Oleh Mahhass
Swimming Pool ditulis serta diarahkan oleh pengarah Perancis, Francois Ozon dalam usahasama syarikat perfileman British. Ia menampilkan sebuah melodrama yang cantik, digarapkan dengan elemen misteri, cemas serta erotika.
Mengisahkan seorang penulis novel bercorak jenayah, Sarah Morton (lakonan cemerlang Charlotte Rampling) yang ditawarkan majikannya, John Bosload untuk bercuti ke rumahnya di Luberon, Perancis sambil mencari inspirasi untuk novel terbarunya.
Di sana, beliau memperolehi ketenangan malah ilham yang ingin dicarinya datang mencurah-curah ditambah lagi dengan suasana kedamaian berlandaskan pemandangan serta udara yang segar melengkapkan lagi keasyikan beliau dalam menghabiskan penulisannya.
Sehinggalah pada satu lewat malam, tanpa diduga, anak majikannya, Julie (lakonan Ludivine Sagnier) yang membawa watak seorang remaja liar pulang ke rumah tersebut.
Kedatangan Julie agak tidak disenangi Sarah kerana beliau amat berharap untuk dapat menyiapkan tulisan beliau sendirian tanpa ada sebarang gangguan. Apatah lagi tingkahlaku Julie yang suka berfoya-foya dengan membawa pulang lelaki yang berlainan setiap malam menambahkan lagi ketidaksenangan Sarah terhadap Julie sehingga kadang-kadang mencetuskan rasa benci yang membuak-buak.
Namun, akhirnya Sarah seperti dicetuskan satu ilham yang berbeza. Beliau seakan lebih tertarik untuk menulis kisah anak perempuan majikannya yang penuh seribu misteri itu. Lantas, beliau cuba untuk mengungkai satu demi satu kisah hidup Julie tersebut.
Dalam filem ini, kita dapat lihat watak Sarah Morton, iaitu seorang wanita Inggeris yang tipikal sifatnya bergandingan dengan watak Julie yang liar, dikontrakan dengan begitu baik oleh pengarahnya. Perbezaan atau pertentangan sifat serta emosi kedua-duanya digarap dengan cukup berkesan.
Saya agak tertarik dengan tajuk filem ini. Swimming Pool sebagai metafora yang seakan-akan menggambarkan permasalahan sifat kompleks kedua-dua watak wanita tersebut. Ia seolah-olah satu tempat untuk kedua-dua watak (yang bermasalah) ini mempertontonkan keegoan masing-masing. Namun, kadang-kadang ianya memberi satu pengertian yang agak berbeza. Itulah yang menariknya.
Saya harus akui bahawa elemen erotika yang mempamerkan beberapa adegan ranjang serta lucah, sebenarnya merupakan kekuatan filem ini. Gambaran sifat seorang remaja yang kekurangan kasih sayang serta ketidakpedulian seorang ayah terhadap anaknya mengakibatkan kerosakan moral yang tidak dapat dibendung lagi.
Filem ini seolah-olah cuba memberi kita satu kesedaran tentang pentingnya nilai kasih sayang di antara keluarga.
Di bahagian akhir filem ini disudahkan dengan satu twist yang cukup menarik tetapi agak memeningkan kepala. Terus terang saya katakan bahawa saya dan isteri terpaksa mengulangkan semula (beberapa babak dalam filem ini) untuk lebih memahaminya.
Terlalu banyak persoalan yang bermain di fikiran tetapi cuma ada satu penyelesaian atau penjelasan tentang apa sebenar-benarnya yang berlaku dalam filem provokatif ini yang saya boleh katakan antara yang terbaik pernah saya tonton.
SKRIN Rating : A- (4/5)