Oleh ELYA
Disclaimer : Reviu ini mengandungi spoiler yang mana sesiapa yang belum menontonnya adalah dinasihatkan supaya tidak membacanya untuk menambahkan saspen didada. Reviu ini juga telah dikarang oleh seorang 'beginner' yang selalu dapat markah paras hidung dalam setiap karangan mahupun essay semasa zaman persekolahan dulu. Pembaca diharap dapat mengabaikan segala ayat – ayat tunggang terbalik dan buang yang keruh, ambil yang jernih sahaja.
Van Helsing, macam pernah kudengar, tapi dimana ya? Setelah ku ingat-ingat, Van Helsing, seperti yang diceritakan oleh Bram Stoker’s didalam novelnya dan beberapa versi filem Dracula , adalah pemburu pontianak. Nama penuhnya adalah Abraham Van Helsing. Tetapi, dalam filem ini, nama penuhnya ialah Gabriel Van Helsing. Beliau bukan sekadar memburu pontianak, tetapi juga serigala jadian, mambang – mambang (kuning dan biru air laut) dan berbagai lagi jenis jadi-jadian yang bukan manusia ataupun makhluk jelmaan manusia.
Maka, saya mengambil kesimpulan disini, Van Helsing kepunyaan Bram Stoker dan Van Helsing untuk filem ini bukan orang yang sama, barangkali saudara-maranya sahaja. (Anda boleh menyangkal dakwaan saya ini)
Kisah Van Helsing lakonan Hugh Jackman (Saya paling suka lakonannya sebagai Wolverine dalam filem X-Men) ini dimulakan dengan pemburuannya terhadap Dr Jackyl and Hyde di kota Paris yang pada akhirnya, menyaksikan terbunuhnya Dr. Jackyl yang amat digeruni itu. Oleh kerana banyak jelmaan makhluk yang dibunuh oleh Van Helsing ini berubah menjadi manusia semula setelah mati, Van Helsing dikatakan seorang pembunuh dan gambar ala-ala Jesse James beserta namanya terpampang di poster-poster sebagai orang yang paling di kehendaki di seluruh Eropah. Kehadiran Van Helsing sebagai penyelamat dunia hanya diketahui oleh satu Gerakan Rahsia Vatican yang mana sebahagian besar ahlinya ialah ahli gereja dan paderi-paderi.
Ibu Pejabat Gerakan Rahsia ini mengingatkan saya kepada Ibu Pejabat James Bond di mana terdapat saintis yang sedang mengkaji dan mengetest gadget baru untuk kegunaan Van Helsing.
Pereka utama gadget ini, Carl yang dilakonkan oleh David Wenham adalah satu karektor yang berlainan sekali dengan lakonannya sebagai Faramir dalam Lord of The Ring. Beliau memberi elemen humor yang lucu tetapi bersahaja dalam filem ini yang pada hemat saya sungguh mencuit hati . (Sebagai Faramir, beliau mencairkan hati.)Hmm…
Misi Van Helsing yang terbaru ialah untuk membunuh Count Drakula (lakonan Richard Roxburgh) sekaligus melindungi keluarga Valerious yang semakin pupus kerana dibunuh oleh Count Drakula dan tiga isterinya yang cantik jelita tetapi berubah menjadi huduh setelah menjadi pontianak. Misteri mengapa keluarga Valerious ini mahu dipupuskan oleh Count Drakula ini saya serahkan kepada pembaca untuk menontonnya sendiri. Ini adalah kerana, seperti kata saya sebelumnya, untuk menambah saspen dan pertanyaan didada.
Maka bermulalah pengembaraan Van Helsing ke Transylvania dan beliau telah mengheret Carl (pereka gadget) sama untuk misi kali ini tanpa alasan yang munasabah. Sepertimana kisah pengembaraan berbentuk aksi ini perlukan seorang heroin, maka wujudlah Anna (lakonan Kate Beckinsale), waris terakhir keluarga Valerious yang berganding bahu dengan Van Helsing untuk membunuh Count Drakula.
Count Drakula pula bukan sahaja mahu membunuh keluarga Valerious, rupa-rupanya mempunyai rancangan untuk menghidupkan anak-anak beliau hasil perkahwinannya dengan tiga isterinya dengan pertolongan Dr. Frankestein. Apabila monster ciptaan Frankestein telah berjaya dihasilkan, Dr. Franskestein telah dibunuh. Makhluk ciptaan Frankestein, sebagai kunci kepada kehidupan anak-anaknya, telah melarikan diri setelah Dr Frankestein dibunuh oleh Count Drakula.
Bermulalah kisah Van Helsing, Anna Valerious, Makhluk ciptaan Frankestein yang memburu dan diburu Count Drakula dan kuncu-kuncunya. Jika saya boleh petik salah satu dialog Van Helsing : "Who’s hunting who?"
Secara peribadi, filem ini hanyalah sebuah lagi filem Stephen Sommers (Tuan Direktor bagi The Mummy dan Mummy Returns) yang lebih menumpukan filemnya kepada elemen aksi, diselang –selikan dengan humor ringan, dan yang paling penting, menyeronokkan dan padat dengan aksi. Ia tidak menyentuh sedikitpun emosi, tidak ketahap nangis tersedu-sedan sebagaimana tengok citer Hindustan. Saya rasakan, watak Count Drakula pun boleh digantikan oleh Keanu Reeves kerana kurang bercakap, lebih aksi dan aksi itu pula lebih kepada menggunakan teknik CGI atau Grafik Komputer. Boleh dikatakan 60-70% cerita ini dibantu oleh teknik CGI yang tak boleh dielakkan kerana watak makhluk-makhluk jelmaan tersebut.
Babak menceritakan perihal bermulanya hidup Frankestein’s monster digarap dengan style filem lama, sungguh menjadi. Dan dari segi monster pontianak, dan serigala jadian, saya kira cukup sesuai dengan gambaran yang biasa ditonjolkan oleh filem lain sebelum ini. Apa yang menarik bagi saya ialah bagaimana makhluk pontianak itu tangkas terbang ke udara dan transformasi kepada bentuk manusia dibuat dengan kemas dan berkesan. Begitu juga dengan transformasi serigala jadian yang saya kira berlainan daripada yang pernah ditampilkan sebelum ini .
Jika anda mengharapkan ini adalah 'horror film' anda silap, ianya hanyalah sebuah lagi filem aksi yang sama kelasnya dengan "League of Extraordinary Gentlemen". Walaubagaimanapun, saya agak kecewa dengan ending yang saya kira amat cheesy dan melodramatic, (Paling menghampehkan, siap ada posing yang biasa kita nampak dalam cover buku cerita cinta oleh Judith McNaught, Nora Roberts dan yang sewaktu dengannya) Anda akan faham jika anda menonton cerita ini. Apapun, kekecewaan ending itu dapat saya lupakan jika saya mengingati babak-babak penuh aksi dan mencemaskan yang dipaparkan sebelumnya. (Perasaan yang sama bagi saya juga untuk filem Lord Of the Ring, Return of The King)
Filem ini, yang "kurang cakap, lebih eksen" seolah mencorak kepada pattern filem aksi sekarang yang cuba menjadikannya sesuai untuk diadaptasikan kepada permainan video. Secara keseluruhannya, filem ini saya rasakan lebih bagus daripada LXG dan saya masih mencari game PS2 Van Helsing yang dikatakan sudah berada dipasaran.
(Elya memberikan 3/5 bintang untuk Van Helsing)
No comments:
Post a Comment