Oleh Mahhass
Baru sahaja terkesima dengan aksi dalam Return Of The King, sekali lagi saya dibawa mengembara ke dunia orna penuh fantasi. 4 keping pas masuk ke tayangan Peter Pan ini saya perolehi sehari sebelum ditayangkan (tayangan 11 pagi, TGV 1 Utama). Pagi itu saya cuba menghubungi rakan saya iaitu Jijo, begitu juga Izreen namun kedua-duanya ketika dihubungi tiada jawapan. Mungkin mereka masih lagi dibuai mimpi agaknya, kata hati saya. Apapun, mungkin silap saya juga kerana terlalu suntuk memberitahu mereka.
Bagaimanapun, saya teruskan niat untuk menonton filem ini walaupun dalam keadaan sedikit bersesak-sesak, berbaris panjang berikutan tayangan ROTK saya fikir masih lagi hangat ditontoni buat masa ini.
Setelah Hook versi Peter Pan arahan Steven Spielberg tahun sudah, kini versi yang hampir kepada tulisan asal J.M Barrie (penulis & pencipta asal Peter Pan) dikeluarkan. P.J Hogan diberi mandat untuk mengarah serta membawa semula cerita asli Peter Pan ke layar perak dibawah gabungan 3 pengeluar filem gergasi Hollywood iaitu Universal Studios, Columbia Pictures dan Revolution Studios.
Secara ringkas, filem ini berkisarkan tentang permusuhan Kapten Hook dan Peter Pan (lakonan Jeremy Sumpter) serta sahabatnya (The Lost Boys). Peter Pan membawa Wendy (lakonan Rachel Hurdwood) dan adik-adiknya terbang ke Neverland, yang digambarkan keindahan tempatnya di dalam filem ini.
Bagaimanapun, tidak semua keindahan boleh dikecapi di Neverland, watak hitam juga wujud di sana seperti watak lanun Kapten Hook dan pengikutnya, buaya besar yang ganas serta ikan duyung sewaktu mengkhabarkan berita buruk kepada Peter Pan dan Wendy. Pengarah jelas sekali berjaya mengkontrakan watak hitam dan watak putih dalam filem ini.
Tidak keterlaluan jika saya katakan efek visual dilihat lebih menarik dan sedikit matang berbanding filem Harry Potter. Kita juga dipesonakan dengan watak pari-pari Tinkerbell (lakonan Ludivine Sagnier) yang mencemburui Peter dan Wendy. Gelagat comel beliau cukup menghiburkan. Begitu juga dengan The Lost Boys, unsur komedi yang bersahaja dibawakan tampak sesuai sekali. Watak Kapten Hook lakonan Jason Isaac juga saya anggap berjaya dibawakannya dengan baik.
Walaupun filem ini berbunyi seakan hanya sesuai ditonton kanak-kanak, namun corak persembahan yang unik, ditambah pula efek audio dan visual yang hebat serta CGI yang mempesonakan menjadikannya satu tarikan tontonan serta hiburan golongan dewasa.
Kita lupakan saja Peter Pan, budak degil yang tidak mahu menjadi dewasa tersebut, kerana apa yang penting, mesej kekeluargaan jelas berjaya disampaikan dengan penuh emosi dalam filem ini.
Perhatikan babak akhir ketika mereka dipertemukan kembali bersama keluarga mereka yang cukup menyentuh hati. Oleh kerana itu filem ini dilihat sesuai ditonton bersama-sama keluarga.
Apapun, Peter Pan berjaya membawa kita ke satu pengembaraan yang menyeronokkan!
SKRIN Rating : A- (4/5)