16 February 2004
Ulasan Filem : Rabbit-Proof Fence (2002)
Oleh Mahhass
Rabbit-Proof Fence diarahkan oleh Phillip Noyce yang satu masa dahulu pernah mengemudi filem-filem seperti Patriot Games, The Bone Collector, Clear and Present Danger, The Saint, Sliver dan banyak lagi.
Ia adalah sebuah filem yang mendedahkan satu sejarah Australia. Sejarah yang gelap serta kotor malah tidak langsung boleh diperbanggakan khususnya warga Australia. Ia soal kemanusiaan yang suatu masa dahulu terlalu pincang untuk diperambilberatkan.
Ia suatu realiti yang harus divisualisasikan kepada umum bagaimana rapuhnya nilai-nilai sensitiviti masyarakat kulit putih pada awal abad lalu sehingga menjelang era 70an.
Filem ini menyentuh soal prejudis perkauman, maruah, kasta, ego dan juga kebiadapan kaum kulit putih. Begitu hinanya masyarakat natif pribumi Australia (Aborigines atau kita kenali dengan singkatan 'Abo') di mata mereka pada ketika itu (malah kesannya boleh dilihat sehingga kini).
Mereka sanggup 'mencuri' serta merampas hakmilik mutlak masyarakat pribumi dengan merancang untuk menghasilkan satu generasi ‘bumiputera baru’. Atas alasan kemajuan, kanak-kanak dipisahkan langsung dari ibu-bapa mereka, dikristiankan malah turut ditegah dari bertutur dalam dialek natif ibunda mereka.
Mereka diajar dan hanya diwajibkan bertutur dalam bahasa inggeris. Itulah realitinya. Kasih sayang serta belaian ibu-bapa dinafikan sama sekali. Hak serta maruah dicabuli sewenang-wenangnya.
Gambaran realiti ini dapat disaksikan dalam filem ini. Ia dimulakan dengan satu babak yang menyayat hati bagaimana tiga orang kanak-kanak iaitu Molly Craig, Daisy Craig dan sepupunya Gracie, dirampas dari pangkuan ibu mereka untuk dibawa dari Jigalong ke sebuah petempatan orang asli Moore River di bahagian barat Australia yang jaraknya sekitar 800 batu jauhnya.
Di sana, mereka diketemukan dengan kanak-kanak lain yang senasib dengan mereka. A.O Neville (yang juga diberi jolokan 'Mr. Devil') mengetuai kem petempatan tersebut.
Namun, setelah beberapa hari di petempatan tersebut, mereka bertiga berjaya melarikan diri untuk kembali bertemu ibu-bapa mereka. Bayangkan sahaja dua bulan perjalanan (berjalan kaki) meredah belantara, padang pasir yang tidak mengenal erti belas disertai rasa penat, lapar dan dahaga yang dihadapi.
Bukan itu sahaja, mereka turut dijejaki oleh orang suruhan Neville (Moodoo, juga seorang warga asli berpengalaman), malah turut dipaparkan ke akhbar-akhbar tempatan pada waktu itu.
Mereka bernasib baik kerana sewaktu dalam perjalanan pulang ke Jigalong, ramai yang membantu tiga kanak-kanak malang ini. Tidak kurang juga yang tidak boleh dipercayai sehingga Gracie tertangkap semula.
Oleh kerana Jigalong terletak berhampiran pagar yang memisahkan sempadan ladang dan juga bertujuan mengelakkan arnab-arnab liar memasukinya (juga merupakan pagar terpanjang di dunia dibina oleh orang asli setelah dikerah paksa), maka Molly mengambil keputusan untuk mengikuti sepanjang laluan pagar tersebut sebagai 'panduan' dengan berbekalkan harapan untuk berjumpa ibunya.
Walaupun filem ini merupakan lakonan sulung ketiga-tiga kanak-kanak tersebut, namun penghayatan watak yang digarap dengan penuh emosi serta memilukan ini setelah ditunjuk ajar pengarah yang berpengalaman Philip Noyce, amat boleh dibanggakan. Sinematografi oleh Christopher Doyle yang memaparkan lanskap Australia mencantikkan lagi filem ini malah berkesan dalam menghidupkan gambaran kesukaran serta keperitan ketiga-tiga kanak-kanak tersebut.
Rabbit-Proof Fence merupakan filem yang sarat dengan erti kemanusiaan, semangat perjuangan yang tinggi serta kasih sayang yang tidak terperi. Sebuah kisah benar yang tragis yang diceritakan sendiri oleh Molly yang kini telahpun berusia 86 tahun kepada anaknya.
Saya letakkan filem ini di dalam kelompok yang terbaik pernah ditonton.
SKRIN Rating : A (4.5/5)