27 May 2004

Pelajar Akademi Fantasia II

dari kiri...anding, mas, zarina, nurul, bob, kaer, edlin, adam, zahid, farah, linda, fitri...(ehsan cik wai em)


Oleh Sultanmuzaffar

Ahmad Zahid Baharuddin ZAHID 23, Kuala Lumpur
"Rapper" yang bermula dengan dikir barat dan nasyid ini merupakan satu-satunya anak lelaki di dalam keluarga 4 beradik. Seorang yang peramah, periang, mudah bergaul dengan sesiapa sahaja. Seorang ahli muzik yang pernah menganggotai 'live band'. Hadiah harijadi paling ideal untuknya adalah seekor iguana.

Mohd Aizam b Mat Saman ADAM 21, Kota Kinabalu, Sabah
Sekali pandang, mungkin akan dianggap sebagai ‘playboy’ atau sombong. Namun, realitinya beliau seorang periang, penyayang dan berjiwa sentimental. Merupakan peminat fanatik KRU. Mempunyai kumpulan muzik sendiri yang diberi nama “Es d CO”, dan bercita-cita tinggi untuk berjaya dalam dunia hiburan. Anak pertama daripada 4 orang adik beradik.
Berketurunan Bajau. Tidak mempunyai kekasih dan sedang mencari cinta sejati. Pandai menari dan menyanyi. Dia gemar penampilan yang segak dan ingin sentiasa nampak kemas.

Yusrizan Usop BOB 23, Limbang, Sarawak
Anak pertama daripada 2 orang adik-beradik. Seorang yang agak ‘gila-gila’ sedikit, gemar bergurau dan sangat manja dengan ibu. Selain itu, beliau juga amat penyayang dan ‘simple’ orangnya. Moto hidupnya adalah ‘ceriakan hidup anda dengan senyuman.’ Pandai menulis puisi. Fobia dengan binatang reptilia terutamanya ular dan cicak. Berhasrat untuk menurunkan berat badan di Akademi Fantasia.

Mohd Fitri Zainal Abidin FITRI 25, Kuala Lumpur
Seorang yang suka mengusik dan bergurau, serta mencuba sesuatu yang baru. Sayang pada binatang tetapi agak cerewet. Anak ketiga daripada 4 orang adik beradik. Mempunyai bakat dalam mereka pakaian, sehingga terpilih mewakili Malaysia ke Milan, Itali untuk kursus rekaan fesyen 2001. Walaupun nampak macho, beliau adalah peminat siri kartun anime Crayon Shin Chan.

Wan Mohammad Khair Wan Azami KAER 19, Petaling Jaya, Selangor
Seluruh keluarganya berkecimpung dalam bidang Arkitek. Beliau tidak suka makan menggunakan tangan, dan seringkali ditemani bantal busuknya semasa tidur. Anak kedua daripada 4 orang adik beradik. Manja dan tegas dalam keluarga. Juga seorang yang pemalu dan menghormati orang tua. Pernah menjadi johan dalam peraduan melukis ‘Malaysia International Japan.’

Anding Indrawani Zaini ANDING 21, Kuching, Sarawak
Anak ketiga daripada 5 orang adik-beradik ini sangat manja dengan ibunya. Seorang yang ceria, pendiam, mudah didekati, lurus dan kadang-kadang emosional. Beliau amat sensitif dengan persekitaran yang sejuk. Boleh menyanyikan lagu-lagu dalam bahasa Tagalog dan Spanish. Sikap buruknya suka bertangguh dalam melakukan kerja.

Farah Diana Anuar FARAH 19, Kuala Lumpur
Seorang yang periang, tidak sombong, dan pandai ambil hati sesiapa sahaja. Peminat setia Pasukan Hoki Lelaki Kebangsaan. Pengarang majalah idolanya ialah Mama Juwie. Berpendirian tegas dalam membuat keputusan dan mempunyai pandangan jauh dalam kehidupan. Anak ketiga daripada 6 orang adik beradik. Jika berseorangan di rumah, beliau akan berkaraoke sendiri.

Edlin Abdul Rahim EDLIN 21, Melaka
Anak pertama daripada 2 orang adik beradik. Seorang gadis yang lemah lembut, peramah dan penyayang. Awas! Walaupun nampak ayu dan sopan tetapi tersembunyi sifat panas barannya. Berasa bangga kerana mampu berdikari semasa melanjutkan pelajaran di Melbourne, Australia. Sangat sensitif dan mudah menangis terutamanya ketika hero atau heroin mati dalam filem.

Nurullah Abd Hamid NURUL 22, Kuching, Sarawak
Wajahnya seiras Fauziah Latif, gayanya semanja Ella. Sekali pandang seolah-olah ‘mengada-ngada’ tetapi realitinya dia seorang yang lemah-lembut. Pakar memasak masakan ‘mee segera campur kari dan ikan.’ Menyimpan impian untuk menjadi penyanyi berjaya suatu hari nanti. Anak sulung daripada 6 orang adik beradik.

Asma Ghani MAS 23, Tawau, Sabah
Suka bercakap, mesra, manja dan mengamalkan kesederhanaan dalam segala hal. Seorang yang pakar dalam bidang bakar-membakar sate kerana membantu bapanya berniaga sate. Anak bongsu daripada 6 orang adik-beradik.Teringin untuk melakonkan watak-watak jahat dalam filem. Tidak suka orang yang suka tabur fitnah dan mengata orang lain.

Zarina Zainoordin ZARINA 20, Johor Bahru
Berkebolehan menyanyikan lagu-lagu ghazal dan mempunyai asas dalam bidang kesenian tradisional. Seorang yang jujur, dan memendam rasa. Sesekali beliau keras kepala dan panas baran. Namun, beliau boleh bergaul dengan sesiapa sahaja tak kira usia dan jantina. Masa lapangnya diluangkan dengan bermain bowling dan menonton wayang.

Norlinda Nanuwil LINDA 21, Ranau, Sabah
Anak ketujuh daripada 8 orang adik-beradik. Kemasukannya ke AF disokong oleh seluruh penduduk kampung Tudangan Ranau, iaitu tempat asalnya. Berbangsa Dusun, pandai bermain gitar dan seorang yang periang, suka ketawa dan bergaul mesra.

Siaran Akhbar

SATU harapan, SATU tujuan, SATU destinasi;
Mengubah impian menjadi realiti
DEMAM AKADEMI FANTASIA MELANDA LAGI

Kuala Lumpur, 26 Mei 2004:

Setelah mengadakan ujibakat di seluruh pelusuk negara dalam pencarian pelajar-pelajar Akademi Fantasia musim kedua, stesen televisyen satelit Astro hari ini mengumumkan nama 12 peserta yang bakal menerima asuhan dari Akademi tersebut.

Terdiri dari enam lelaki dan enam perempuan, pelajar-pelajar ini amat menyerlah untuk mengatasi lebih 4000 peserta ujibakat yang menyimpan impian untuk bergelar artis.

Menurut Zainir Aminullah, Ketua Program Astro, 12 pelajar yang terpilih mempunyai keunikan tersendiri. Mereka diyakini memiliki pakej - bakat, penampilan dan personaliti – untuk diketengahkan sebagai penghibur yang mampu menyerikan persada seni tempatan.

“Tujuan penganjuran Akademi Fantasia adalah untuk mengetengahkan bakat-bakat baru sebagai pelapis kepada penghibur dan karyawan seni di Malaysia. Untuk kemajuan industri hiburan kita harus bersedia untuk menampilkan lebih ramai bakat baru,” tambah Zainir lagi.

Seperti di musim yang lalu, Akademi Fantasia menawarkan pakej yang menyeluruh kepada bakat-bakat baru untuk menjadi penghibur. Mereka akan diberi kursus vokal, teknik kawalan suara, kursus tarian dan seni persembahan pentas. Pelajar-pelajar baru ini akan dibimbing oleh tenaga pengajar seperti Adnan Abu Hassan (vokal), Siti Hajar (nada suara), Fauziah Nawi (seni pentas), Linda Jasmin (tarian) dan Corrie (tarian) selain menerima bimbingan dari Dr. Sher (motivasi) dan Fatimah Abu Bakar (penasihat). Komposer, pemuzik dan pengubah lagu terkenal, Ramli MS bertindak sebagai pengetua.

Pelajar-pelajar ini mula mendaftar diri di Akademi yang terletak di Kajang, Selangor pada 5hb. Jun. Mereka perlu berada di Akademi untuk tempoh maksimum 10 minggu. Keperluan penginapan dan makan minum peserta ditanggung sepenuhnya. Sewaktu di Akademi, peserta-peserta tidak dibenarkan berhubung dengan dunia luar agar mereka dapat menumpukan perhatian terhadap pembelajaran harian serta tidak terdedah kepada reaksi atau undian penonton.

Setiap pelajar dikehendaki mengikuti kursus dari Isnin hingga Jumaat untuk mempersiapkan diri bagi konsert mingguan yang akan disiarkan secara langsung dari Dewan Sivik MPPJ selama sepuluh minggu berturut-turut di Astro RIA setiap Sabtu bermuda 12hb Jun. Konsert akhir pada 14 Ogos pula akan mengambil tempat di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur dan bakal disiarkan secara langsung serentak di Astro RIA dan Radio ERA.

Masih mengekalkan format rancangan, keputusan siapakah pelajar yang akan terkeluar dari Akademi ditentukan oleh sistem pesanan ringkas (SMS) premium yang dihantar penonton. Undian SMS akan bermula pada pukul 9 pagi mulai 7hb. Jun 2004. Pelajar pertama akan disingkir keluar dari Akademi pada konsert ketiga iaitu pada 26hb. Jun. Walaupun begitu, undian daripada 7hb Jun akan tetap diambil kira. Ini memberi peluang kepada para penonton untuk mengenali personaliti peserta dengan lebih dekat, termasuklah bakat nyanyian mereka.

Selain Astro, Radio Era selaku penyiar rasmi, akan memainkan peranan dalam mempromosikan kesemua pelajar Akademi Fantasia musim kedua. Setiap pelajar yang tersingkir keluar dari Akademi akan ditemuramah oleh DJ Era setiap hari Isnin dari pukul 4 – 5 petang, mulai 28hb. Jun. Selain itu, pendengar setia ERA berpeluang untuk mengetahui informasi terkini dan cerita-cerita ‘hangat’ melalui siaran ekslusif setiap Isnin hingga Jumaat dari minggu pertama lagi.

Juara Akademi Fantasia akan menerima hadiah lumayan berupa sebuah kereta Citroen C3 bernilai RM120,000 tajaan DIRECTIONAL (M) Sdn. Bhd., sistem AV tajaan Audio Planet AV Sdn. Bhd. dan pakej percutian tajaan Empire Hotel & Country Club. Naib Juara pula bakal menerima sistem AV tajaan Audio Planet AV Sdn. Bhd. dan pakej percutian tajaan Empire Hotel & Country Club. Tempat ketiga, keempat dan kelima masing-masing akan menerima kamera digital tajaan Canon selain itu mereka juga akan berpeluang memenangi pakej percutian tajaan Empire Hotel & Country Club.

Semua pelajar-pelajar Akademi Fantasia akan ditawarkan kontrak sebagai artis baru di bawah pengurusan Maestro, anak syarikat Astro. Kontrak ini membuka peluang untuk mereka mengembangkan bakat sebagai penyanyi, pengacara TV, penyampai radio atau pelakon berdasarkan kebolehan masing-masing.

Akademi Fantasia musim kedua dibawakan khas oleh Penyiar Rasmi Astro RIA dan Radio ERA serta diaktifkan oleh Hotlink selaku Penaja Utama.

Nota: Abdul dan Ijan, TQ

No comments: