03 December 2003

Ulasan Filem: Ju-On aka The Grudge (2003)



Pengeluar-pengeluar filem di Jepun & Korea khususnya, dilihat seolah-olah sedang bersaing dalam mengeluarkan filem-filem seram berikutan sambutan yang agak menggalakkan, bukan sahaja di negara sendiri malah diperingkat antarabangsa juga. Baru sahaja saya menonton A Tale of Two Sisters, kini saya berpeluang menonton sebuah lagi filem seram bertajuk Ju-On (The Grudge) keluaran negara jirannya pula iaitu filem yang sebelum ini disiarkan di TV jepun dalam versi ‘series’. Saya tidak pasti bila filem ini dikeluarkan di sana.

Hasil karya penulis filem Ring-O dan Dark Water, filem Ju-On dilihat masih lagi mengekalkan konsep klasik filem seram Jepun yang mana permulaan atau puncanya adalah berasaskan pembunuhan dan keganasan yang akhirnya menyaksikan roh menjadi tidak tenteram dan membalas dendam.

Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan sebuah rumah, yang suatu masa dahulu pernah berlaku satu pembunuhan kejam. Rumah tersebut seakan mendapat satu sumpahan dimana sesiapa sahaja yang memasuki rumah tersebut akan menemui ajal akibat daripada gangguan roh mangsa pembunuhan tersebut. Bukan itu sahaja, rumah tersebut seolah-olah terdapat kuasa untuk menarik perhatian orang ramai untuk dimasuki.

Filem ini diselang-selikan kepada 6 segmen yang setiap satunya memberi fokus kepada watak-watak dalam filem ini yang mana saya kira agak memudahkan saya memahami jalan ceritanya. Tidak seperti filem lain sebelum ini, Ju-On tidak menampilkan corak ‘slow-shock-slow’ dan muzik latar belakang kedengaran amat sesuai sekali sewaktu babak seram dan cemas muncul. Saya akui filem ini sememangnya berjaya mewujudkan rasa seram malah saya sendiri beberapa kali seperti trauma. Walaubagaimanapun, elemen hantu khususnya dari segi ‘rupa’ watak hantu yang merangkak ala-ala filem The Ring saya kira gagal mengulangi keseraman yang cuba diwujudkan, atau mungkin pengarah terlalu terikut-ikut dengan filem tersebut. Kalau dilihat dari aspek cemas, saya akui amat berkesan sekali. Bayangkan siapa yang tidak tersentak jika hantu tiba-tiba muncul di dalam selimut!

Tiada unsur ‘twist’ ditonjolkan dalam filem ini. Secara terang-terangan, pengarah atau penulis filem ini memberitahu kita bahawa filem ini merupakan sebuah ‘filem hantu’. Jadi kita tidak perlu ‘pening’ untuk memikirkan siapa pembunuh, apa sebenarnya yang terjadi, bagaimana dan lain-lain. Kadang-kadang otak kita perlu juga berehat, asyik tonton filem yang memeningkan terasa bosan juga....

Secara keseluruhannya, Ju-On merupakan filem yang baik serta menghiburkan dan saya mendapat tahu bahawa Ju-On 2 sudahpun selesai proses penggambaran dan dijangka akan dikeluarkan pada hujung tahun ini (mungkin awal tahun 2004 di Malaysia). Pada kebiasaannya, filem kedua tidak akan dapat menyaingi populariti filem pertama khususnya filem-filem seram keluaran Jepun & Korea serta Hong Kong juga malah saya sendiri merasakan filem keduanya ini mungkin tidak seseram filem pertama. Apapun, sama-samalah kita nantikan.

**Rating: A-**