Oleh Mahhass
Filem trilogi ke 3 dan terakhir The Lord of The Rings - The Return of The King kembali menggegar ke serata dunia setelah melalui sebuah penantian yang cukup menyiksakan bagi penggemar filem ini. Saya juga tidak terkecuali merasai gegarannya. Perasan teruja tidak dapat saya sorokkan lagi tatkala tiket untuk menonton filem ini sudah berada di genggaman malam tadi.
Bayangkanlah, bukan sekadar sehari atau seminggu ataupun sebulan untuk mengetahui akan kesudahan trilogi paling hebat ini, tetapi kita seolah-olah dipaksa untuk menunggu selama setahun untuk melihat sambungan apakah yang bakal berlaku dalam babak kesudahan filem ini. Apapun, satu penantian yang cukup berbaloi.
Tirai filem Return of The King dibuka dengan imbas-kembali bagaimana Smeagol mula-mula menjumpai cincin tersebut, iaitu sewaktu beliau masih lagi menjadi Hobbit dan akhirnya bertukar sedikit demi sedikit menjadi makhluk Gollum akibat dari sumpahan. Lakonan Andy Serkis sebagai Smeagol merupakan antara lakonan terbaik dalam filem ini.
Namun, bukan itu saja yang menjadi kekuatan dalam filem ROTK. Setelah kita menyaksikan pertempuran hebat di Helm’s Deep dalam Two Towers, ROTK menghidangkan kita dengan aksi pertempuran paling hebat di Pelennor Fields.
Bayangkan, sekali lagi 10,000 tentera Orcs yang tidak lagi diketuai Uruk-Hai setelah kejatuhan empayar Saruman, cuba menawan kota Minas Tirith, bertempur dengan tentera berkuda Rohan yang diketuai Raja Theoden. Babak yang cukup menyentuh perasaan dan penuh emosi tatkala Raja Theoden dengan penuh bertenaga, melaungkan kata-kata semangat sambil menunggang kudanya memeriksa barisan depan sekaligus menyentuhkan pedangnya ke setiap pedang tenteranya.
Berulang kali dia melaungkannya, dan saya merasakan seolah-olah turut sama berada dalam pertempuran tersebut. Semboyan dibunyikan maka bermulalah peperangan hebat di Pelennor Fields!
Seperti sebelumnya, babak ini diselang-selikan dengan liku-liku perjalanan Frodo dan Sam bersama-sama Smeagol dalam meneruskan usaha memusnahkan cincin tersebut. Oleh sebab itu, kebanyakan audien kelihatan tidak berganjak dari tempat duduk masing-masing walaupun filem ROTK ini memakan masa hampir 3 jam lebih.
Walaupun secara jujurnya saya katakan bahawa jalan cerita ROTK agak sedikit perlahan berbanding Two Towers, namun banyak babak menarik yang ditonjolkan dalam ROTK, seperti penampilan sulung Army of the Dead, dan juga Mumakil, gajah gergasi yang yang ditunggangi tentera pakatan Sauron dijatuhkan Legolas dengan aksi yang cukup menarik sekali. Kali ini, pengarah banyak menyelitkan unsur komedi dalam ROTK. Tambahan lagi gelagat Gimli yang ternyata mencuitkan hati.
Kekuatan trilogi LOTR pada saya adalah pada perancangan yang telah dibuat oleh pengarah dan penulis skripnya. Peter Jackson saya kira berjaya membawa kisah yang diinspirasi dari novel J.R.R. Tolkien ini dengan cemerlang sekali.
Walaubagaimanapun, saya difahamkan bahawa beliau tidak mengambil 100% dari jalan cerita asal novel tersebut. Ada sesetengah bahagian tidak dibawa ke layar malah ditulis kembali oleh Peter Jackson yang juga selaku penulis skrip filem ini.
Walaupun pada dasarnya kita boleh meramalkan apa yang akan berlaku pada kesudahan filem ini namun, bukan itu yang menjadi sandaran utama dalam filem ini. Efek visual, corak seni arahan, lakon layar, seni fotografi, penulisan skrip serta lakonan yang mantap lagi berkesan adalah merupakan sandaran utama filem ini.
Begitu juga dari segi sinematografinya, Peter Jackson begitu teliti dalam memilih lokasi walaupun kebanyakannya hanya berasaskan teknologi efek canggih namun tampak realistik sekali.
Maka tidak boleh dinafikan lagi, LOTR merupakan filem trilogi terbaik pernah dihasilkan malah saya katakan filem terbaik untuk tahun ini walaupun sebelum tirai 2003 dilabuhkan.
Suatu seni filem paling unggul dan tidak harus dilepaskan!
SKRIN Rating : A+ (5/5)