05 May 2004

Ulasan Filem : Zatoichi (2004)

Oleh Mahhass

"Buta Mata Celik Hati"

Sebenarnya saya bukanlah seorang yang terlalu 'memilih' untuk menonton filem. Genre apa sekalipun saya masih boleh menonton dan menghayatinya asalkan filem itu yang getir-getir. Maksud saya, kalau keganasan yang ditonjolkan, tidaklah perlu keganasan atau 'gore' yang terlalu ekstrem (tampak bodoh), cukup sekadar kita merasakan kehebatannya beserta deruan adrenalin.

Begitu juga genre romantik/muzikal/cinta, tidak perlu menangis meraung-raung, kerana bagi saya, jika jiwa sudah tersentuh atau mengalir setitis dua air mata pun sudah memadai. Jika seram, juga tidak perlu terlalu berusaha untuk meluruhkan jantung dalam apa jua suasana panik, cukup sekadar kita terpelanting dari tempat duduk pun sudah memadai!

Sama juga keadaannya dengan komedi, tetapi tidak perlu terlalu slapstikal hingga memaksa kita ketawa terbahak-bahak, kerana komedi sinikal dan komedi gelap lebih menggeletek hati.

Filem-filem yang menimbulkan kebingungan dan juga mengundang seribu persoalan juga menarik minat saya tetapi biar ada tema dan falsafahnya, bukan sekadar lesu tanpa ada semangat keghairahan dalam naratifnya. Jika tidak, hati saya saya akan mengatakan tidur adalah lebih baik dari menonton. (Saya biasa menonton di tengah-tengah malam)

Maka, Zatoichi saya fikir ada mengandungi beberapa elemen yang saya sebutkan di atas. Zatoichi asalnya merupakan sebuah 'cult' 60an yang diberi nafas baru oleh Takeshi Kitano berdasarkan novelis Kan Shimozawa. Ia juga merupakan versi TV dari awal 60an sehingga akhir 80an. Banyak juga versi Zatoichi difilemkan sebelum ini namun saya hanya berpeluang untuk menonton versi ini (2004).

Zatoichi merupakan filem yang sarat dengan tema melalui naratif yang membentuk struktur teatrikal yang berteraskan jiwa. Kisah seorang pahlawan buta yang begitu memikat hati saya. Ia bukan sekadar filem aksi kosong, tetapi mengungkap budaya seni samurai jepun. Dilakonkan dengan penuh ciri-ciri kepahlawan samurai oleh pengarah, penulis lakon layar (adaptasi) nya sendiri iaitu Takeshi Kitano. Maka, penghayatan watak Zatoichi lebih berkesan, ditambah dengan elemen komedi seperti yang saya katakan tadi – menggeletek hati.

Watak Zatoichi sememangnya 'cool'. Berpotongan rambut pendek berwarna perang, dengan mata tertutup rapat seolah-olah boleh ‘celik’ pada bila-bila masa. Karakternya begitu tenang bersama pedangnya yang sentiasa tersembunyi di sebalik sarung buluh merahnya. Paparan koreografi lawan pedangnya begitu menyerlahkan lagi perwatakannya yang begitu mengujakan.

Teknik CGI (darah berpancut-pancutan di sana sini hasil dari libasan pedang) sememangnya menjadi satu teknik lazim dalam genre sebegini seperti mana saya kita dihiburkan dalam filem-filem Tarantino. Maka ia agak 'hidup' walaupun kadang-kadang menampakkan ketidakseriusan (komedi), namun pada dasarnya, protagonis tua ini berjaya memberikan nyawa untuk filem ini.

Watak-watak dalam Zatoichi didukung hebat bagi menggerakkan plot filem ini. Kita diperkenalkan dengan watak Hattori (lakonan Tadanobu Asano), samurai muda yang terpaksa mencari wang bagi mengubati isterinya yang sedang sakit, sebelum diupah Ginzo (lakonan Ittoku Kishibe) sebagai pengawal peribadi bersama watak-watak gengsternya mengganas dalam filem ini.

Seterusnya, watak dua wanita 'geisha', yang berusaha untuk membalas dendam terhadap kumpulan Ginzo tersebut. Struktur imbasan (diselang-selikan) sewaktu beliau sedang menari hingga ke dewasa begitu penuh bermakna. Keperitan hidup kedua-duanya walaupun tampak kejam pada mulanya akhirnya terjawab. Lantaran adegan amuk Zatoichi di meja judi dan sewaktu menyelamatkan dua wanita ini begitu hebat sekali divisualisasikan.

Yang menarik lagi tentang filem ini ialah latar belakang muziknya yang membentuk serta membangkitkan suasana. Paling mengejutkan, ialah tap-dance di saat sebelum tirai filem ini berlabuh. Amat menarik sekali sehingga saya tersenyum sendirian dengan koreografi tarian yang begitu memukau, seperti kata fadz - ala "Riverdance". Tarian tersebut seolah-olah gambaran keriangan manusiawi setelah segala bentuk kejahatan terhapus dek samurai buta yang 'cool' itu. Tarian penutup ini juga seperti megimbangi atau meneutralisasikan segala bentuk paparan keganasan dalam babak awal Zatoichi dan saya pasti terbitnya kepuasan menonton filem ini di sini.

Saya sarankan anda untuk menonton sebuah filem aksi/drama/musikal/komedi hebat ini.

Judul lain : The Blind Swordsman: Zatoichi
Sutradara & lakonlayar : Takeshi Kitano
Genre : Aksi/Drama/Komedi/Musikal
Barisan Pelakon : Takeshi Kitano, Tadanobu Asano, Yui Natsukawa, Michiyo Ookusu, Gadarukanaru Taka
Durasi : 1 jam 42 minit
Tahun keluaran : 10hb April 2004 (limited)
Distributor : Miramax Films


Rating : A- (4/5)

Ulasan terdahulu Zatoichi oleh Mr. Fadzz