18 May 2004

Ulasan Filem : Shaun of the Dead (2004)

Oleh Mahhass

British sememangnya kaya dengan filem-filem 'nakal'. Kali ini, zombie klasik Romero dinakalkannya. Tetapi apa yang boleh saya katakan ialah 'spoof' zombie ini sememangnya menjadi kerana filem Shaun of The Dead, walaupun sebuah genre komedi (gelap), namun lengkap dengan segala macam elemen gore serta cemasnya. Pengarah Edgar Wright bersama pelakonnya Simon Pegg, berganding bahu menulis skrip filem ini dan bagi saya, mereka berjaya menghasilkan sebuah genre yang betul-betul menggeletek hati.

Shaun of The Dead, mengambil nama wataknya sendiri iaitu Shaun, bekerjaya sebagai senior salesman di sebuah kedai menjual barangan elektrik. Istilah 'Dead' itu pula sebenarnya merujuk kepada kerjayanya, hubungan dengan teman wanita serta ibunya yang 'membengangkannya' dengan seribu kerenah. Beliau berkawan baik dengan Ed dan mereka berdua seringkali menenangkan emosinya di Winchester Pub sambil menikmati bir sampai mabuk.

Beliau memang tidak peduli tentang isu semasa - 'channel news' ditukarkannya, menyebabkan kewujudan zombie yang merayau-rayau di kawasannya itu langsung tidak disedarinya. Sehinggalah ada satu zombie perempuan yang tersesat di dalam halaman rumahnya, itupun disangkanya perempuan mabuk!

Lantaran bermulalah peperangan Shaun dengan zombie tersebut dalam usaha menyelamatkan teman wanita serta ibunya.

Bermacam-macam aksi 'spoof' yang dipetik dari kombinasi trilogi klasik Romero seperti Night of The Living Dead, Dawn of The Dead serta Day of The Dead. Ada juga beberapa aksi yang di’spoof’ dari filem 28 Days Later dan Resident Evil saya kira.

Dalam pada kelucuan tersebut, apa yang menarik ialah filem ini tidak lupa pada elemen gore dan saspen sehingga kadang-kadang berjaya membuat saya 'terpelanting' dari tempat duduk!

Edgar Wright mengekalkan elemen klasik zombie (pergerakan) dan bukan speed-zombie, kerana jika tidak, saya pasti tiada unsur komedi yang akan timbul dalam filem ini. (adakah ini mainan sinikal Wright yang bermaksud pergerakan klasik ala perlahan zombie dianggap tidak lagi relevan atau menakutkan malah boleh dianggap suatu yang melucukan?)

Babak paling lucu ialah sewaktu Shaun dan Ed 'berbincang' mana satu koleksi piring hitam untuk dibaling ke arah zombie yang cuba memasuki rumahnya.

Tidak kurang juga lawak sewaktu mereka berlakon (berjalan) ala ala zombie untuk masuk ke dalam pub tersebut. Mereka harus melintasi ratusan zombie yang berkeliaran di tengah jalan raya. Tiba-tiba telefon bimbit Ed berdering dan…. hahahaha. (Kelakar sebab Ed masih boleh 'layan' bersembang lagi…)

Pendek kata, memang menyeronokkan menonton sebuah genre horror dalam suasana komedi. Di babak akhir filem ini, sekali lagi saya terketawa dalam keterperanjatan!

Saya memberikan 3/5 bintang untuk keseluruhan Shaun of The Dead termasuk kecemerlangan skrip serta lakonan Simon Pegg.

Tagline : A Romantic Comedy. With Zombies
Sutradara: Edgar Wright
Lakon layar: Simon Pegg, Edgar Wright
Genre : Komedi/Seram/Aksi/Romance
Pelakon : Simon Pegg, Kate Ashfield, Nick Frost, Lucy Davis
Durasi : 1 jam 39 minit
Tarikh keluaran : 9hb April 2004

SKRIN Rating : B

No comments: