07 May 2004

Ulasan Filem : The Dreamers (2004)

Oleh Mahhass

Ada tiga perkara getir yang membentuk filem ini, iaitu seks, politik dan sinema. Tiga perkara ini merupakan asas yang membentuk keseluruhan plot filem The Dreamers arahan sutradara veteran Italy, Bernardo Bertolucci. Lakon layarnya ditulis oleh Gilbert Adair yang diinspirasi dari novelnya yang berjudul "The Holy Innocents".

Ia menceritakan tentang tiga watak, iaitu Matthew (lakonan Michael Pitt) dan pasangan kembar yang berlainan jantina iaitu Isabelle (Eva Green) dan Theo (Louis Garrel). Filem ini berlatarbelakangkan kota Paris sekitar tahun 1968, iaitu sewaktu tercetusnya rusuhan besar dalam lipatan sejarah Perancis ketika itu. Ia diolah dalam bentuk penceritaan semula atau voice-over narration oleh Matthew sendiri.

Matthew, (mengingatkan saya kepada Leornado DiCaprio berikutan keseirasan wajahnya) seorang pelajar berbangsa amerika yang begitu fanatik terhadap filem, telah bertemu Isabelle sewaktu tunjuk perasaan di perkarangan Cinematheque Francaise. Pertemuan yang tidak disengajakan itu merupakan titik-tolak filem ini. Seterusnya, Isabelle memperkenalkan Theo, iaitu kembarnya kepada Matthew. Ketika itu, Matthew langsung tidak mengetahui yang mereka berdua adalah pasangan kembar.

Matthew kemudian dijemput untuk menghadiri makan malam bersama keluarga kembar tersebut. Di sini, kita akan faham bahawa mereka terdiri dari keluarga seni. Si ayah merupakan seorang penulis terkenal. Manakala pasangan kembar 'aneh' tersebut merupakan 'penggila' filem (bukan setakat peminat lagi) sehingga hampir setiap skrip filem dihafal mereka.

Saya katakan 'aneh' kerana hubungan songsang atau 'sumbang mahram' di antara kedua-duanya telah terjalin sejak mereka kecil lagi. Matthew pula 'terperangkap' dalam hubungan tersebut dan kini menjadikan atau melengkapkan hubungan 'trio'. Ini berlanjutan setelah Matthew berpindah untuk tinggal bersama pasangan kembar tersebut. Namun, saya tidak faham kenapa Matthew 'terlalu disukai' pasangan ini.

Di sini, hubungan 'cinta' terjalin antara ketiga-tiga mereka walaupun kontradiksi Matthew agak ketara tetapi ia tetap berlangsung secara normaliti walaupun dalam kejanggalan. Hubungan paradoksi ini amat penting untuk filem ini bagi penulisnya mengutarakan mesej dan tema realisme duniawi era 60an, khususnya di kota Paris, walaupun elemen seksual erotik serta 'kebogelan' yang ditayangkan agak mengejutkan saya. Saya belum pernah menonton sebuah filem yang membentangkan paparan seksual ‘seberani’ ini. Paparannya lebih ketara dari filem Irreversible lakonan ranjang Monica Belluci.

Adegan yang agak mengejutkan saya ialah sewaktu Theo 'didenda' Isabelle kerana tidak dapat mengingati tajuk filem melalui sebuah adegan yang dilakonkannya. Sebagai hukuman, Theo mesti melakukan masturbasi di depannya dan Matthew (dan Theo melakukannya tanpa kedengaran sebarang bantahan). Apa yang bertambah pelik lagi, ialah sewaktu giliran Isabelle menerima hukuman (juga kerana lupa tajuk filem!). Beliau dihukum supaya melakukan persetubuhan dengan Matthew dengan disaksikannya di ruang dapur (dan Isabelle merelakannya) – adegan ini melengkapkan lagi sebuah realisme dalam sebuah kekotoran.

Ketiga-tiga watak ini memberikan lakonan yang hebat bagi menghasilkan kesan keseluruhan filem ini. Berbekalkan begitu banyak falsafah-falsafah dalam dialognya, filem ini bergantung kepada moraliti watak-wataknya yang mencetuskan ketegangan konflik sebuah hubungan akibat dari kealpaan keluarga.

Saya bukan bertujuan untuk 'mengangkat' filem ini oleh kerana paparan seksualnya, tetapi yang nyata kerana filem ini cuba mengenengahkan kisah sebenar golongan fanatik filem dengan berkesan sekali (walaupun keseluruhan filem-filem klasik yang diselitkan tidak satupun pernah saya tonton).

Dan apa yang lebih penting, ia mendedahkan sebuah kehidupan misteri tetapi penuh realiti yang agak jarang kedengaran oleh kita semua, sekurang-kurangnya memberi peluang untuk kita menginterpretasi.

Judul asal : Les Innocents (Perancis)
Sutradara : Bernardo Bertolucci
Lakon layar : Gilbert Adair (inspirasi novel "The Holy Innocents")
Genre : Drama
Barisan Pelakon : Michael Pitt, Eva Green, Louis Garrel, Anna Chancellor, Robin Renucci
Tahun keluaran : 2003 (Perancis), 2004, Feb 6 (tayangan seluruh dunia)
Bahasa : Inggeris/Perancis
Durasi filem : 2 jam 10 minit
Distributor : Fox Searchlight


Rating : A- (4/5)