Oleh Mahhass
I Stand Alone merupakan filem arahan pertama Gaspar Noe. Bagi sesiapa yang kenal akan pengarah ini, pastinya tahu bahawa filem arahan/tulisan beliau sememangnya bukan sesuai untuk tontonan semua orang (walaupun anda sudah bergelar seorang dewasa!).
Filem keluaran Perancis bertajuk Seul Contre Tous ini merupakan sebuah filem 'gelap', Anti-Hero, ganas, lucah, berbaur perkauman, penuh kontroversi malah menyakitkan jiwa!
Sebelum menonton filem ini, saya bagaimanapun telah menonton filem Irreversible (filem kedua arahannya), jadi saya sudah bersedia (walaupun terdetik rasa cemas di hati) dengan paparan keganasan, keunikan malah kepelikan pengarah kelahiran Argentina yang kini berusia 40 tahun ini.
Gaspar Noe sememangnya pelik. Kedua-dua filem yang dihasilkan sememangnya suatu seni, lain dari yang lain. Namun, tidak seperti Irreversible, struktur naratif ISA tidak terbalik atau songsang. Menariknya, di awal bahagian kita dipertontonkan imbasan kisah hidup seorang penjual/pemotong daging dari saat beliau kecil hinggalah ke situasi sebenar atau lebih tepat lagi Gaspar Noe cuba memfokuskan sejarah hidup lelaki tersebut (watak hanya dikenali dengan gelaran "The Butcher" lakonan dinamik Phillipe Nahon).
Melalui imbasan tersebut (yang diceritakan sendiri oleh "The Butcher" melalui 'kata hati') kita faham bahawa beliau seorang lelaki malang. Tidak pernah mengenali bapanya, namun sewaktu berumur 6 tahun, mendapat tahu bahawa ayahnya merupakan seorang komunis (dibunuh tentera Nazi di kem tahanan).
Ibunya pula lari meninggalkannya sewaktu berumur 2 tahun. Pada usia 14 tahun, beliau mula bekerja sebagai penjual daging malah berkerja keras sehinggalah beliau berjaya mengusahakan perniagaan sendiri semasa berumur 30 tahun.
Beliau mempunyai seorang anak, iaitu Cynthia hasil dari hubungan 'tidak sengaja' beliau dengan seorang perempuan yang baru dikenalinya. (Sewaktu menceritakan kisah ini, beliau tidak habis-habis menyumpah seranah ibu Cynthia dengan mengatakan bahawa hubungan seks kali pertama dengan perempuan tersebut tidak sepatutnya menghasilkan seorang anak!) Seterusnya, beliau terpaksa menjaga Cynthia berseorangan akibat ditinggalkan ibunya.
Semasa Cynthia (digambarkan dalam filem ini sebagai gadis bisu atau terencat) berusia 9 tahun setelah kali pertama didatangi haid, Cynthia berlari mendapatkan ayahnya lantas menunjukkan seluar dalam yang dipenuhi darah (haid).
Dengan menganggap anaknya telah dirogol, beliau membunuh jirannya (katanya dengan cara menikam di muka) sehinggalah beliau dipenjarakan. Sebenarnya jirannya hanya cuba menenangkan Cynthia yang agak panik ketika itu apatah lagi pengalaman pertama didatangi haid.
Setelah tamat tempoh di penjara, beliau memulakan hidup baru maka di sinilah kisah sebenar baru bermula dalam filem ini. Namun, hidupnya penuh kekalutan serta konflik malah seringkali memikirkan untuk bertindak sesuatu yang tidak masuk akal.
Beliau tidak faham bagaimana seseorang manusia itu boleh hidup bahagia dengan mengatakan :"Living is a selfish act... Surviving is a genetic law"...
Filem ini tidak banyak dialog, cuma lebih banyak menceritakan 'kata hati' beliau. Noe ternyata amat bijak dalam memberi penghayatan emosi atau pemberontakan jiwa karaktur unik ("The Butcher") ini.
Namun, unsur keganasan pastinya sudah sinonim dengan pengarah ini, lihatlah sahaja sewaktu adegan "The Butcher" membelasah teman wanitanya (yang sedang sarat mengandung dengan cara menumbuk ke arah perut bertalu-talu). Perasaan ngeri pastinya dirasai. (Saya menyarankan agar wanita yang sedang mengandung tidak menonton filem ini).
Banyak lagi adegan yang memeranjatkan dipaparkan dalam filem ini yang pastinya akan membuatkan penontonnya rasa kurang selesa. Namun, inilah kekuatan atau keunikan Noe. Secara jujurnya, saya amat merasa cemas sewaktu menontonnya.
Dari satu segmen ke segmen yang lain, saya disertakan rasa takut jika paparan keganasan terlalu ekstrem untuk ditonton. Perhatikan sahaja babak sewaktu beliau dalam kekalutan samada ingin meneruskan niat untuk menembak anaknya atau tidak (pistol sudahpun di dalam genggamannya seraya hatinya berbisik (maksudnya lebih kurang begini: "Anakku.. kau akan merasai kesakitan itu hanya selama beberapa saat sahaja").. sudah cukup mencemaskan saya.
I Stand Alone merupakan filem yang jujur, penuh tenaga tidak kurang juga berupaya memberi kesan samada positif atau negatif terhadap sesetengah individu yang menontonnya. Ini terpulang pada masing-masing kerana apa yang pasti, saya sememangnya tidak sabar menunggu untuk melihat bagaimanakah pula bentuk kenunikan yang akan beliau akan persembahkan untuk filem ketiganya nanti.
SKRIN Rating : A- (4/5)