Oleh Mahhass
American Splendor merupakan gabungan filem dan dokumentari. Kisah seorang penulis komik bernama Harvey Pekar. Namanya begitu terkenal di serantau Amerika, kerana keunikan penulisan yang bertemakan 'kehidupan normal seharian'. Beliau hanya menulis dan hasil penulisannya itu diilustrasikan oleh orang lain. Kisah hidupnya (yang bersahaja) yang diadaptasi dari sebahagian besar komik-komiknya itu di layarkan ke skrin oleh sutradara yang juga merupakan pasangan suami isteri, Robert Pulcini dan Shari Springer Berman. Lakon layarnya pula ditulis sendiri oleh Harvey Pekar dan dibantu oleh Joyce Brabner.
Apa yang menarik di sini ialah, walaupun kisah-kisah beliau itu boleh dianggap 'kisah normaliti orang biasa', tetapi gambaran yang cukup menarik dan humoristik, telah dipersembahkan dengan penuh artistik ke dalam filem ini.
Watak Harvey Pekar (sewaktu muda) didukung dengan penuh dinamik oleh Paul Giamatti. Namun, seperti yang saya katakan sebelum ini (gabungan filem dan dokumentari), maka Harvey Pekar (yang sebenar) juga muncul dalam filem ini dalam bentuk temubual.
Dalam struktur temubualnya, Pekar seolah-olah menceritakan kembali kisah hidupnya, bermula dari saat beliau kecil hinggalah bersara dari pekerjaannya sebagai kerani di sebuah hospital.
Lantaran kehidupan harian yang digambarkan ke dalam komik itu, akhirnya berjaya meraih minat penggemar komik di serata Amerika dan beliau menjadi terkenal sehingga diundang ke beberapa talk show khususnya David Letterman Show (segmen ini merupakan wawancara sebenar – bukan lakonan Giamatti). Beliau juga akhirnya 'berjaya' bertemu jodoh dengan pembaca komiknya sendiri dan kisah pertemuan ini digambarkan dengan penuh dramatis kejenakaan dalam filem ini.
Pada hemat saya, filem ini sebenarnya tidak 'menjulang' nama Harvey Pekar kerana tiada apa yang istimewa pada dirinya. Apatah lagi, Pekar (yang sebenar - bukan watak yang dibawakan Giamatti) memiliki karakter biasa walaupun kadang-kadang terlalu sarkastik dan celupar terhadap sesetengah orang. Watak Pekar (dalam filem) juga agak tidak konsisten dengan karakter sebenar Harvey Pekar, mengikut pemerhatian saya.
Sebenarnya, agak rumit bagi saya untuk mengulas filem ini. Ini kerana elemen humor atau jenaka yang digambarkan begitu sukar untuk saya sampaikan dalam bentuk ulasan. Mungkin juga kerana apa yang tersirat dalam hatinya banyak divisualisasikan kepada penontonnya dalam bentuk ilustrasi. Jadi, anda sendiri harus menonton filem yang penuh dengan kejenakaan ini.
Saya menyukai filem ini kerana keunikan teknik persembahannya termasuk pengolahan watak yang dibawa oleh Paul Giamatti, tetapi bukan kepada Harvey Pekar yang 'sebenar'…. Agak rumit bukan?
Sutradara : Robert Pulcini dan Shari Springer Berman
Lakon layar : Harvey Pekar dan Joyce Brabner
Barisan Pelakon : Paul Giamatti, Harvey Pekar, Earl Billings
Durasi : 1 jam 41 minit
Tahun keluaran : 2003 (Ogos)
SKRIN Rating : B+ (3.5/5)
No comments:
Post a Comment