24 February 2004

Ulasan Filem : Hachi-Ko




...Hachi Ko Oleh Oca

Suatu hari di musim dingin tahun 1923, seekor anak anjing telah dikirim daripada utara Jepun kepada Profesor Ueno di Tokyo. Pada mulanya anak perempuan profesor berjanji untuk menjaga anak anjing tersebut sebaik mungkin, namun dia berkahwin tidak lama kemudian dan meninggalkan rumah ibu bapanya. Memandangkan isteri profesor Ueno dan kedua orang gaji mereka tidak begitu gemarkan anjing, tinggallah Profesor Ueno sendiri untuk menjaga dan mengambil perhatian terhadap haiwan peliharaan itu dan dia menamakannya sebagai Hachi. Hari demi hari hubungan antara Hachi dan Profesor Ueno menjadi semakin rapat, setiap hari Hachi akan menemani Profesor Ueno ke stesen keretapi Shibuya dan sebelah petangnya Hachi akan kembali ke stesen tersebut menunggu Profesor pulang. Tindakan Hachi telah mencuri perhatian ramai penduduk setempat dan mereka memangilnya dengan nama Hachiko yang bermaksud 'Dear Hachi'. Sehinggalah pada suatu hari Profesor Ueno telah meninggal dunia akibat serangan strok. Tanpa memahami keadaan yang berlaku, setiap hari Hachi terus menunggu kepulangan Profesor di hadapan stesen kereta api Shibuya... (...baca seterusnya)

Apa yang boleh saya katakan filem ini sungguh sedih. Entah beberapa kali saya menangis sewaktu menontonnya walaupun ia hanyalah kisah seekor haiwan dan hubungannya dengan manusia. Bgaimana baiknya Profesor Ueno melayan Hachi sudah cukup memberikan gambaran bertapa eratnya hubungan mereka. Saat yang paling menyayat hati ialah adegan akhir di mana Hachi melolong sayu di hadapan stesen Shibuya suatu malam pada musim dingin dan membayangkan Profesor Ueno muncul menuruni tangga dari dalam stesen tersebut. Keesokan harinya Hachi ditemui mati ditutupi salji di hadapan stesen Shibuya. Penungguan Hachi adalah sehingga akhir hayatnya.

Filem ini adalah berdasarkan kisah benar yang pernah berlaku di Shibuya Jepun pada era 20-30an. Kisah kesetiaan Hachi menunggu tuannya di hadapan stesen Shibuya pernah mendapat liputan akhbar dan radio sekitar tahun 1932. Ekoran daripada itu penduduk setempat telah menyuarakan agar tugu peringatan Hachi dibina dan mereka menerima sumbangan dari seluruh negara Jepun. Akhirnya tugu peringatan Hachi dibina berhadapan dengan stesen kereta api Shibuya. Ia disiapkan pada tahun 1934 di mana majlis perasmiannya telah dihadiri ramai orang termasuk balu Profesor Ueno dan Hachi sendiri. Hachi mati pada 8 April tahun berikutnya dan tarikh itu terus dikenali sebagai "The Days Of Hachi" di mana upacara peringatan terhadapnya dilangsungkan setiap tahun. Tubuh Hachi telah didermakan kepada Muzium Sains Kebangsaan Ueno dan dijadikan salah satu khazanah muzium tersebut. Filem Hachiko telah mencapai status "biggest hit" di Jepun pada tahun 1987. Diarahkan oleh sutradara Seijiro Kouyama yang cukup terkenal dengan karyanya yang sarat unsur kemanusiaan.

*Filem-Filem bermutu dari Jepun ditayangkan setiap Sabtu pertama dan ketiga bertempat di MTC (Malaysia Tourism Center), Jalan Ampang. Tayangan ini adalah percuma dan ditaja oleh "Japan Foundation Kuala Lumpur".

Akan datang ialah filem-filem Akira Kurosawa yang berjudul "Doomed" dan "Not Yet" yang bakal ditayangkan pada 6 Mac (1st Saturday) dan 13 Mac (3td Saturday). Untuk maklumat lanjut sila kunjungi laman web berikut: http://www.jfkl.org.my/japanese_filmshow.htm