No Good Deed pada asalnya menggunakan tajuk The House on Turk Street, sebuah filem remake tahun 1924. Diarahkan oleh Bob Rafelson, nama pengarah yang saya tidak kenali sebelum ini apatah lagi filem terakhir beliau berjudul The Postman Always Rings Twice dikeluarkan 33 tahun yang lalu iaitu pada tahun 1981 (saya baru berumur 5 tahun ketika itu).
Dengan membariskan pelakon terkenal Samuel L. Jackson (Basic) dan Milla Jovovich (Resident Evil) pastinya filem ini tampak hebat namun sebenarnya tidak berisi serta membosankan. Patutlah ramai yang langsung tidak tahu akan kewujudan filem ini.
Ia dimulakan dengan Jack (lakonan Samuel) seorang polis (yang meminati muzik) sedang mencari seorang gadis yang hilang di sekitar kawasan kejiranannya. Sehinggalah pada satu ketika beliau ternampak seorang wanita tua terjatuh (di depan rumah) seterusnya beliau bergegas memberi bantuan.
Atas dasar berterimakasih, Jack dipelawa masuk oleh wanita tua itu yang akhirnya menyaksikan beliau ditahan oleh sekumpulan penjenayah di dalam rumah tersebut (yang sebenarnya tersalah anggap akan kehadiran beliau).
Penjenayah tersebut merancang untuk melakukan satu rompakan bank. Dalam masa yang sama, Jack ditemani Erin (lakonan Milla). Seperti kebiasaan filem-filem Hollywood, setiap penjenayah pastinya ada wanita yang turut terlibat (lihat sahaja filem-filem seperti XXX, Reindeer Games, Trapped, Italian Job dan lain-lain lagi).
Usaha Jack untuk melepaskan diri (diikat di sebuah kerusi) bergantung pada Erin (yang turut meminati muzik!). Anda mungkin tidak percaya kerana mereka sempat lagi bermain muzik bersama-sama walhal Jack boleh sahaja untuk menahan Erin atau setidak-tidaknya menyelamatkan diri! (Erin seorang pemain piano yang baik manakala Jack pemain cello).
Mereka sempat menghabiskan sebuah lagu dengan penuh keasyikan. Mana datang logiknya di situ? Ada banyak lagi unsur-unsur kebodohan dalam filem ini, cuma saya agak malas untuk menulis.
No Good Deed sudah agak lama dikeluarkan iaitu pada pertengahan tahun 2003. Saya difahamkan filem ini digam tayangannya di Malaysia mungkin kerana terdapat beberapa adegan seksual yang dipaparkan (jika ditapis akan membuatkan filem ini tergantung malah memburukkan lagi keadaan yang sememangnya sudah buruk!).
Apa sekalipun, filem yang bercorak Thriller/Drama dan diklasifikasikan "R" di Amerika ini bukanlah satu kerugian jika dilepaskan malah saya sarankan agar tidak membuang masa untuk menontonnya.
SKRIN Rating : C-