10 February 2004

Ulasan DVD : KIDS (1995)


Oleh VAD

Apakah impian setiap ibu bapa terhadap anak-anak? Ataupun lebih tepat lagi, apakah impian anda terhadap anak-anak anda? Sapa pasti menemui satu set jawapan yang standard di sini; inginkan anak-anak berjaya di dalam pelajaran sekurang-kurangnya membawa Sarjana Muda serta terus bekerja tanpa menganggur, menguasai dua bahasa perdagangan dengan baik, menjadi seorang Muslim yang sejati dan berguna kepada masyarakat.

Tetapi proses membesarkan anak itu yang paling sukar. Bila dikongkong, jiwanya akan memberontak, bila dibiarkan lepas bebas tanpa pengawalan, dia tetap akan rosak. Suasana persekitaran mungkin tidak sama sewaktu kita dibesarkan, Ianya lebih mudah dan ringkas. Boleh dikatakan, anak-anak membesar dengan persekitaran.. jika bersih, segar dan menyihatkan maka sempurnalah jadinya.

KIDS membawa kita kembali kepada tahun 1996. Ceritanya ringkas, mengenai sekumpulan remaja. Ceritanya berlingkar pada watak Telly, seorang anak muda belasan tahun yang ‘poyo’ di mata kita. Sederhana tinggi, berpewatakan biasa, kurus kering tetapi pandai bermain kata-kata atau dalam bahasa yang mudah difahami, pandai mengayat. Adegan di atas katil menunjukkan betapa mudahnya anak gadis menelan kata-kata beliau sehingga akhirnyanya menyerahkan mahkota kedaraannya.

Seterusnya kita dibawa melihat perjalanan hidup Telly dan Casper. Dalam bentuk naratif, Telly menceritakan pengalaman dan betapa bangganya beliau menjadi orang yang pertama (menodai anak dara). Itulah realitinya. Duduk bersembang bersama kawan-kawan sambil menceritakan pengalaman masing-masing.

Adegannya begitu jujur, tiada pemotongan dan sesekali cross over kepada sesi atas katil anak-anak gadis menceritakan perkara yang sama dan siapa yang terbaik. Semuanya ke arah keseronokan, tiada risiko kesihatan ataupun realitinya akan mengandung disebabkan tiada perlindungan atau safe-sex.

Ringkasnya, begitulah kehidupan remaja sekarang. Melepak bersama rakan-rakan, bermain papan luncur, mencuba grass, membelasah orang beramai-ramai, memasuki premis yang di larang dan membuat keramaian di rumah-rumah yang tiada kawalan ibu bapa. Di dalam usia yang begitu muda, keadaan muka yang cengkung dan kusut masai.. segala-galanya tampak begitu kotor.

Apa yang menjadikan KIDS menarik untuk ditonton? Persoalan ini terpulang kepada anda sendiri. Sekiranya anda masih bujang, memikirkan keseronokan, suka berangan-angan, tiada rasa tanggungjawab maka ini satu lagi filem 18SX yang seronok untuk anda tonton. Tetapi jika anda adalah ibubapa ataupun berfikir ke arahnya, realiti di dalamnya adalah sesuatu yang anda harus takuti. Segala perkara yang dipaparkan telah wujud sekarang.

Remaja menghidu gam dan mencuba grass sudah menjadi gambaran biasa. Geng lepak bermain papan luncur ada di mana-mana, perkumpulan anak-anak muda tanpa pengawalan ibu bapa juga sampai di telinga kita. Pergaduhan anak muda juga sekarang tidak lagi dilangkari batasan kaum, yang ada hanyalah batasan budaya Barat seperti hiphop, skaters, skinhead, punk dan pelbagai lagi.

Cuma kita tidak bimbang kerana ianya belum terjadi kepada kita. Belum ada anak kita yang mengandung, belum ada saudara kita yang merengkok di pusat serenti dan juga tidak ada adik kita yang terlantar dibelasah terbaring di hospital.

Kita tidak bertindak kerana belum terjadi kepada kita, baru dengar-dengar sahaja dan ianya belum terjadi. Segalanya kerana belum, bukannya langkah-langkah awal pencegahan dan keperluan menyelami hati dan gejolak remaja. Jangan “Sudah terhantuk baru terngadah” sudahlah.

Tontonlah filem ini dan fikirkan kembali, bagaimanakah kita sebagai ibu bapa perlu mendidik anak-anak di dalam kehidupan yang sebegini?