"Rock got no reason... Rock got no rhyme!!"
Oleh Mahhass
School of Rock memang hebat! Sebagaimana hebatnya pra-tontonnya di kaca tv, begitulah hebatnya filem ini. Mungkin saya agak terpengaruh dengan muzik rock, namun secara jujurnya saya amat menyukai filem komedi arahan Richard Linklater ini. Jack Black yang membawa watak Dewey Finn sememangnya cukup-cukup mantap.
Alkisahnya, Dewey Finn merupakan seorang Rocker sengkek tetapi hebat. Mungkin kerana penampilannya sewaktu di pentas agak keterlaluan sehingga beliau dipecat keluar oleh anggota kumpulannya. Beliau agak terdesak untuk membayar sewa rumah. Sehinggalah pada suatu hari, beliau menerima panggilan dari sebuah sekolah yang menawarkan kerja sebagai guru sementara dengan bayaran yang agak lumayan (sebenarnya panggilan telefon tersebut adalah untuk rakan serumahnya, Schneebly) dan oleh kerana terdesak untuk membayar sewa rumah, beliau menyamar sebagai Schneebly seterusnya memulakan tugas sebagai guru di sekolah tersebut.
Namun setelah menyaksikan kehebatan anak-anak muridnya dalam bidang muzik (klasik), dan juga oleh sebab jiwanya sudah sebati dengan muzik, beliau mula mendapat idea untuk mengajar muzik rock. Bukan setakat itu sahaja, Finn cuba mempengaruhi mereka agar lebih menghayati muzik rock, mengubah attitude pelajar-pelajarnya, mengajar sejarah muzik rock seterusnya memulakan satu projek Rock Band untuk kelasnya.
Saya kira agak mudah bagi Linklater untuk mengarah filem ini kerana Jack Black (yang pernah menganggotai kumpulan rock, Tenacious D satu ketika dahulu) sememangnya menjiwai watak seorang Rocker dengan begitu baik. Beliau cukup memahami selok-belok muzik rock dari segi memberikan penghayatan serta tunjuk ajar dalam lakonannya. Muzik rock 70an yang cuba dipengaruhi untuk projek kelasnya dalam filem ini cukup berkesan.
Mungkin ramai yang tidak kenal dengan nama Jimmy Page, Jimmy Hendrix serta nama-nama besar lain seperti Led Zeppelin, AC/DC, Rush, Sex Pistols (punk-rock) dan bermacam lagi. Buku ulangkaji pelajaran atau homework digantikan beliau dengan cakera padat kumpulan-kumpulan tersebut untuk didengari dan dijadikan sebagai influence pelajarnya bagi merealisasikan usaha Finn (atau lebih tepat lagi mengubat kerinduan) untuk muncul di pentas.
Dilatarbelakangkan dengan muzik rock 70an bagi menghidupkan mood serta gambaran jiwa Finn, cukup menghasilkan keseronokkan menonton filem ini. Komedi yang bersahaja tetapi mampu membuatkan saya ketawa berdekah-dekah, ekspresi wajah yang baik serta penuh kekusutan berjaya menggambarkan attitude Rocker sebenar yang dibawa Black.
Filem ini seolah-olah memberi nafas baru kepada muzik rock yang semakin hari semakin hilang bisa khususnya di Amerika. Agak jarang lagi kita dengar kumpulan-kumpulan rock baru yang muncul di peringkat antarabangsa masakini. Begitu juga senario yang sama melanda di Malaysia. Ramai menganggap muzik rock sebagai kolot atau ketinggalan zaman, tak bertamadun dan sebagainya. Mentaliti ini hanyalah bagi mereka yang tidak tahu menilai apa atau di mana istimewanya muzik rock tersebut.
Apa sekalipun, School of Rock ternyata menghiburkan dan saya tidak ragu-ragu untuk mengatakan bahawa filem ini adalah antara filem genre komedi terbaik untuk tahun 2003.
Rating : A- (4/5)