30 April 2004
Ulasan filem Pontianak Harum Sundal Malam (2004)
Nota: Saya sarankan agar anda menontonnya terlebih dahulu sebelum kembali untuk membaca ulasan ini. Bagaimanapun, ianya terpulang pada masing-masing samada menganggap ulasan ini berbaur 'spoiler' atau semata-mata sebuah pandangan dan kata hati penulis. Harap maklum. - mahhass.
Oleh Nizam Zakaria
Jika diberi tajuk filem terbaru arahan Shuhaimi Baba; "Pontianak Harum Slut Malam" sudah tentunya filem ini akan digam. Jadi sesuailah filem ini dinamakan "Pontianak Harum Sundal Malam". Itu pun, kalau tak salah saya, pada mulanya, nama ini telah mendatangkan kontroversi. Perkataan "sundal" dikatakan tidak sesuai digunakan.
Syukurlah filem ini lambat-laun dapat dibikin dan diselesaikan, dan akhirnya dapat saya tonton semalam di dalam acara pratonton Pontianak Harum Sundal Malam (HSM) yang telah diadakan di GSC MidValley.
Pontianak HSM menceritakan tentang Meriam, seorang primadona yang berjaya menawan ramai hari yang menyaksikan tarian gamelannya. Sewaktu menari, beliau mampu terapung dengan sendirinya, ala David Blaine, ahli silap mata muda dari Brooklyn, New York.
Pada tahun 1947 di Kampung Paku Laris, dua orang bersahabat, saudagar Marsani (Azri Iskandar) dan Danial (Sharonizam) sama-sama jatuh hati kepada Meriam (Maya Karin). Tetapi Meriam akhirnya menerima Danial.
Meriam terbunuh ketika beliau sedang sarat mengandung. Bukan itu sahaja, suaminya Danial pula mati di tengah laut. Marsani kecewa dan rasa bersalah ke atas kematian Meriam. Dalam pada itu, Kampung Paku Laris mula diserang dengan kejadian aneh di mana penduduk-penduduknya mati dibunuh dengan kejam. Puntianak yang menyerang kampung dikatakan jelmaan Meriam yang ingin membalas dendam dirinya yang telah dibunuh ketika sedang sarat mengandung.
Penonton kemudian dibawa ke masa kini. Marsani yang masih hidup terus diganggu oleh beban peristiwa yang pernah dilaluinya pada waktu yang lalu. Marsani yang obses dengan rentetan cintanya yang tak berbalas ditambah lagi dengan rasa takut bahawa keturunannya akan dihapuskan oleh Meriam, mengambil keputusan untuk melawan usia tuanya. Dengan bersungguh-sungguh beliau menjalani pembedahan plastik dan rawatan ozon ala Micheal Jackson (Ini bukan "spoiler", tapi bila fikirkan Marsani, saya teringatkan kepada kepelikan Micheal Jackson, terutamanya di bahagian akhir filem).
Munculnya seorang gadis bernama Maria yang seiras Meriam di dalam hidupnya, menggusarkan jiwanya. Marsani menjadi semakin runsing apabila kejadian-kejadian ngeri berlaku kepada orang-orang yang terdekat dengannya...
Ingin saya tegaskan di sini bahawa filem ini adalah sebuah filem yang telah diarahkan dengan naratif visual yang indah di tambah dengan penekanan Shuhaimi terhadap lakonan yang bersungguh-sungguh dari para pelakonnya. Saya cukup terpesona melihat set serta kostum pelakon dalam adegan Kampung Paku Laris pada tahun 1947. Adegan tarian gamelan dibuat dengan begitu cantik dan halus sekali. Lokasi yang dipilih juga menarik, terutamanya rumah Hijjas Kasturi - Rimbun Dahan, yang dijadikan lokasi utama dalam babak-babak akhir filem ini.
Shuhaimi juga nampaknya begitu bersabar tatkala bercerita dan membiarkan penonton mengupas ceritanya ini tanpa gopoh. Penggunaan teknik imbas kembali (flashback) begitu berkesan untuk menguatkan jalan cerita sekali gus pemahaman penonton. Walau bagaimanapun, beberapa adegan mungkin terlalu mengejut tanpa kesinambungan yang wajar. Sebagai contoh, adegan
Walaupun suntingan yang dilakukan Mior Hashim Manap kemas, saya rasa agak terganggu apabila montaj pontianak yang serupa diselitkan berkali-kali (untuk menakutkan penonton, barangkali). Skor Muzik Shamsul Chairel pula, adalah antara skor muzik yang terbaik untuk sebuah filem Melayu sejak akhir-akhir ini. Dalam hal efek bunyi pula, memang memuaskan, kerana tatkala menonton filem ini, adunan Dolby Digital Surround memang benar-benar dapat dirasakan.
Lakonan para pelakon memuaskan, lebih-lebih lagi lakonan Nanu Baharudin sebagai Laila dan Sharonizam sebagai Daniel. Saya agak kecewa apabila mendapati watak kedua-dua pelakon berbakat ini dimatikan setengah jalan. Watak mereka menarik, malah saya rasa apa yang berlaku di Kampung Paku Laris pada tahun 1947 jauh lebih istimewa dari Kampung Paku Laris pada zaman sekarang.
Jangan lupa untuk perhatikan lakonan "cameo" oleh pelakon-pelakon undangan seperti Azwan Ali, Shah Rezza dan Afdlin Shauki.
Kalau tidak salah saya, pelakon-pelakon filem ini mendapat tunjuk ajar dari Fatimah Abu Bakar dan Normah Nordin. Nampaknya mereka berjaya membuat para pelakon mendalami watak-watak mereka, kecuali Maya Karin. Lakonan Maya Karin agak kaku. Mungkin beliau perlu diberikan sedikit masa lagi untuk berlatih... Kalau diberi kuasa untuk memilih pelakon, saya rasa watak utama Meriam/Maria/Pontianak akan saya berikan sahaja kepada Nanu yang lakonannya jauh lebih mantap.
Seperkara yang saya kurang senang dengan filem ini adalah adegan-adegan mimpinya yang diadakan berkali-kali sehingga membuat saya sedikit muak. Nak tahu mengapa perlu diadakan adegan-adegan mimpi ini? Kerana pakcik dan makcik kita di Lembaga Penapisan Filem (LPF) telah mengadakan garis panduan di antaranya:
1. Filem genre ini (seram) perlu ada elemen mimpi
2. Filem ini tidak boleh terlalu menakutkan, ganas, banyak berdarah dan tak boleh tunjuk keluar masuk kubur.
Bahagian-bahagian akhir filem ini telah diakhiri dengan satu lagi adegan mimpi (Marsani rupa-rupanya meracau-racau dalam mimpinya. Atau mungkin, pontianak yang kita lihat dalam filem ini sebenarnya adalah hasil imaginasinya sendiri - ala halusinasi John Nash dalam filem "A Beautiful Mind"). Entah dah berapa banyak agaknya filem-filem Melayu yang dibikin dan akan terus dibikin dengan elemen mimpi ini. Kalau macam itu, berikan saya kesempatan untuk memberikan istilah baru kepada genre filem seram Malaysia - "seramimpi".
Saya tidak salahkan Shuhaimi kerana membikin sebuah naskhah yang mempunyai "ending" yang sukar untuk saya terima, tetapi kepada pihak kerajaan, khususnya Lembaga Penapisan Negara kerana mengeluarkan garis panduan yang bukan-bukan dan yang akhirnya menyukarkan proses kreatif para pembikin filem. Maka, terhasillah produk filem yang dikeluarkan di pasaran, walaupun dibuat dengan bersungguh-sungguh dengan penuh rasa hormat terhadap karya seni filem (seperti filem Pontianak HSM ini), menjadi produk seni yang ibarat kuah kekurangan garam. Ada sahaja yang tidak kena.
Shuhaimi Baba, dalam Nota Pengarah yang saya terima, telah mengatakan bahawa dengan adanya segala halangan yang ada, beliau tetap mahu meneruskan projek filemnya ini dengan harapan: "Akan datang kerajaan akan lebih terbuka bila melihat filem hantu kita mempunyai keunikan sendiri."
Saya cukup menghormati semangatnya ini. Sememangnya apa yang cuba dilakukannya ini bagus. Biarkan mereka yang begitu "arif" melakarkan garis panduan untuk pembikin-pembikin filem melihat sendiri produk yang akhirnya terhasil oleh pembikin-pembikin filem kita (baca: filem seramimpi).
Kita sebagai penonton pula perlu memberikan sokongan kepada Shuhaimi Baba dengan menonton filemnya ini (sememangnya filem ini agak fantastik dan indah untuk ditonton. Terutama pada bahagian awal filem ini yang mempunyai gaya dan rupa sebuah naskhah filem yang boleh dibawa ke festival filem!). Kita harus menonton dan menilai sendiri bahagian akhir filem ini, dan filem ini secara total. Sebagai penonton, kita harus bertanyakan kepada diri kita... Sampai bila agaknya harus kita diperkotak-katikkan dengan segala 'syarat dan garis panduan' yang ada. Tanyakan sendiri soalan ini kepada diri kita: "Adakah rakyat Malaysia begitu bebal sehingga tidak mampu menilai apa yang baik dan apa yang buruk dengan sendirinya sehingga perlu diadakan garis panduan ini semua?"
Secara ikhlas, ingin saya nyatakan bahawa filem Pontianak HSM ini berpotensi menjadi sebuah filem yang baik, malah antara filem Melayu terbaik sejak akhir-akhir ini, tetapi setelah ia dibuat dengan penapisan sendiri, dek mengikut garis panduan yang tidak masuk akal, akhirnya filem seramimpi ini hilang arah tuju dan berputar di pusaran kebingungan.
Rating: ***1/2
Klik untuk dengar lagu "Pulangkan" - Lagu Tema filem Pontianak Harum Sundal Malam nyanyian Misha Omar
27 April 2004
Ulasan Filem : Taking Lives (2004)
"Ambil Nyawa" – Genre lazim dengan 'rencah' yang berbeza
Taking Lives merupakan filem arahan kedua D.J. Caruso selepas filem The Salton Sea (2002), yang sebelum ini juga pernah menulis serta mengarah beberapa episod siri tv Dark Angel dan juga Smallville (serta siri-siri tv lain). Bagaimanapun saya masih belum menonton filem The Salton Sea yang rata-rata pengkritik memberi 'tabik' kepada pengarah muda ini, malah ada yang memberi jolokan (filem The Salton Sea) sebagai "Pulp Fiction meets Transpoitting".
Taking Lives membariskan pelakon-pelakon yang tidak perlu diperkenalkan lagi seperti Angelina Jolie (Beyond Borders, Tomb Raider, Original Sin), Ethan Hawke (Training Day) dan juga Kiefer Sutherland (siri tv "24", Phonebooth – sebagai 'The Caller').
Filem ini berkisarkan tentang misteri pembunuhan yang berlaku seawal tahun 1983 di Canada hingga ke waktu ini. Kisah pembunuhan bersiri yang penuh sadistik ini masih tidak dapat diselesaikan oleh pihak polis tempatan sehingga terpaksa meminta bantuan pihak FBI amerika berikutan identiti suspek yang seringkali bertukaran. Saya katakan sadistik kerana setiap mangsa dibunuh dengan cara menghentakkan batu ke muka hingga hancur (sehingga tidak dapat dicam wajahnya). Jadi, filem ini ada mengandungi beberapa imej 'brutal' yang boleh 'mengganggu'.
Siasatan yang dilakukan oleh FBI menemui jalan buntu. Apa tidaknya, bagaimana boleh diselesaikan sedangkan orang yang bertanggungjawab ke atas siri pembunuhan tersebut sebenarnya telah lama disahkan mati? Walaupun Amerika 'mendahului' dalam segala jenis bentuk penyiasatan dari segi teknikal atau teori, namun kelemahan pasti wujud, dan yang ketara, kelemahan emosi itu sendiri khususnya jika penyiasatan itu dikendalikan oleh wanita.
Itu sebenarnya tema 'tersembunyi' yang cuba direncanakan dalam filem ini. Apa yang jelas, Angelina Jolie membawakan watak (Ejen) Illeana Scott dengan berkesan sekali. Begitu juga watak James Costa yang dibawa baik Ethan Hawke (walaupun tidak sehebat lakonan dalam filem Training Day).
Kali ini, watak yang dipegang Jolie amat bersesuaian, oleh kerana (sekali lagi) unsur seksualiti yang sebenarnya menjadi medan untuk menghidupkan tema filem ini. Ia agak berbeza dari segi watak seorang penyiasat seperti mana watak Amelia Donaghy yang dipegangnya dalam The Bone Collector, kerana watak-watak penuh 'cinta' terluah dalam filem ini. Bagaimanapun, saya masih menggangap lakonannya sebagai Julia Russell dalam filem Original Sin masih lagi yang terbaik.
Filem-filem yang berkonsepkan pembunuhan lazimnya mengandungi twist yang agak tipikal, namun, Taking Lives saya boleh katakan agak menarik kerana saya sendiri 'ditipu' dengan tidak disangka-sangka pada minit-minit akhir kesudahannya. Ia menggarap sebuah twist dalam plot yang dimanipulasi dengan baik hasil adaptasi novel yang ditulis sendiri oleh Michael Pye (yang juga selaku screenwriter filem ini).
Ada satu adegan yang berjaya 'memeranjatkan' saya ke tahap maksimum, iaitu sewaktu Illeana memasuki 'bilik rahsia' Martin. Pun begitu, saya agak pelik kenapa beliau tidak dapat mengecam watak 'Martin' tersebut. Apatah lagi pistol sudah berada di genggamannya ketika itu.
Sebenarnya, saya mengukur sesuatu filem itu bukan sekadar dari sudut 'cerita' yang dipersembahkan, tetapi lebih kepada 'style' dan juga tekniknya. Sejauh mana filem itu berjaya mewujudkan rasa cemas atau sekurang-kurangnya membuatkan kita terlonjak-lonjak dalam menantikan kesudahannya.
Ini termasuklah juga dari sudut penguasaan fotografi, kesan khas serta mis-en-scene menarik yang boleh memberikan respon baik penontonnya. Maka, filem Taking Lives saya kira ada mempunyai ciri-ciri yang saya sebutkan itu. Namun, ia tidaklah sebaik siri tv CSI kalau dibandingkan.
Filem ini agak teruk dihentam oleh sebahagian besar pengkritik, namun seperti biasa, ia tidak mempengaruhi rating saya. Saya kira Taking Lives masih di tahap baik.
Sutradara : D. J. Caruso
Lakonlayar : Jon Bokenkamp & Michael Pye
Genre : Thriller/Drama/Jenayah
Barisan Pelakon : Angelina Jolie, Ethan Hawke, Kiefer Sutherland, Gena Rowlands, Olivier Martinez, Tchéky Karyo, Jean-Hughes Anglade
Novel Adaptasi : "Taking Lives" oleh Michael Pye
Durasi : 1 jam 43 minit
Distributor : Warner Bros.
SKRIN Rating : B+
23 April 2004
Ulasan Filem : KILL BILL Vol. 2 (2004)
PERHATIAN : Jika anda berasa ragu-ragu atau khuatir ulasan ini akan 'memudaratkan' keterujaan anda untuk menikmati kesudahan filem ini, saya sarankan agar anda tidak membacanya. WALAUBAGAIMANAPUN, perlu saya tekankan bahawa ulasan ini lebih bersifat informasi atau previu sebelum anda menontonnya (jika belum menonton). Apapun, jika anda lebih teruja untuk membacanya juga, saya juga turut teruja untuk mengucapkan SELAMAT MEMBACA!
"Kesumat Si Pengantin Malang"
Filem yang paling dinanti-nantikan untuk tahun ini. Misi dendam Si Pengantin diteruskan dan apa yang pasti, filem ini berakhir juga. Jika kita rujuk kepada tajuknya, sememangnya nama Bill (David Carradine) berada di dalam senarai terakhir Si Pengantin malang itu (lakonan Uma Thurman) atau juga dikenali sebagai "The Bride" (Black Mamba nama kod kumpulan gelapnya) dalam melampiaskan kesumatnya.
Dalam Kill Bill Vol. 1, dua daripada lima bekas rakan sekumpulannya (O-Ren-Ishii dan Vernita Green) telahpun tersungkur di tangan beliau. Begitu banyak sekali pertumpahan darah dalam melangsaikan dendamnya ke atas bekas ahli kumpulannya itu. Namun, perlu saya katakan di sini bahawa 'pesta gore' sebagaimana dipertontonkan kita dalam Vol. 1 tidak lagi boleh dinikmati dalam 'grand finale' ini.
Tetapi, itu sebenarnya tidak memberikan sebarang impak ke atas kesinambungan filem ini. Filem ini masih boleh berdiri megah dengan tema, falsafah serta genrenya. Malah, Tarantino kali ini dilihat lebih memberi penekanan dalam membangunkan watak-watak seperti Budd (lakonan Michael Madsen) – yang berada dalam senarai ketiga Si Pengantin, watak Bill (lakonan David Carradine) termasuk Si Pengantin itu sendiri.
Filem ini dibuka tirainya dengan membawa kita kembali ke gereja tempat berlangsungnya upacara raptai perkahwinan Beatrix (nama watak sebenar Si Pengantin) dengan Tommy, di mana di situlah terpalit titik hitam Si Pengantin dalam kisah penuh keganasan ini. Di sana, pertemuan Bill dengan Beatrix yang pada mulanya disaksikan penuh melodramatis, akhirnya bertukar (seperti mana kita diperjelaskan dalam Vol. 1). Ungkapan "Bill... It’s your baby…" dan BANG!! - masih lagi diimbas kembali dalam saat-saat awal filem ini.
Untuk sambungan kisahnya kali ini, Tarantino tidak lagi memilih untuk memaksimumkan aksi-aksi lawan pedang - potong-memotong seperti mana kita tonton koreografi pertembungan hebat The Black 88, Vernita Green (Copperhead) dan O-Ren Ishii. Tarantino tidak lagi menggunakan acuan yang sama berulang kali.
Adegan Si Pengantin ditanam hidup-hidup oleh Budd, saya pasti ia benar-benar berkesan dalam menerbitkan rasa klaustrofobia penontonnya. Watak Budd juga sebelum itu dikembangkan dengan baik. Seperti mana Vernita dalam Vol. 1, Budd juga telah membuat haluan hidup masing-masing iaitu bekerja di sebuah bar tetapi masih lagi berhubungan baik dengan abangnya, Bill.
Bagaimanapun, penonjolan watak Elle Driver (lakonan penuh sadistik Daryl Hannah) agak minimum. Beliau cuma diimbaskan kepada kita kisah kehilangan sebelah matanya iaitu sewaktu beliau berguru dengan Pai Mei, seorang Kung-Fu Master (Elle merupakan murid seperguruan Si Pengantin itu juga).
Jika sebelum ini (Vol. 1) kita dihidangkan dengan kehebatan seni kepahlawanan samurai Jepun, tetapi kali ini, Tarantino memilih seni Kung-Fu sebagai pendokong filem ini. Anda pasti akan merasakan seperti menonton filem Kung-Fu era Jackie Chan suatu masa dahulu.
Saya agak terkejut kerana terdapat adegan Pai Mei (lakonan lagenda filem Kung-fu Hong Kong, Gordon Liu) secara terang-terangan mengutuk Samurai – katanya, "Saya benci Jepun…Semua orang Jepun bodoh!" sambil memperlihatkan serta melaungkan kehebatan seni Kung-Fu yang beliau miliki. Saya kira kutukan ini mungkin boleh menimbulkan kontroversi.
Pada hemat saya, pertembungan Elle Driver dengan Si Pengantin boleh dikategorikan sebagai acara kemuncak filem ini. Benar, kerana anda mungkin tidak percaya jika saya katakan dalam setengah jam sebelum filem ini berakhir, Tarantino memilih untuk menggarap sebuah twist yang agak menarik dan beremosi. Masih ingat lagi yang Si Pengantin telah kehilangan anaknya sewaktu empat tahun koma?
Keseluruhannya, tiada perbandingan yang boleh saya buat antara kedua-dua filem ini kerana masing-masing ada tema serta nilai artistiknya tersendiri. Tambahan lagi, pada hakikatnya Kill Bill merupakan 'sebuah' filem yang dipisahkan menjadi dua berikutan durasinya yang jika disatukan boleh saja mencecah empat jam lebih (1 jam 50 minit + 2 jam 15 minit).
Dan saya boleh katakan bahawa Kill Bill boleh sahaja mencapai status filem aksi paling menghiburkan untuk tahun ini jika tidak disenaraikan dalam kategori terbaik sekalipun.
Untuk Perbadanan 'Pengharaman' Filem Nasional Malaysia aka FINAS : "Bang! Bang! Here Comes The Bride... again"
Sutradara & Lakonlayar : Quentin Tarantino
Genre : Aksi/Adventure/Thriller/Drama
Pelakon : Uma Thurman, David Carradine, Michael Madsen, Daryl Hannah, Gordon Liu, Samuel L. Jackson
Durasi : 2 jam 15 minit
Distributor : Miramax Films
SKRIN Rating : A- (4/5)
Terdahulu : Ulasan Kill Bill Vol. 1
22 April 2004
Ulasan Filem : Secret Window (2004)
"Jendela Rahsia – Cemas lagi mencemaskan"
Melihatkan judul filem ini, terus terang saya katakan bahawa ia tidak menarik minat saya untuk menontonnya. Malah hati saya awal-awal lagi sudahpun berkata "Mesti bosan filem ni…". Namun, tanggapan saya silap kerana sememangnya saya 'terperangkap' dari awal hingga ke akhir babak. (dan tidaklah menjadi satu kerugian untuk saya lepaskan dulu filem Taking Lives untuk menonton filem ini).
Sinopsis
Mort Rainey (Johnny Depp) ialah seorang penulis novel terkenal. Suatu petang, beliau didatangi seorang yang tidak dikenali (memperkenalkan diri sebagai John Shooter). Lelaki misteri tersebut lantas menuduhnya 'mencuri' karya novelnya ("You stole my story", katanya).
Shooter menunjukkan bukti karya asalnya yang saling tak tumpah dengan apa yang Mort telah karangkan. Tambah Shooter lagi, sudah hampir tujuh tahun (1997) beliau menulis cerita tersebut. Walaubagaimanapun, novel karya Mort pula diterbitkan dua tahun sebelumnya (1995) di sebuah majalah. Justeru Mort diberi masa tiga hari untuk tampil dengan bukti-bukti tersebut, jika tidak, beliau akan menerima akibatnya.
Situasi ini begitu mengkalutkannya apatah lagi beliau berada dalam proses penceraian berikutan kecurangan isterinya, Amy. Amy ditangkap bersama-sama teman lelakinya oleh Mort di sebuah motel. Atas kejadian tersebut, Mort jadi tak tentu arah dan mengambil keputusan untuk menjauhkan diri di sebuah kabin sambil meneruskan kerjayanya sebagai penulis.
Nasib bagaimanapun tidak menyebelahi Mort kerana rumah isterinya bersama teman lelaki baru itu telah dibakar. Satu-satunya bukti majalah yang tersimpan di rumah tersebut kini musnah. Mort kini dalam bahaya akibat ancaman Shooter tersebut. Satu-persatu peristiwa aneh mengganggu hidupnya bermula dari saat kematian anjingnya.
Konsep/Cerita/Arahan/Lakonan
Filem ini begitu cemas dan mendebarkan. Dari saat permulaan sehingga ke akhir babak, saya seolah-olah dipaku di tempat duduk saya. Ia mengingatkan saya kepada filem Identity tahun sudah, yang mengajak kita bermain teka-teki. Malah, elemen cemas yang digarap tampak lebih berkesan dalam mewujudkan sebuah kekalutan emosi. Ia sememangnya menjadi sandaran utama filem ini.
Kisah yang diadaptasikan dari novel Stephen King ini dilayarkan ke skrin dengan gaya tersendiri David Koepp (Masih ingat Panic Room atau Stir of Echoes?). Pastinya filem ini jauh lebih bermutu dari filem Dreamcatcher (filem penuh 'kegagalan') tahun lepas, yang juga berdasarkan novel King. Jadi, David Koepp yang juga selaku pengarah, begitu teliti dalam pengolahan sebuah adaptasi.
Apa yang nyata, Johnny Depp, pelakon yang mula-mula mencipta nama dalam siri television 21 Jump Street satu masa dulu, membuktikan sekali lagi selepas menerajui filem-filem hebat seperti Once Upon A Time In Mexico, Sleepy Hollow, Edward Scissorhands, dan juga watak 'lanun lembut' dalam Pirates of The Carribean, sememangnya beliau pelakon versatile.
Lakonan Depp (berimej kusut masai) dalam filem ini berjaya mewujudkan tempo dan mood serta konflik pergolakan jiwa seorang penulis yang dirundung masalah. Bagaimanapun, harus saya bangkitkan di sini bahawa lakonan dinamik John Turturro yang mendokong watak sebagai John Shooter, jelas memainkan peranan besar dalam menghidupkan unsur suspen dan keresahan dalam filem ini.
Sebenarnya, filem ini penuh dengan maksud serta tema 'gelap' yang 'tersembunyi'. Konsep 'krisis-identiti' serta unsur twist yang ditonjolkan menjadikan filem ini menarik sekali untuk ditonton. Ia bukan sekadar kisah cemas semata-mata, tetapi lebih memberi konteks yang luas kepada permasalahan rumahtangga dan yang penting ialah menyingkap puncanya.
"Jendela Rahsia" itu mengundang seribu misteri dan ia sebagai metafora filem ini. Justeru, tidak salah rasanya jika saya letakkan filem ini antara genre terbaik tahun ini (setakat April 2004).
Sutradara & Lakonlayar : David Koepp
Genre : Drama/Misteri/Cemas/Psiko
Pelakon : Johnny Depp, Maria Bello, John Turturro, Timothy Hutton, Len Cariou
Novel adaptasi : "Secret Window, Secret Garden" oleh Stephen King
Distributor : Columbia Pictures
SKRIN Rating : B+ (3.5/5)
19 April 2004
Ulasan Filem : Capturing The Friedmans (2003)
"Menangkap Suku Friedman - Tragedi Keluarga & Kajian Retorik"
Seperti dalam filem Blue Velvet, American Beauty atau siri cult Twin Peaks, setiap rumah di kawasan anda, atau keluarga anda sekalipun, sudah tentu ada 'rahsia' yang tersembunyi di setiap pintu bercat putih dan berpagar besi. Apa yang orang kata, satu keluarga seharusnya begini, sudah tentu ada yang 'begitu'.
Kehebatan filem dokumentari Capturing The Friedmans adalah, bukan sahaja membawa persoalan pada penontonnya bahawa adakah ahli keluarga dalam keluarga nukleus ini bersalah dari segi undang-undang dan di mana keadilan dalam undang-undang, tetapi adakah salah untuk satu keluarga 'dysfunctional' untuk menjadi 'dysfunctional'.
Filem dokumentari ini berdasarkan kepada kes keluarga yahudi Amerika, Friedman di mana ayahnya, Arnold dan anak bongsunya Jesse diberkas dan dituduh oleh polis daerah Great Neck bahawa mereka mencabul dan merogol anak-anak lelaki jirannya yang datang belajar komputer di rumahnya.
Dari saat itu, filem ini membawa kita melihat, satu per satu tragedi dan 'disillusion' yang dilalui oleh keluarga Friedman, juga kecaman dan tekanan yang mereka tanggungi atas hebohan media dan masyarakat di sekelilingnya. Apa yang menarik lagi, David, anak sulung dalam keluarga ini (yang 100% di belakang ayahnya) merakamkan kesuraman, riang dan konflik yang berlaku antara ayah-ibu-serta adik beradiknya sebelum ayah dan adiknya dibicarakan dan dipenjara. Percayalah, tangkapan-tangkapan 'real drama' ini walaupun kadangkala agak sureal, tapi lebih 'real' dari realiti TV.
Yang membuat persoalan 'realiti' ini lebih mengerikan ialah, kita sedar, keluarga ini amat minat merakam diri mereka di depan kamera (seperti filem keluarga yang biasa anda tengok dalam American Funniest Home Video).
Maka persoalannya apabila mereka merakam diri mereka pada waktu krisis ini berlaku dan mula memporak perandakan keluarga ini (seperti yang David kata, dia merakamnya kerana dia tahu, selepas itu keluarganya tidak akan jadi satu keluarga lagi..), apakah yang kita lihat itu benar-benar mereka (kebenaran) atau itu juga satu lakonan?
Apa yang benar ialah, kerana mereka sudah terbiasa di depan kamera, kadang-kadang perkara benar itu kelihatan seperti satu lakonan. Ini dapat dilihat, apabila David menghantar adiknya ke mahkamah. Lalu David menyoal adiknya, "Adakah ia benar?" Dan Jesse, seakan cuba menyimpan sesuatu, terus terang, "Memang tak benar.."
Capturing The Friedmans cuba tidak membawa penontonnya menuduh keluarga pelik ini, apakah yang mereka buat ini salah, atau apa yang sebenar berlaku di sebalik kelas tusyen komputer Arnold Friedman, tetapi ia telah membuka banyak persoalan tentang kepincangan masyarakat Amerika itu sendiri.
Persoalan-persoalan seperti, apakah kita perlu menghalalkan 'mass histeria' (atau 'mass witchhunt'), apakah media berguna dalam mencari kebenaran dan menyampaikan kebenaran pada masyarakatnya, apa pengaruh generalisasi dan akibatnya pada badan-badan tertentu yang diwujudkan untuk menjaga khidmat masyarakatnya, apakah 'pedophille' itu salah dan bagaimana masyarakat seharusnya diperlihatkan tentang bentuk sebenar seorang pedophille, dan apa definisi 'individual privacy' atau paling penting, apakah itu hak kebebasan sebenarnya dalam satu masyarakat.
Apa yang lebih menyeramkan apabila kita tahu, persoalan-persoalan ini benar dalam realitinya dan masih mencacak tanah di sekeliling kita, walaupun di Malaysia.
Filem arahan pertama Andrew Jarecki ini amat pandai 'memutar-belit'kan emosi dan minda penonton. Kita dihidang dengan satu keluarga yang tidak mungkin seperti keluarga kita tapi kita sedar, secara tidak sengaja ia menduga bahawa kita juga ada rahsia-rahsia kita yang tertentu. Jarecki dalam gaya 'duduk atas pagar' seperti The Big Durian dan bukan seperti Bowling For Columbine membuatnya antara pengarah dokumentari yang pandai dalam memanipulasikan intelek dan roh penontonnya, juga kutukan kerana mendiskriminasi perjalanan mencari kebenaran hakiki; kerana dalam proses pembuatan filem ini, dia sudah menjumpainya tetapi tidak menunjuknya (sila lihat artikel ini).
Itu tidak penting (sekurang-kurangnya untuk falsafahnya bagi filem ini, kerana dia mahu melihat reaksi dan pandangan penontonnya, apa itu benar dan salah bagi mereka), kerana yang penting, perkara-perkara itulah yang membuat filem ini sangat 'dark' dan cantik sebagai sebuah filem yang menceritakan sebuah keluarga yang menarik (atau 'dull' kalau keluarga anda juga begini) yang melalui satu situasi yang menarik dalam hidup mereka.
Dua adegan yang menghantui aku; satu, Elaine ibu Jesse apabila mendapati anaknya di depan pintu, pada pertama kalinya dia akan bertemu dengan anaknya selepas 13 tahun di penjara, terkeluar "Oh Shit.." dari mulutnya. Dua, Howard, adik pada Arnold yang bermati-matian menyebelahi abangnya tidak bersalah, juga menafikan dia pernah ditiduri abangnya sewaktu kecil, dengan tiba-tiba ditunjukkan sedang duduk gembira bersama 'pasangan'nya, menyamarkan lagi pandangan jujurnya tentang aktiviti 'minor' abangnya.
Adegan-adegan ini sudah tentu tidak begitu menjadi jika Jarecki memilih gaya 'penghakim' Micheal Moore dalam Bowling for Columbine, yang membuat filem ini, antara dokumentari yang akan diperkatakan dan dikaji kerana provokasinya untuk masa akan datang.
Judul : Capturing The Friedmans
Sutradara & Penerbit : Andrew Jarecki
Genre : Dokumentari/Jenayah
Pelakon : Arnold Friedman, Jesse Friedman, Seth Friedman, Elaine Friedman, David Friedman...
16 April 2004
Ulasan Filem : The Eye 2 (2004)
Sebagaimana ghairahnya Hollywood menghasilkan filem adaptasi komik, Asia pula dengan genre seramnya yang cukup popular dan selalunya beroleh sambutan yang baik sekitar rantau ini. Saban tahun filem-filem dari genre ini dilihat membanjiri pawagam negara kita. Terbaru ialah The Eye 2, karya terkini adik beradik Pang setelah kejayaan besar filem The Eye sekitar dua tahun yang lalu.
Filem The Eye 2 ini, bagaimanapun bukanlah sambungan kepada filem pertamanya. Ia adalah satu cerita yang baru dengan watak-watak yang baru. Kali ini watak utamanya ialah Joey (Shu Qi) seorang editor majalah yang mendapati dirinya mengandung setelah memutuskan hubungan dengan bekas teman lelakinya Sam (Jesdaporn Pholdee). Ketika bercuti di Bangkok, Joey pernah cuba membunuh diri namun percubaannya gagal. Semenjak itu Joey berupaya melihat hantu atau roh orang mati, namun Joey tidak benar-benar menyedarinya sehinggalah kandungannya berusia sekitar enam bulan.
Klise? Mungkin ramai yang mempunyai tanggapan sebegitu. Watak Joey seolah-olah tidak banyak bezanya dengan watak Mun dari filem The Eye 1 di mana keduanya mempunyai abiliti untuk melihat hantu. Setelah menyedari keupayaan luar biasa mereka, kedua Joey dan Mun sentiasa berasa tertekan apabila sering terserempak dengan peristiwa yang menyeramkan. Namun sekiranya dilihat dengan teliti kita akan dapati perbezaan yang agak ketara antara kedua mereka. Satu-satunya keupayaan Mun yang tidak dipunyai oleh Joey ialah kemampuan melihat kehadiran "lembaga berpakaian hitam" sejurus sebelum berlakunya "kematian". Ya! Mun mempunyai abiliti untuk melihat kehadiran "Angel of Death" ataupun "Malaikat Maut". Berlainan pula dengan Joey yang tidak memiliki keupayaan tersebut, sebaliknya dia mampu melihat kehadiran "roh" sejurus sebelum wanita mengandung melahirkan anak. Ringkasnya tema filem The Eye adalah "kematian" manakala The Eye 2 pula bertemakan "kelahiran".
Umumnya agama-agama wahyu seperti Islam dan kristian mempercayai kitaran hidup manusia berakhir dengan kematian, begitu juga dengan kepercayaan akan adanya hari kiamat yang menandakan segala pengakhiran untuk segala bentuk kehidupan. Sebaliknya, agama Buddha dan Hindu mempercayai konsep kelahiran semula... yang musnah akan diperbaharui, begitu juga dengan kehidupan manusia di mana yang mati dipercayai akan lahir semula dan menjalani kehidupan yang baru tanpa sebarang memori dari karma yang lepas. Di sini kita dapat lihat bahawa adik-beradik Pang cuba mengupas falsafah Buddhisme mengenai kematian dan kelahiran semula dan mencadangkannya sebagai teori dalam kedua filemnya ini.
Lazimnya wanita mengandung bersikap aneh. Menerusi filem ini kita seolah-olah diberitahu bahawa wanita mengandung sentiasa ditemani roh si mati yang bakal dilahirkan semula sebagai bayi mereka. Suatu ketika dalam filem ini Joey bertindak ganas terhadap seorang lelaki yang cuba memperkosanya. Lelaki itu cedera parah di bahagian muka, namun anehnya Joey langsung tidak tahu atau sedar mengenai apa yang pernah dilakukanya terhadap lelaki tersebut. Apakah Pang Brothers cuba memberitahu bahawa perlakuan dan reaksi aneh wanita mengandung sebenarnya dipengaruhi oleh roh-roh yang menemani mereka?
Tidak seperti Mun yang memperolehi 'mata aneh' setelah pembedahan, sebab-sebab kenapa Joey boleh melihat hantu agak kabur. Mungkin ia pernah dijelaskan oleh "orang alim" yang ditemui oleh Joey di rumah jirat, malangnya saya sendiri gagal mentafsirkannya. Saya kira judul filem ini tak sepatutnya 'The Eye 2' kerana ceritanya langsung tidak ada kena-mengena dengan mata, mungkin lebih elok judulnya diberi sebagai "Pregnancy" atau sebarang nama yang lebih sesuai.
Filem ini mungkin bukanlah sepenuhnya bagus, namun ia juga bukanlah filem seram yang kosong semata-mata. Sebahagian besar penonton mungkin hanya akan bercerita tentang sejauh mana seramnya ia, manakala sebahagian lagi mungkin memberikan reaksi negatif terhadap unsur klise yang ditonjolkan oleh The Eye 2. Tak ramai yang cuba menyelami konsep Buddhisme yang cuba dikupas oleh sutradara Danny dan Oxide Pang ini. Adik beradik Pang ini juga pandai bermain dengan simbolik dan visual. Penggunaan latar Thailand di permulaan filem ini juga seolah-olah disengajakan sebagai signifikasi kepada "permulaan" atau "kelahiran" yang menjadi tema utama filem ini, manakala penggunaan latar Thailand di penghujung filem The Eye 1 pula seolah-olah signifikasi kepada "pengakhiran" atau "kematian" yang menjadi tema filem tersebut. Kekuatan filem ini juga banyak bergantung kepada lakonan Shu Qi yang agak bagus. Tidak mustahil sekiranya dia tercalon menerusi kategori aktres terbaik untuk Hong Kong Film Award atau Golden Horse Festival akan datang.
Judul Filem : The Eye 2
Sutradara : Oxide Pang Chun, Danny Pang
Lakonlayar : Jojo Hui
Genre : Horror
Negara : Hong Kong
Bahasa : Mandarin/Thai
Pelakon : Shu Qi, Jesdaporn Pholdee, Eugenia Yuan...
Rating : 3.5/5
15 April 2004
Ulasan Filem : Big Fish (2003)
Hampir setiap kanak-kanak diperdengarkan dengan kisah-kisah dongeng, hikayat atau fairy-tales tidak kiralah sewaktu hendak diulit tidur mahupun ketika di sekolah atau bersama kawan-kawan. Jadi sudah tentunya masing-masing punya imaginasi tersendiri kerana itulah sifat lazim yang ada pada kanak-kanak.
Tetapi, bagaimana jika kita masih lagi asyik diceritakan kisah-kisah sebegini walaupun sudah melangkah jauh meninggalkan alam kanak-kanak? Persoalan inilah yang menjadi tunjang filem Big Fish yang diadaptasi oleh John August dari novel "Big Fish" karya Daniel Wallace.
Big Fish diarahkan oleh Tim Burton yang sebelum ini terkenal dengan filem-filem fiksyen fantasi seperti Batman Returns, Planet of The Apes, Mars Attack!, Edward Scissorhands dan sebagainya. Namun, filem beliau kali ini bukanlah fiksyen aksi, tetapi lebih bersifat fantasi serta imaginasi dalam sebuah 'realiti'.
Filem ini menampilkan protagonis yang penuh 'bernyawa' hasil lakonan Albert Finney sebagai Edward Bloom dikala tua dan lakonan Ewan McGregor sewaktu masih muda remaja (yang digambarkan dalam naratif literalnya).
Dari saat kecil hinggalah ke dewasa, Edward bercerita 'kisah hidup' beliau kepada anaknya Will Bloom (lakonan Billy Crudup), iaitu kisah-kisah yang seringkali membuatkan Will 'resah' dalam membezakan yang mana satu realiti dan fantasi ataupun yang mana boleh dipercayai dan yang mana terlalu mustahil.
Will menemui kemucak 'kebosanan'nya dihari perkahwinan beliau (oleh sebab ayahnya masih lagi bercerita kisah 'ikan'nya pada tetamu majlis), lantas mengambil keputusan untuk menjauhkan diri dari ayahnya (tiga tahun lamanya).
Sehinggalah Will mendapat berita yang ayahnya telah jatuh sakit akibat kanser, dan akhirnya menyaksikan Will pulang jua menemui ayahnya semula yang sedang terlantar. Tetapi, itu bukan 'cerita' yang menjadi kekuatan filem ini. Apa yang menarik ialah 'imaginasi' Will itu sendiri terhadap antologi ayahnya yang selama ini dianggap terlalu 'mustahil' untuk dipercayai.
Kisah insan bernama Edward Bloom ini dipaparkan dengan penuh orna-orna fantasi. Kisah-kisah 'superhero' ini adakalanya mengingatkan saya pada filem Forrest Gump tetapi agak berbeza kerana penceritaannya lebih berbentuk khayalan.
Saya amat tertarik dengan kisah persahabatan Edward dengan 'Gergasi'. Begitu juga sewaktu bibit-bibit pertemuan beliau dengan Sandra yang begitu romantis sekali dibayangkan oleh Will. Maka, patutlah amat sukar bagi Will untuk sekurang-kurangnya berkata 'Ya' terhadap apa jua cerita-cerita 'waktu tidur' yang kononnya mitologi ayahnya. Di akhir babak, saya tersenyum sendirian kerana begitu jauh sekali imaginasi anaknya (Will) itu dalam membayangkan kisah ayahnya.
Skor musiknya (yang juga dinominasikan di Oscar 2003) saya kira begitu cocok sekali dengan tema filem ini ditambah dengan paparan visual yang membuatkan kita turut sama 'keriangan' di alam fantasi realiti ini. Tim Burton sekali lagi mempertontonkan kepakarannya dalam genre sebegini.
Saya tidak dapat untuk mengatakan 'tidak' untuk filem ini. Filem ini bagi saya begitu menyeronokkan, menghiburkan malah menyentuh perasaan (mungkin tidak bagi sesetengah penontonnya). Ia bertemakan 'hubungan'. Juga soal kasih sayang dan yang terpenting ialah sebuah kepercayaan. Sejauh mana kepercayaan seorang anak terhadap ibubapa serta ikatan kekeluargaan. Ia juga sebuah filem yang setidak-tidaknya dapat mewujudkan kembali 'jiwa' seorang kanak-kanak ke dalam setiap golongan dewasa yang menontonnya.
SKRIN Rating : B+ (3.5/5)
Ulasan rakan: Nizam Zakaria
12 April 2004
Ulasan Filem : Dawn of The Dead (2004)
Pertama sekali, (bagi yang belum pernah tonton versi klasik) harus saya jelaskan di sini ialah Dawn of The Dead sebenarnya ialah salah sebuah filem dari trilogi karya George A. Romero tahun 1978, filem kedua selepas hampir 10 tahun Night of the Living Dead dikeluarkan. Maka, idea untuk menerbitkan semula 'sebahagian' trilogi ini agak tidak 'kena' akibat ketiadaan Night kerana sudah tentunya trilogi ini akan jadi tidak lengkap. (Bayangkan memfilemkan semula The Two Towers tanpa Fellowship… bla bla)
Baiklah, mari kita imbas semula trilogi 'Dead' Romero ini serba sedikit…
Dalam filem Night of the Living Dead, Romero telahpun memperjelaskan segalanya tentang kewujudan fenomena mayat-mayat hidup ini (yang sebenarnya tidak perlu diperjelaskan lagi dalam Dawn) jadi Dawn cuma 'sambungan' kekecohan atau kemusnahan dunia (atau 'kiamat main-main' seperti kata Fadz). Lihat saja babak awal Dawn versi Romero iaitu sewaktu media-media sudahpun kecoh memperkatakan tentang kewujudan zombie-zombie tersebut.
Jadi apabila Zack Snyder cuba mencetuskan atau menghidupkan kembali zombie ini pada bahagian awal remake Dawn ini, apa yang saya lihat, ia seakan menjadi tak kena dengan versi Romero.
Secara tidak langsung, Snyder seolah-olah cuba 'menenggelamkan' versi Night malah menjadikan versinya kali ini satu gabungan untuk dua filem tersebut walaupun sememangnya banyak Night di’remake’kan namun saya kira tak salah jika Snyder sekurang-kurangnya buat satu imbasan (kalau tak banyakpun) walau 5 minit sekalipun tentang fenomena original yang dihasilkan oleh Romero. Itu sudah cukup untuk tidak memesongkan maksud 'Dawn' (fajar atau subuh – satu simbolik yang bermaksud 'kebangkitan' atau 'kelahiran semula' selepas 'Night' berlabuh… (atau ada maksud lain?)
Konsep dan Penceritaan
Snyder masih mengekalkan tagline "Apabila Neraka Sudah Tiada Ruang Lagi, Maka Si Mati Akan Merayau-rayau Di Bumi". Tagline ini sudah cukup memberi satu kutukan kepada 'dosa' dan 'kejahatan' manusia itu sendiri. Di awal babak yang memperlihatkan paparan 'riot' atau rusuhan ganas saya lihat lebih cantik dan kemas (tetapi bukan suatu yang baru dalam pembikinan filem yang berkait-rapat tentang satu kepercayaan terhadap 'kemusnahan akhir zaman' kerana jelas Snyder 'mencuri' paparan awal 28 Days Later!).
Sekali lagi filem berbajet-besar ini menjadikan 'Shopping Mall' sebagai latarbelakangnya. Mereka yang terselamat, menyembunyikan diri atau menjadikan shopping mall sebagai tempat berlindung (dari zombie 'karnivor' yang berkeliaran di luar). Kali ini, Snyder menggandakan bilangan zombie berbanding versi klasik – ini satu pembaharuan yang bolehlah dipuji. (Perhatikan lautan zombie sewaktu shot dari atas bumbung bangunan serta adegan cemas di dalam bas.
Versi remake ini banyak 'mengenepikan' karya Romero. Jika Romero ada menggarapkan ketakutan terhadap ancaman luar selain zombie (watak kejahatan serta ketamakan manusia seperti 'geng motor' yang rakus), Snyder pula agak tidak mempedulikan aspek tersebut. Beliau lebih memfokuskan 'perjuangan' atau 'peperangan' manusia menentang zombie. Watak-watak 'pengawal keselamatan' tidak dilihat sebagai ancaman mereka yang terselamat di bangunan tersebut. Tetapi, James Gunn menggantikan ancaman tersebut dengan hubungan emosi. Hubungan 'kejiranan' di antara dua tempat (dua 'survivor' di atas bangunan berhubungan melalui isyarat) dijadikan sebagai satu elemen jiwa yang saya kira baik dalam menonjolkan kesedihan untuk versi ini.
Idea menggunakan bas (berbanding helikopter dalam versi Romero) lebih berkesan dalam memberikan elemen cemas walaupun ianya akan berakhir jua di laut. Tidak salah rasanya jika saya katakan bahawa versi Snyder lebih logik dan realistik.
Humor 'Gelap'
Romero sememangnya ada menyelitkan elemen dark-comedy (dengan begitu hati-hati) tetapi ia tidak 'menenggelamkan' unsur seram dalam Dawn, tetapi versi Snyder sememangnya 'mengikis' terus keseraman yang sepatutnya menjadi tunjang Dawn (atau 'terpelanting' seperti kata Fadz). Bagaimanapun, saya tidak pula nafikan yang kita tidak akan tertawa langsung. Adegan zombie 'Burt Reynolds' merupakan satu adegan yang berjaya membuatkan saya ketawa terbahak-bahak!
Watak dan Senilakonan
Filem ini menampilkan hampir keseluruhan watak-watak baru. Malah watak hero (Steve) dalam versi klasik ditukar menjadi heroin (Ana lakonan baik Sarah Polley) pula. Mekhi Phifer juga paling ketara baik (mungkin inilah lakonan beliau paling baik selepas filem I Still Know What you Did Last Summer, filem 8 Mile bersama Eminem serta filem Honey menjadi kekasih gelap Jessica Alba.) Adegan paling 'bernyawa' serta penuh 'nilai-nilai kemanusiaan' ialah sewaktu isterinya ingin bersalin.
Penggunaan bahasa? Sememangnya lebih keras, lucah dan kasar berbanding versi klasik. (Sekali lagi) dialog-dialog komedi yang membuatkan filem ini ada potensi bertukar ke genre komedi/seram! Saya tidak faham kenapa terlalu banyak ia dikomedikan (atau adakah ini merujuk kepada suatu 'ketakutan' yang amat sangat dalam watak-wataknya sehingga segala dialog akan kedengaran lucu?). Terlalu komedikah versi klasik?
Kesan Khas dan 'Gore'
Versi Dawn Snyder lebih mengapresiasikan efek CGI (sememangnya itu merupakan trend mana-mana remake sekalipun) namun 'jiwa' Romero seakan tidak kelihatan dalam filem ini (walaupun konsep asal masih lagi dikekalkan). Bagaimanapun, saya boleh memuji Snyder kerana beliau banyak memperbaiki beberapa kelemahan Romero dari pelbagai sudut. Paling ketara saya lihat ialah 'chaos' di Wisconsin yang boleh dianggap lebih hebat. Penggunaan wide angle shot sememangnya cantik. Perhatikan sewaktu pertembungan dua buah kereta di satu simpang (walaupun CGI) tampak berkesan dalam menghidupkan kehuru-haraan pekan tersebut.
Jika diteliti, zombie versi Snyder agak tidak konsisten. Kadang-kadang tampak bijak (dimodenisasikan) seperti tangkas (speed-zombie ala 28 Days Later atau Resident Evil), tetapi kadang-kadang kelihatan bodoh, lembab dan sesekali boleh 'tewas' akibat ditembak walau bukan di kepala (otak). Maka, sekali lagi falsafah Romero masih lagi boleh dianggap 'relevan' (pergerakan klasik zombie ala-perlahan). Jangan bandingkan dengan Danny Boyle (28 Days Later) kerana beliau ada falsafah atau teori virus aslinya sendiri!
Apa yang pasti, elemen 'gore' yang memang sudah sinonim dengan trilogi Dead, diberi suntikan baru oleh Snyder. Walaubagaimana ganas sekalipun, jika dinilai, elemen gore versi baru tidaklah ganas sangatpun. Mungkin Romero hanya sekadar menggelengkan kepala dalam ketertawaan. Kemana pergi adegan-adegan seperti menetak kepala, menikam, isi perut terburai, adegan zombie memenggal anggota badan dan lain-lain (yang meloyakan tekak) itu semua pergi?? Haha! Romero tetap mengungguli genre gore untuk dekad 60an dan 70an… gore ala Snyder? Maaf. Saya belum jumpa lagi filem dekad 90an dan alaf baru yang betul-betul 'gore' selain Cannibal Holocaust (walaupun sebuah doku-realiti - itupun sudah masuk dekad 80an).
Apapun, versi Dawn of The Dead baru ini walaupun boleh saja dianggap 'berjaya' (maksudnya 'tidak gagal') dari sudut cemas, seram, shock, saspen, ‘gore ala baru’, interpretasi serta semangat ‘Living Dead’ yang pada hemat saya agak kurang digemari oleh rata-rata penonton Malaysia, ternyata tidak dapat menandingi impak seperti mana impak yang telah Romero berikan pada audiennya sehingga tercetus pula Day of The Dead (1985) yang lebih berkisarkan teori serta falsafah kewujudan makhluk zombie ini. Maka, persoalannya adakah Zack Snyder berani me'remake'kan Day of The Dead pula selepas ini?
Rating : B-
Ulasan DAWN OF THE DEAD oleh rakan blog yang lain :
Fadz - tontonfilem.blog-city.com
Taufiq - fiqarash.blogspot.com
08 April 2004
TOP 10 Filem Pilihan SKRIN tahun 2003
Paksu Top 10 Filem 2003 1. The Lord of The Rings:The Return of the King 2. X2: X-Men United 3. Kill Bill Vol 1 4. Finding Nemo 5. The Italian Job 6. Identity 7. Ong Bak: Muay-Thai Warrior 8. The Matrix: Reloaded 9. S.W.A.T. 10. Catch Me If You Can |
Fadz 10 Filem 'Cult' 2003 1. Bukak Api 2. Mona 3. Rabun 4. Frailty 5. Secretary 6. May 7. The Big Durian 8. Malaikat Di Jendela 9. Laila Isabella 10. Gedebe |
Oca Top 10 Filem 2003 1. Master & Commander:The Farside of The World 2. Marooned In Iraq 3. Hero 4. The Whale Rider 5. Mystic River 6. Finding Nemo 7. LOTR 3 : Return of The King 8. X-Men II 9. Identity 10. Bend It Like Beckham |
1. 28 DAYS LATER
Sutradara : Danny Boyle
Lakonlayar : Alex Garland
Barisan pelakon: Cillian Murphy, Naomie Harris, Megan Burns, Christopher Eccleston, Brendan Gleeson
Genre : Seram/Cemas/Zombie
Bahasa pertuturan : Inggeris (British)
Tarikh keluaran : 27hb Jun 2003
________________________________
Nota: Saya letakkan filem ini pilihan pertama kerana ada dua sebab sebenarnya. Pertama kerana filem ini bagi saya merupakan filem seram yang berjaya mencapai status 'paling seram' untuk alaf baru ini. Dan keduanya, filem ini seolah telah menyemarak serta mencetuskan kembali ‘semangat’ trilogi George A. Romero (Night of the Living Dead, Dawn of The Dead dan Day of The Dead) dan saya kira Danny Boyle berjaya memberikan satu pengalaman cemas 'baru' ketika menontonnya (walaupun sebelum ini bermacam-macam 'remake' untuk trilogi tersebut difilemkan namun ternyata kurang dari berbagai aspek).
2. HOUSE OF SAND AND FOG
Sutradara & Lakonlayar : Vadim Perelman
Barisan pelakon: Ben Kingsley, Jeniffer Conelly, Ron Eldard, Shohreh Aghdashloo, Kim Dickens
Genre : Drama/Cemas
Tarikh keluaran : 19hb Disember 2003
Bahasa pertuturan : Inggeris
Ulasan : klik sini
________________________________
3. IRREVERSIBLE
Sutradara & Lakonlayar : Gaspar Noe (Perancis)
Barisan pelakon: Monica Bellucci, Albert Dupontel, Vincent Cassel, Philippe Nahon, Jo Prestia
Genre : Drama/Jenayah/Psiko
Tarikh keluaran : 7hb Mac 2003
Bahasa pertuturan : Perancis
Ulasan : klik sini
________________________________
Nota : Walaupun filem ini mendapat kecaman yang hebat oleh sebahagian besar pengkritik filem, namun saya tidak boleh ‘menipu’ untuk mengatakan bahawa filem ini tidak mendapat tempat di hati saya. Bukan kerana keganasan melampau yang ditonjolkan tetapi kerana keunikan, kejujuran visualnya serta realiti sebuah 'kekotoran'.
4. THE LORD OF THE RINGS – THE RETURN OF THE KING
Sutradara : Peter Jackson
Lakonlayar (adaptasi) : Peter Jackson, Philippa Boyens, Barrie M. Osborne, Fran Walsh, Stephen Sinclair
Barisan pelakon: Elijah Wood, Sean Astin, Ian McKellen, Viggo Mortensen, John Rhys-Davies
Genre : Fiksyen/Fantasi/Pengembaraan/Drama
Tarikh keluaran : 17hb Disember 2003
Bahasa pertuturan : Inggeris
Ulasan : klik sini
________________________________
5. SWIMMING POOL
Sutradara : Francois Ozon (Perancis)
Lakonlayar : Francois Ozon & Emmanuelle Bernheim
Barisan pelakon: Charlotte Rampling, Ludivine Sagnier, Charles Dance
Genre : Drama/Cemas
Tarikh keluaran : 2hb Julai 2003
Bahasa pertuturan : Perancis/Inggeris
Ulasan : klik sini
________________________________
6. IDENTITY
Sutradara : James Mangold
Lakonlayar : Michael Cooney & James Mangold
Barisan pelakon: John Cusack, Rebecca DeMornay, Ray Liotta
Genre : Psiko/Cemas
Tarikh keluaran : 25hb April 2003
Bahasa pertuturan : Inggeris
________________________________
Nota : Filem ini merupakan filem pertama yang mendorong saya untuk menulis di blog ini walaupun penulisan saya pada waktu itu bukan dalam bentuk ulasan tetapi lebih bersifat informasi kepada pembaca blog mahhass. Saya memilih Identity kerana bagi saya, 'twist' yang ditonjolkan dalam babak akhir filem ini telah cukup membuatkan saya berfikir berjam-jam selepas menontonnya.
7. KILL BILL (Vol. 1)
Sutradara & Lakonlayar : Quentin Tarantino
Barisan pelakon: Uma Thurman, Daryl Hannah, Lucy Liu, Vivica A. Fox
Genre : Aksi/Cemas/Jenayah
Tarikh keluaran : 10hb Oktober 2003
Bahasa pertuturan : Inggeris/Jepun
Ulasan : klik sini
________________________________
8. GERRY
Sutradara : Gus Van Sant
Lakonlayar : Matt Damon, Casey Affleck, Gus Van Sant
Barisan pelakon: Matt Damon, Casey Affleck
Genre : Drama
Tarikh keluaran : 14hb Februari 2003
Bahasa pertuturan : Inggeris
Ulasan : klik sini
________________________________
Nota : Walaupun filem ini bukanlah sebenarnya dalam kelompok 'filem terbaik' tetapi ia tetap menjadi pilihan saya kerana tahap kesabaran saya benar-benar teruji dalam filem ini. Gerry adalah sebuah filem yang wajib ditonton oleh kedua-duanya, iaitu golongan filem fanatik dan pengkritik.
9. MONSTER
Sutradara & Lakonlayar : Patty Jenkins
Barisan pelakon: Charlize Theron, Christina Ricci
Genre : Drama/Jenayah/Cemas
Tarikh keluaran : 24hb Disember 2003
Bahasa pertuturan : Inggeris
Ulasan : klik sini
________________________________
10. SCHOOL OF ROCK
Sutradara : Richard Linklater
Lakonlayar : Mike White
Barisan pelakon: Jack Black, Mike White, Joan Cusack
Genre : Komedi/Muzikal
Tarikh keluaran : 3hb Oktober 2003
Bahasa pertuturan : Inggeris
Ulasan : klik sini
________________________________
Kesemua sepuluh filem di atas menjadi pilihan saya kerana setiap satunya ada keistimewaan sendiri dari segenap sudut. Pilhan ini juga bersifat peribadi dan anda berhak untuk memberikan sebarang komen jika mahu. Bagaimanapun, sebaiknya anda tunggu carta 10 Filem 'Bukan Pilihan' untuk sepanjang tahun 2003 yang akan saya terbitkan tak lama lagi!
07 April 2004
Ulasan Filem : The Human Stain (2003)
The Human Stain merupakan filem arahan Robert Benton yang diadaptasi oleh Nicholas Meyer dari novel seorang penulis terkenal berketurunan Amerika-yahudi, Philip Roth.
Walaupun saya belum pernah lagi menelaah sebarang novel-novelnya, namun melalui autobiografi jelas menunjukkan bahawa beliau gemar menulis tentang tentang kehidupan dari sudut sosial, politikal termasuk segala macam konflik psikologi khususnya sewaktu sebelum perang dunia kedua. The Human Stain merupakan novel keempatnya selepas hampir 20 tahun 'The Ghost Writer' (1984) dibawa ke layar.
Filem ini membariskan pelakon-pelakon terkenal seperti Nicole Kidman (sebagai Faunia Farley), Anthony Hopkins (sebagai Coleman Silk), Ed Harris (Lester Farley) serta Gary Sinise (Nathan Zuckerman).
Ia menampilkan sebuah drama 'gelap' yang agak berat untuk ditonton. Ia agak kontroversi berikutan unsur perkauman dan seks yang menjadi latarbelakang filem ini.
Filem ini menampilkan sebaris tema atau 'tagline' berbunyi How far would you go to escape the past?. Jadi dengan melihat tagline tersebut, saya sudah menjangkakan filem ini pasti digarap dengan imbasan. Maka sekali lagi untuk pembukaan filem ini, adegan dramatik sebuah jip terbabas dan terbalik meninggalkan seribu persoalan (walaupun saya sudah bosan dengan cara 'penipuan' seumpama ini).
Seterusnya kita dibawa mengenali protagonisnya iaitu Coleman, seorang guru sastera dan falsafah di sebuah universiti, dikecam akibat terlalu memperjuangkan falsafahnya yang berbaur perkauman. Berikutan itu, beliau meninggalkan kerjayanya (juga setelah kematian isterinya) dan berkawan baik dengan seorang penulis iaitu Nathan Zuckerman. Namun, sebelum itu, Coleman telahpun menjalinkan hubungan dengan Faunia Farley dan kisah hubungan ini dikongsi bersama dengan Nathan. Hubungan baik mereka ditonjolkan melalui melodrama yang agak menarik walaupun watak Zuckerman tidak dikembangkan sebaiknya.
Sebenarnya, tema filem ini agak kabur. Adakah ia soal perjuangan seorang warga kulit putih yang beribu-bapakan kulit hitam (African-American)? Atau kisah percintaan seorang warga tua dengan orang seorang janda yang takutkan bekas suaminya? Beberapa kali kita diimbas kisah sejarah tragis percintaan Coleman yang lampau (sewaktu beliau muda remaja). Oleh kerana filem ini terlalu banyak menampilkan subplot lembab yang bercabangan, jadi agak sukar untuk saya memberi fokus tentang apa sebenarnya yang cuba disampaikan dalam filem ini (walaupun saya faham keseluruhan ceritanya).
Dari sudut lakonan, Hopkins agak baik. Konflik dalaman yang tersarang dibenaknya seolah boleh kita 'nampak'. Namun ini sebenarnya banyak dibantu oleh 'watak muda'nya lakonan Wenworth Miller. Ada satu babak akhir sewaktu Faunia berinteraksi dengan seekor gagak (dalam sangkar) saya kira gagal mewujudkan interpretasi yang jelas malah cara ini dilihat terlalu lapuk dan konservatif.
Apa sekalipun, jika bercakap pasal filem 'gelap' yang begitu sarat dengan falsafah dan tema konflik psikologi, politikal, moraliti dan seksual, saya boleh katakan filem Peranchis I Stand Alone (arahan Gaspar Noe) masih jauh lebih baik.
Rating : C+
06 April 2004
Ulasan Filem : House Of Sand and Fog (2003)
"Is this your house?"... satu pertanyaan yang hanya terjawab oleh Kathy Nicolo (lakonan menyentuh Jeniffer Connelly) di akhir babak filem ini. Tampak 'gelap' pada mulanya tetapi satu persatu kita akan memahaminya. Itulah istimewanya genre drama House of Sand and Fog yang diadaptasikan dari novel Andre Dubus III oleh Vadim Perelman. Beliau juga bertindak selaku pengarah filem HOSAF ini yang boleh saja saya kategorikan 'underrated' (meminjam kata Nizam Zakaria).
Filem ini bermula tenang. Divisualkan di bahagian awalnya deruan ombak di pantai serta awan yang bergerak perlahan-lahan. Sinematografer Roger Deakins (A Beautiful Mind) sekali lagi memperlihatkan kehebatannya bermain dengan simbolisme serta metaforis yang mengundang kepelbagaian makna.
Sehinggalah Kathy Nicolo dikejutkan dengan satu panggilan telefon pada suatu pagi, seterusnya beliau didatangi pihak berkuasa daerah meminta beliau mengosongkan rumahnya untuk tujuan lelong atas alasan cukai lama yang tertunggak. Walaupun Kathy menafikan, namun beliau tiada pilihan selain terpaksa mengosongkan rumah tersebut. Beliau cuba mendapatkan kembali rumah tersebut melalui peguam. Namun, usahanya sia-sia kerana jual-beli telahpun dibuat oleh pembeli baru walaupun akhirnya pihak berkuasa mengakui kesilapan mereka untuk lelongan tersebut. Kini, ia bergantung sepenuhnya kepada 'tuan baru' itu samada sanggup 'memulangkan' kembali rumah tersebut atau tidak.
Hakikatnya, rumah itu hanya rumah biasa. Ia menjadi amat luarbiasa dalam filem ini. Bukan soal kabus yang datang menjengah dan menghilang atau panorama pantai yang mempesonakan, tapi ia soal hidup atau mati (mungkin kabus itu satu simbolisme mengatakan bahawa nasib manusia sentiasa berubah-ubah). Ia adalah perjuangan Behrani (lakonan amat cemerlang Ben Kingsley) untuk menyara keluarganya, khususnya dalam pendidikan anaknya, Esmail. Atau lebih tepat lagi, rumah itu dijadikan sebagai pelaburannya bagi mengubah taraf hidup mereka sekeluarga. Behrani selaku tuan baru rumah tersebut kini meletakkan tiga kali ganda dari nilai harga asalnya. Maka, episod drama tragis ini menyaksikan 'pertarungan' dari sudut emosi di antara kedua-dua pemiliknya dalam perjuangan hak ke atas rumah itu.
Rumah yang dipertarungkan ini seolah-olah menjadi satu 'karaktur' besar dalam HOSAF. Saya katakan demikian kerana ia seolah-olah 'perebutan untuk menjaga seorang anak bagi pasangan yang sudah bercerai' (walaupun masih tercetus sifat kasih sayang atau perikemanusiaan antara kedua-duanya). Tetapi sifat itu ada digambarkan juga melalui kasih sayang Behrani terhadap anaknya, Esmail. Rumah tersebut dengan Esmail dilihat seperti satu 'imej pembalikkan', kedua-duanya merupakan 'harta' yang bernilai untuk Behrani.
HOSAF bersandarkan kepada kekuatan lakonan Jeniffer Conelly dan Ben Kingsley yang begitu berusaha. Kedua-dua protagonis dalam filem ini berjaya menimbulkan 'keluhan' kita. Watak yang dibawakan begitu seimbang. Memang agak sukar bagi kita memberi tanggapan yang mana satu harus disebelahi kerana masing-masing menghidupkan karaktur tersendiri. Ben Kingsley, yang pernah menerima gelaran Pelakon Terbaik Oscar untuk filem Gandhi begitu karismatik. Saya cukup terpegun dengan lakonannya.
Agak mengecewakan juga kerana saya terlewat menonton filem ini. Beliau hanya dinominasikan dalam Oscar 2003 namun secara peribadinya, beliaulah wajar sekali lagi dinobatkan Pelakon Terbaik Oscar 2003 (anda boleh tonton dan nilaikannya sendiri).
Filem yang saya boleh letakkan antara 10 terbaik bagi tahun 2003 ini ada penamatnya. Tetapi, ia bukan semudah itu untuk ditamatkan kerana jika tanpa sentuhan emosi dan minda, filem ini pasti lesu. Dan kini, seakan menjadi satu 'trend', penonton diajak untuk menilai atau menjadi 'hakim'. Untuk itu, sekali lagi anda perlu bersedia.
Rating : A- (4/5)
Ulasan Filem : Zatoichi (2004)
Definisi Baru Untuk 'COOL'
Oleh Fadz
Pada akhir filem ini, Zatoichi (lakonan Beat Takeshi, juga pengarah, penulis skrip, produser filem ini) dengan matanya yang terbuka, tertendang batu, terjelupur, freeze frame- memandang penonton, lalu berkata pada mereka dalam teknik 'voice over': Dengan mataku yang terbuka pun, aku boleh tak nampak apa-apa pun.
Falsafah Zen? Kau orang fikirlah sendiri. Aku tidak mahu, kerana, seperti yang Takeshi sudah terangkan, dari awal hingga ke akhir filem ini, jangan ambil hidup ini terlalu serius (atau jangan terlalu banyak berfikir), maka aku tak akan ambil filem ini terlalu serius (peliknya, ini ada kaitan dengan perjalanan watak Bill Murray dalam Lost In Translation).
Zatoichi adalah filem 'genre samurai' Jepun yang dipopularkan oleh mendiang Shintaro Kastsu (beliau mempunyai tahap status lagenda yang sama seperti 'The Man With No Name' lakonan Clint Eastwood arahan Sergei Leone), seorang pendekar buta yang menyimpan identitinya dengan berlakon sebagai seorang tukang urut, juga seorang romantis, 'brutal' dan boleh mengamuk gaya Hang Jebat. Kalau filem-filem tahun 1960-70 ini penuh aksi, drama dan seni pertarungan, Beat Takeshi yang telah menghidupkan kembali lagenda 'Zatoichi' telah memberinya nafas komedi, mengurangkan elemen 'Zatoichi mengamuk', sentimental, falsafah zen (tetapi aku takkan cuba mengungkapnya kerana, seperti Takeshi sudah katakan pada aku, ambil filem ini dan berhibur dengannya, bukan pecah kepala untuk memikirkan mesej-mesejnya) dan paling mengejutkan- muzikal ala Riverdance!... (...baca seterusnya)
02 April 2004
Ulasan Filem : In America (2003)
Sebuah kereta wagon baru saja menyusuri laluan pemeriksaan kastam di sempadan Kanada-Amerika. Di dalamnya, satu keluarga berbangsa Irish yang dilihat begitu riang dan teruja setelah diucapkan dengan kata-kata "Welcome to America..!" oleh pegawai yang bertugas di pos sempadan tersebut.
Perjalanan mereka dari Ireland melalui Kanada berbekalkan seribu harapan agar sebuah kehidupan baru yang lebih ceria dapat dimulakan di kota Manhattan, New York. Juga harapan mereka agar peristiwa tragis kehilangan Frankie iaitu anak lelaki sulung dapat diluputkan dari minda untuk selama-lamanya. Akhirnya, sebuah apartment yang buruk di tengah-tengah kota menjadi tempat kediaman keluarga bahagia tersebut. Seterusnya, mereka memulakan sebuah kehidupan, sama seperti jutaan keluarga di amerika.
Si Ayah (lakonan Paddy Considine sebagai Johnny) yang berkeinginan untuk menjadi seorang aktor mencuba nasibnya di beberapa audisi namun menemui kegagalan. Mereka sekeluarga tidak punyai banyak wang. Jadi, si ibu (lakonan cemerlang Samantha Morton sebagai Sarah) pula terpaksa bekerja di kedai ais krim untuk sementara waktu bagi menyara kedua-dua anaknya iaitu Christy (lakonan Sarah Bolger) dan Ariel (Emma Bolger).
Ini adalah sebahagian dari paparan filem In America. Diinspirasikan dari separa-autobiografi pengarahnya, Jim Sheridan. Ia ditulis sendiri oleh beliau bersama dua anaknya (yang kini sudahpun dewasa iaitu Naomi Sheridan dan Kirsten Sheridan).
Filem ini begitu menyentuh perasaan. Naratifnya dalam bentuk penceritaan oleh Christy yang hampir setiap masa merakamkan perjalanan hidup keluarga dinamik ini melalui video kamera kesayangannya. Skor musik oleh Gavin Friday begitu 'kena' bagi menghasilkan sensibiliti filem ini. Emosi kedua-dua beradik ini begitu cemerlang ditonjolkan dan ada beberapa adegan cantik, cukup memberikan sentuhan yang begitu mendalam.
Saya begitu tertarik dengan satu babak ketika si ayah cuba mendapatkan patung E.T di sebuah pesta karnival. Begitu depresi sekali ketika ini, apatah lagi hanya kerana sebuah patung E.T yang hanya bernilai 30 dollar, si ayah berusaha mendapatkannya walaupun sanggup mempertaruhkan kesemua wang yang mereka ada ketika itu.
Bukan itu sahaja, si ayah yang dilihat begitu 'berusaha' cukup memberikan satu garapan emosi. Lihat saja kesanggupannya memanjat beratus anak tangga memikul alat penghawa dingin 'usang' bagi mewujudkan keselesaan di dalam rumahnya. Saya percaya 'Imej keBAPAan' ini pasti dirasai oleh mana-mana individu yang bernama lelaki.
Dari sebuah apartment yang tidak seperti 'sebuah rumah', mereka berjaya menukarkan ia menjadi sebuah 'syurga' walau bukan dalam bentuk 'kemewahan'. Namun, perasaan sedih kehilangan Frankie masih membelenggui kedua-dua pasangan ini tambahan pula si ibu kini sedang mengandung.
Kisah suka-duka keluarga ini sebenarnya diperhatikan jirannya Mateo, seorang lelaki kulit hitam yang misteri (menyepikan diri dalam rumahnya, kadang-kadang hanya kedengaran 'jeritan'nya sahaja). Watak Mateo (lakonan penuh karisma Djimon Hounsou) ini juga merupakan kekuatan filem ini. Mateo walaupun nampak ‘bahaya’ pada mulanya, namun dialah 'pencetus semangat' untuk keluarga Irish ini.
Walaupun terdapat sedikit kekurangan dari segi perkembangan watak (yang minimalis), namun ia masih menghidangkan kita sebuah 'cerita' yang menarik dan saya amat menyukainya. Filem ini harus ditonton dan bagi mereka yang berjiwa sensitif terhadap drama bercorak kehidupan sebegini, saya percaya In America pastinya mampu mengundang airmata.
Klik untuk lihat senarai anugerah filem In America
Rating : B+ (3.5/5)