Oleh VAD
Deringan SMS pada petang Sabtu lalu benar-benar mengejutkan saya. Ianya adalah satu pelawaan untuk menonton Konsert Evolusi Legenda Rock Search di Stadium Merdeka. Perlukah saya berfikir panjang? Tidak sama sekali. Di dalam perjalanan, barulah saya sempat berfikir. Search adalah satu nama besar tanahair, satu lagenda, malahan antara ikon terpenting di dalam sejarah rock tanahair. Berikan sahaja pelbagai nama untuk rock; dari rock cintan, rock kapak, rock kangkang, rock keras, rock n roll dan sebagainya, Search tetap di atas. Hampir 20 tahun yang lepas Search memulakan segalanya dengan Cinta Buatan Malaysia sehinggalah 5 tahun lepas Search dikuburkan secara simbolik. Dan pada malam ini, secara simboliknya juga Search kembali dengan gegaran konsert.
Dalam perjalan ke pintu masuk stadium sehinggalah memasukinya, harus saya akui Search sudah melangkaui eranya.Tidak kelihatan kepelbagaian bangsa dan remaja belasan umur seperti mana berlaku ketika konsert Linkin Park. Yang ada ialah remaja pertengahan umur ke atas. Secara ringkas, mereka yang akan mengimbau nostalgia.
Tapi harus diakui juga, golongan inilah yang sebenarnya dahagakan gegaran konsert secara terbuka. Sokongan juga diberikan oleh kalangan artis-artis ternama seperti Umarul Iklim, Miji Cromok, Bandi Amuk, Neves, Tony Spider, Ali Bakar, Awie & Joe Wing, Hattan dan ramai lagi artis yang boleh dikatakan sezaman dengan Search. Ini lebih kepada penghormatan kepada ‘otai’ rock n roll Malaysia.
Tirai persembahan dimulakan oleh kumpulan Godbless dari Indonesia kira-kira jam 8.40 malam. Satu strategi yang bagus untuk menarik penonton dari seberang. Godbless bijak memilih lagu-lagu yang berentak keras bagi menimbulkan mood kepada penonton. Cuma sayang, populariti Godbless tidak sampai ke Malaysia menyebabkan selain dari mereka yang benar-benar berada di depan pentas, tidak ramai yang ambil peduli sebenarnya. Penonton lebih senang berbual dengan rakan-rakan lama, menggunakan slanga ‘lu, gua’ seperti suatu masa dulu & bergambar dengan selebriti yang ditemui.
Pemilihan Godbless bukan sebagai opening act saya kira, kerana waktu yang diperuntukkan agak lama, kira-kira sejam. Penonton sudah mulai resah sehinggalah kedengaran deruan enjin motosikal berkuasa tinggi. Gimik Awie memasuki stadium bersama sekumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi meredakan keresahan penonton. Paduan suara Achmad Mochtar vokalis Godbless bersama Awie mendendangkan lagu Setan Jalanan (huhuhuhu) mengembalikan mood penonton untuk terus bersama.
Tidak dapat dipastikan awalnya adakah suatu gimik ataupun masalah teknikal yang menyebabkan Seacrh tidak memulakan persembahan setelah selesainya persembahan Godbless pada pukul 10 malam. Deejay rock Ismahalil juga seakan tidak berupaya menangani desakan penonton sehingga berulangkali melihat ke belakang stadium sehingga adakalanya membosankan. Akhirnya diketahui, ada 6000 penonton yang berasak-asak di luar stadium kerana lewat membeli tiket. Dalam hal ini, penganjur harus juga bersikap adil kepada penonton yang berada di dalam stadium yang terpinga-pinga dan menjadi kurang sabar atas sebab yang sama.
Akhirnya Search muncul tepat jam 10.40 malam. Dimulakan dengan Fantasia Bulan Madu, Search benar-benar mengajak penonton berfantasi dan bernostalgia dalam lagu-lagunya. Kemudian lagu-lagu berentak keras mula mengambil tempat seperti Langit dan Bumi, Pawana dan Berpaling. Penataan lampu dan sistem bunyi agak memuaskan, setaraf dengan persambahan artis antarabangsa. Cuma agak mengecewakan adalah rekaan pentas.
Walaupun dijelaskan oleh Search di dalam Utusan Malaysia bahawa rekaan adalah berbentuk futuristik, tetapi Search meninggalkan bahagian yang terpenting iaitu tiada latarbelakang pentas ataupun backdrop yang memaparkan logo Search. Pentas hanyalah ditutupi dengan kain hitam dan dibantu dengan penataan cahaya, itu sahaja.
Memang mengecewakan melihat kumpulan segagah Search, tidak mempunyai apa-apa backdrop dibelakangnya yang menyebabkan jurulampu tidak berani mengambil shoot terang ke pentas selain lampu sorotan kepada pemuzik. Itu juga saya rasa yang menyebabkan mereka tidak bergerak dan kecuali Amy, yang lain hanya terpaku di tempat sendiri dan memainkan alat muzik masing-masing. Tidak dapat dibayangkan juga, setelah 15 tahun berpengalaman menjayakan konsert, Search masih menggunakan cable kepada alat muzik masing-masing. Bukankah lebih cantik dan bebas pergerakan sekiranya mereka menggunakan bateri dan sistem wireless. Konsert ini adalah untuk mengimbau nostalgia, peralatan teknikal pun harus begitu juga?
Akhirnya, nostalgia itu jugalah yang menyelamatkan Search. Penonton dibuai dengan lagu-lagu keras dan moderate secara roller coster bagi memastikan mereka tidak berganjak. Pemilihan lagu-lagu seperti Isabella, Laila Namamu Teratas, Serigala Segalanya, Cakap Memang Murah, Fenomena, Menuju Puncak (huhuhu Search pun ada Menuju Puncak beb!) terus membuai para penonton. Amy tidak banyak berinteraksi dengan penonton, cuma sewaktu perlu sahaja. Ini agak baik bagi memastikan lebih banyak lagu dapat dipersembahkan.
Persembahan Kid, Din, Nasir & Lola sebagai anggota baru nampak kemas dan boleh dikatakan bertenaga. Kenapa boleh dikatakan? Agak jarang melihatkan anggota Search membuat sesuatu yang luar biasa atau gimik, mungkin itu adalah imej Search dari dulu, meletakkan tumpuan kepada Amy dan yang lainnya melengkapkan persembahan.
Persembahan berterusan Search agak mengganggu tumpuan apabila jam menunjukkan pukul 11.45. Search sedaya-upaya memenuhi kuota 21 lagu yang sepatutnya mereka dendangkan hingga tidak menyedari risikonya kepada mereka yang menggunakan pengangkutan awam. Akibatnya, menjelang pukul 12, penonton mulai meninggalkan stadium dan tepat jam 12, pihak Perbadanan Stadium Merdeka menyalakan lampu limpah. Agak menyedihkan sebuah kumpulan yang dianggap lagenda diperlakukan sebegitu tetapi semua orang patut membuat kerja masing-masing. Andainya Search memulakan persembahan tepat pada masanya, segalanya akan berakhir dengan sempurna. Setelah berakhirnya persembahan bertenaga dan sedikit gimik pada Cakap Memang Murah, Search seakan terpaksa mengakhiri persembahan dengan Rozana.
Sebuah konsert yang menarik untuk suatu comeback tetapi kelemahan penganjur di dalam menjaga kesinambungan dengan pihak perbadanan stadium, kawalan keselamatan, pengangkutan awam telah mencetuskan beberapa insiden yang tidak diingini berlaku di luar dan di dalam stadium. Mengharapkan penonton menganggap isu ini adalah remeh setelah bernostalgia dengan Search adalah kesilapan seperti mana Prof. Razak Moheedin menganggap penonton akan ke panggung melihat Erra-Yusri walaupun ceritanya ditahap memualkan!
Secara keseluruhannya, saya perlu berlaku adil. Sebuah konsert yang bertenaga, berjaya mengimbau nostalgia lama dan seterusnya memberitahu kepada khalayak bahawa Search sudah kembali untuk menggegar! Cuma harapan semua para peminat agar Search dapat mengembalikan mutu album sepertimana Fenomena. Pemilihan lagu-lagu yang dikatakan mendahului zaman seperti album Rampage dan ke hadapan, antara faktor yang membunuh populariti Search.
Ingat kata pepatah, ular menyelusiri akar takkan hilang bisanya. Elemen-elemen segar dan moden boleh disuntikkan ke dalam irama Search, tetapi teras rock yang didokong sekian lama, haruslah dikekalkan. Search harus berada si tengah zaman nostalgia dan arus perdana, jika tidak baik lupakan sahaja segala perancangan dan berundur dikala nama sedang gah.. supaya terus menepati status anda sebagai Lagenda Rock Tanahair.
Juga kepada penganjur, sebuah konsert yang menggabungkan Lefthanded, Rusty Blade, Wings & Cromok bersama perancangan yang betul pasti mengingatkan MCAT kepada kehebatan Ali Bakar dan Box-Officenya.