Oleh Mahhass
Pepatah Melayu ada menyebut bahawa "Menjaga sekandang lembu lebih mudah daripada menjaga seorang anak gadis". Filem Thirteen membuktikan kebenaran pepatah turun-temurun nenek moyang kita itu. Sesungguhnya, kerisauan jelas menghantui saya tatkala mengenangkan si kecil kami yang satu hari nanti pasti akan mencapai usia remaja (jika diizinkan Tuhan)... Namun, belum masanya untuk kami membayangkan saat itu.
Thirteen menceritakan kisah seorang remaja bernama Tracy (lakonan mantap Evan Rachel Wood) yang dalam proses meningkat ke alam remaja (sesuai dengan tajuknya, saya kira umurnya baru menjangkau 13 tahun). Beliau merupakan seorang gadis yang digambarkan baik sifat serta tingkahlakunya apatah lagi merupakan salah seorang pelajar cemerlang di sekolahnya. Hubungan akrab beliau dengan ibunya, Melanie (lakonan cemerlang Holly Hunter yang dicalonkan dalam kategori Pembantu Aktres Terbaik untuk Anugerah Academy 2003 nanti) menguatkan lagi tanggapan bahawa beliau merupakan anak emas ibunya.
Namun, segalanya berubah dalam sekelip mata. Kononnya tertekan atau malu akibat diejek sebagai kolot, ketinggalan zaman dan sebagainya, Tracy cuba mendekati seorang remaja liar di sekolahnya, Evie Zamora, malah cuba berjinak-jinak dalam kegiatan mencuri (sebagai membuktikan bahawa beliau boleh turut serta atau bukan lagi menjadi 'anak mak'). Seterusnya terlibat dalam penyalahgunaan dadah, pulang lewat malam, mula belajar ‘body-piercing’, berfoya-foya serta terlibat dalam kegiatan yang tidak bermoral yang lain.
Gambaran kesedihan serta perjuangan ibunya dalam mengembalikan anaknya yang telah 'hilang' itu adalah merupakan kekuatan dalam filem ini. Lakonan cantik Holly Hunter sememangnya memberi kesan mendalam terhadap saya. Saya dan isteri cukup tersentuh tatkala dialog : "This is not how I raised you, baby" diucapkan beliau dengan penuh kelembutan serta hati-hati sewaktu Tracy bersikap terlalu kurang ajar. (Tatkala ini tergambar wajah keresahan isteri saya sewaktu beliau merenung ke arah si kecil kami yang masih belum mengenal pahit-maung kehidupan, sedang lena dibuai mimpi....)
Filem ini diarahkan oleh Catherine Hardwicke, menggunakan banyak teknik penggambaran ala 'handy-cam' untuk cuba menampakkan kelincahan serta keterujaan yang sedang dialami oleh Tracy. Begitu juga dalam membangkitkan keresahan penonton apatah lagi jiwa ibunya yang bergolak dalam menangani masalah keluarganya satu persatu setelah bergelar ibu tunggal. Walaupun teknik visual ini agak sedikit lapuk, namun saya kira agak bersesuaian untuk filem ini tambahan lagi ianya berlatarbelakangkan muzik heavy metal dan kadangkala hip hop yang mencerminkan realiti kehidupan remaja masakini.
Thirteen seperti memberi satu gambaran serta kesedaran pada kami dalam meneruskan perjuangan serta cabaran dalam membesarkan si kecil yang mana ianya bukan sesuatu yang boleh diambil mudah. Apatah lagi budaya Melayu masakini kelihatan semakin lama semakin pudar keMelayuannya, sedang budaya penjajah semakin merebak, maka kita patut membayangkan dua puluh tahun akan datang… Apa akan jadi pada bangsa kita agaknya?
Wan Kamaruddin serta krew Edisi Siasat NTV7 seharusnya menonton filem ini kerana ungkapan : 'Mak bapak tau beranak saja kah?' sesungguhnya merupakan satu ungkapan yang tidak patut diulang-sebut lagi.
SKRIN Rating : A- 4/5