Apabila amarah bumi tiba di kemuncak, maka tiada siapapun yang dapat mengekang amukannya. The Day After Tomorrow merupakan produksi Hollywood terbaru yang menceritakan tentang kemusnahan dunia yang berpunca dari fenomena pemanasan global.
Bermula dengan penurunan suhu secara mendadak di beberapa kawasan seperti di New Delhi, India yang mengalami ribut salji, Tokyo pula menghadapi ancaman hujan batu (ketulan ais sebesar penumbuk) jatuh menimpa buminya serta taufan puting beliung gergasi yang memusnahkan bandar Los Angeles dalam sekelip mata (paparan mercu tanda Hollywood juga musnah seperti lazimnya).
Kesemua paparan ini menggunakan teknik CGI terkini, dan saya kira ia berjaya memberikan keterujaan baru dalam tontonan walaupun kita tahu itu semua adalah mainan 'olok-olok' Hollywood. Muzik latar belakangnya juga begitu sesuai dalam membentuk suasana kemusnahan. Debaran serta deruan adrenalin juga dapat saya rasakan ketika ini.
Seterusnya kita dibawa ke New York. Di sana, kemusnahan megalopolis ini juga agak menarik ditonjolkan. Paras air laut yang meningkat beratus kali ganda, akhirnya menyaksikan gelombang besar memukul serta menenggelamkan kota besar itu. Kota New York bertukar menjadi sebuah bandar air dalam jangka masa yang tak terduga. Tiba-tiba pula membeku. Pendek kata, kesemuanya terjadi dalam sekelip mata.
Filem ini menampilkan Dennis Quaid sebagai Profesor Jack Hall, seorang klimatologis (pengkaji dan penganalisa perubahan cuaca dunia) yang mewujudkan teori kewujudan 'Zaman Ais' akan bermula dalam jangka masa 100 tahun akan datang.
Bagaimanapun, ramalannya silap kerana perubahan ekstrem itu telahpun dicatatkan kini. Sebagai penasihat cuaca untuk kerajaan Amerika, beliau memberi amaran dengan menyarankan kepada presiden supaya memindahkan penduduk Amerika di bahagian utara ke selatan. Kawasan yang agak selamat ialah di Mexico.
Maka, dapatlah kita saksikan ribuan pelarian Amerika cuba memasuki sempadan Mexico sehingga memaksa kerajaan Mexico untuk menutup sempadan. Kem pelarian diwujudkan di sempadan tersebut. Ini merupakan suatu ketidaklaziman dalam produksi Hollywood kerana gambaran ini seolah 'mengutuk' dasar amerika sebelum ini yang begitu angkuh dalam menangani isu kemasukan pendatang khususnya dari negara-negara Amerika Tengah.
Malas rasanya untuk saya berbicara tentang plot, kerana ianya agak lesu bagi saya. Banyak unsur ketidaklogikan serta kebodohan yang boleh saya senaraikan. Bayangkan, Sam (anak lelaki Jack lakonan Jake Gyllenhaal) yang terperangkap di sebuah perpustakaan di New York bersama beberapa lagi rakan, cuba diselamatkannya. Perjalanan Jack bersama dua orang rakannya dari Philadephia ke New York sekitar 300 kilometer dalam usaha menyelamatkan anaknya dengan merentasi ribut salji itu seolah-olah terlalu mudah (walaupun salah seorang rakannya terbunuh).
Begitu juga sewaktu usaha Sam dan rakan-rakannya menyelematkan diri dari di serang sekumpulan serigala yang terlepas. Kenapa serigala pula yang dijadikan elemen bagi mewujudkan rasa cemas?
Tiada sebarang babak emosi yang sepatutnya dijadikan impak bagi memberkesankan lagi filem tentang 'survival' ini. Penulis lakon layar yang juga pengarahnya Roland Emmerich perlu lebih teliti dengan tidak mewujudkan adegan yang mencacatkan.
Pun begitu, filem ini masih boleh memberikan keterujaan kerana paparan efek CGI yang menjadi tulang belakangnya memberi imbangan terhadap plot yang agak kurang dramatik. Lantaran itu, saya masih boleh menganggap filem ini sebuah blockbuster yang menghiburkan.
Jadi, jika anda berhajat untuk menontonnya di pawagam, saya sarankan agar beli popcorn banyak-banyak untuk menikmati filem paling 'dingin' tahun ini.
Sutradara: Roland Emmerich
Lakonlayar : Roland Emmerich dan Jeffrey Nachmanoff
Barisan Pelakon : Dennis Quaid, Jake Gyllenhaal, Sela Ward, Ian Holm, Emmy Rossum
Durasi : 1 jam 29 minit
Genre : Sains fiksyen/Drama/Cemas
Distributor: 20th Century Fox
SKRIN Rating : B (3/5)
No comments:
Post a Comment