut. Tetapi, terlalu banyak kelemahan dalam plot hasil kerja penulis yang juga merangkap sutradaranya, iaitu Christopher B. Stokes.
You Got Served mengisahkan kegilaan anak-anak muda LA dalam tarian. Mereka terdiri dari golongan pertengahan dan BUKAN seperti anak-anak remaja (black) tipikal di Los Angeles. Watak-watak utama dalam filem ini ialah David (atau singkatan 'D') dan Elgin ('L') bersama kumpulan penarinya. Mereka seringkali mengadakan persembahan disamping bertaruh sejumlah wang di sebuah gudang yang dijadikan tempat berlangsungnya pertandingan gelap itu (dikelolakan oleh Mr. Rad).
Di sana, mereka adalah juara bertahan sehinggalah suatu hari mereka dicabar oleh sekumpulan anak muda (berkulit putih). Wang $5000 jadi pertaruhan.
Apa yang jadi? Seperti kelaziman filem-filem genre ini, sudah tentulah mereka kalah dahulu berikutan salah seorang anggotanya berpaling tadah dengan menyertai kumpulan tersebut. Maka, untuk melengkapkan ceritanya, satu pertandingan tarian yang menawarkan wang sebanyak $50,000 diadakan. Bukan itu sahaja, pemenangnya akan muncul dalam klip video terbaru artis terkenal Lil’ Kim.
Terlampau banyak kelemahan dalam filem ini. Serba-serbi dilihat tidak menjadi. Christopher B. Stokes tidak berjaya memberikan satu paparan realisme kehidupan anak-anak muda ke dalam filem ini sebagaimana Scott Silver dan Curtis Hanson melayarkan kisah B-Rabbit (Eminem) dalam filem 8 Mile.
Selain plot yang langsung tidak menarik, paling ketara ialah teknik fotografinya sehinggakan kita tidak pasti sesetengah tarian itu dilakukan oleh anggota kumpulan mana. Saya kira, teknik fotografi dalam filem Honey lebih cantik.
Namun, bagi mereka yang gemar menikmati alunan muzik hip-hop di saluran MTV atau Hitz.TV Astro, You Got Served mungkin boleh menyajikan sebuah hiburan. Bagaimanapun, saya cuma boleh sarankan agar anda nantikan soundtrack filem ini dikeluarkan kerana ia lebih berbaloi untuk wang anda.
Sutradara & lakon layar : Christopher B. Stokes
Genre : Drama/Muzikal
Barisan Pelakon : Marques Houston, Omari Grandberry, Jarell Houston, DeMario
Durasi : 1 jam 34 minit
Tahun keluaran : 2004 (January)
SKRIN Rating : C (1.5/5)
No comments:
Post a Comment