02 December 2003

Ulasan Filem: House of the Dead (2003)

House of the Dead merupakan nama yang tidak asing lagi bagi penggemar PC-games, malah saya sendiri menggemarinya dan beberapa kali berjaya menghabiskan video-game ini!

Bila diberitakan bahawa video-game keluaran SEGA ini dalam proses untuk difilemkan, sungguh tidak sabar rasanya menunggu filem ini keluar, selepas filem Resident Evil yang juga diadaptasikan dari video-game dikeluarkan tahun lepas yang saya kira amat cemerlang sekali.

Akhirnya, berjaya juga saya mendapatkan DVD filem ini dan menontonnya semasa cuti panjang minggu sudah. Secara ringkasnya, filem ini mengisahkan sekumpulan remaja yang mengadakan pesta dan berparti di sebuah pulau terpencil (yang diberi nama Isla del Muerte), yang akhirnya menyaksikan mereka diserang serta dibunuh oleh zombie ataupun dalam istilah melayu digelar 'mayat hidup'.

Walaubagaimanapun, zombie yang dipaparkan dalam filem ini sedikit luarbiasa oleh kerana kepantasan serta kercerdikannya berbanding filem-filem zombie yang lain.

Sayang sekali, filem ini mungkin saya kira agak terikat dengan SEGA yang cuba menonjolkan elemen video-game ke dalam filem ini, yang nyata menjadikannya kelihatan bodoh serta aksi-aksi yang melucukan malah tidak realistik.

Tidak langsung menampilkan unsur-unsur cemas atau suspen. Elemen zombie serta 'gore' yang ditampilkan juga tidaklah menyeramkan apatah lagi jalan ceritanya yang banyak tergantung. Malah, saya boleh katakan bahawa watak 'Uruk-Hai' dan 'Orcs' dalam Lord of The Rings lebih menakutkan berbanding zombie dalam filem ini.

Bayangkan bagaimana sekumpulan remaja yang pada mulanya dalam ketakutan bertukar menjadi seolah-olah ‘pembunuh professional’ dengan menggunakan senjata-senjata canggih, berlawan 'ala-ala Neo & Trinity dalam filem The Matrix' dalam usaha menyekat kemaraan zombie-zombie tersebut. Saya rasa filem ini tidak patut sekali diarahkan atau ditulis sebegitu rupa.

Selepas menonton filem-filem horror tahun 2003 khususnya keluaran barat seperti 28 Days Later, House of 1000 Corpses, Wrong Turn, Freddy vs. Jason , Cabin Fever, Jeepers Creepers 2, saya boleh rumuskan bahawa House of The Dead merupakan filem horror (kategori zombie) terburuk pernah dikeluarkan untuk tahun ini malah saya boleh katakan juga filem zombie paling slapstik pernah dikeluarkan.

Apapun, saya akan nantikan Resident Evil 2 yang akan dikeluarkan awal tahun depan dan berharap filem tersebut akan lebih hebat dari filem pertamanya.

Secara keseluruhannya, filem House of The Dead ini mengecewakan saya.

SKRIN Rating: D+ (0.5/5)