09 December 2003

Ulasan Filem (DVD): Ong-Bak (2003)




Ong-Bak Saya seakan tidak percaya bahawa filem Ong-Bak ini dihasilkan oleh negara jiran kita, Thailand. Begitu jauh kita ditinggalkan dalam industri perfileman walaupun saya kira negara kita banyak mendahului dari segi tahap pembangunan ekonomi dan sosial.

Lihatlah sahaja bangunan berkembar tertinggi, itu ini terpanjang, terbesar, dan apa lagi ter-ter nya (atau istilah 'ter' tu merujuk kepada suatu ketidaksengajaan?), bagaimana pula dengan filem kita yang masih dilamun dengan cinta tak berkesudahan? Patutlah filem-filem Bollywood begitu mendapat sambutan di sini.

Berbalik kepada Ong-Bak, saya sebenarnya sudah menonton filem ini dalam versi VCD (tanpa sarikata) seawal bulan ini, cuma semalam saya berkesempatan menontonnya dalam versi DVD dengan sarikata, justeru barulah saya faham akan jalan filem ini sedikit-sebanyak. Nak menonton wayang memang saya tak ada masa.

Dalam filem ini, kita dipertemukan dengan Boonting atau hanya disebut Ting lakonan Panom Yeerom, pelakon muda berbakat besar khususnya dalam seni mempertahankan diri, walaupun jika dilihat dari segi lakonannya tidak berapa menyerlah (apatah lagi beliau saya kira masih baru dalam bidang lakonan), namun saya percaya beliau masih mempunyai banyak masa untuk memperbaiki lakonannya.

Malah, saya bersetuju dengan satu tulisan mengatakan bahawa "Aksi Panom seolah-olah Jackie Chan sewaktu muda"

Secara ringkas, Ong-Bak merupakan sebuah patung Buddha yang menjadi satu simbol kesucian bagi penduduk kampong Thong Pradu. Bagaimanapun, bahagian kepala patung Ong-Bak tersebut didapati hilang dan Ting, anak muda yang paling mahir dalam seni mempertahankan diri Muay Thai di kampung tersebut diamanahkan untuk mendapatkan kembali kepala patung tersebut yang dipercayai telah dibawa lari ke Bangkok.

Dalam filem ini, awal-awal lagi kita dihiburkan dengan aksi perlumbaan merebut bendera di sebatang pokok besar yang menyaksikan aksi stunt '1st Class' ditonjolkan. Walaubagaimanapun, aksi sebenar dalam filem ini bermula di kota Bangkok, iaitu sewaktu usaha Ting untuk mendapatkan kembali Ong-Bak tersebut di tangan ketua samseng di sebuah pusat hiburan tinju haram, yang mana menyaksikan Ting secara tak sengaja terbabit dalam perlawanan tersebut.

Seperti Jackie Chan, 95% aksi dilakukan sendiri oleh Panom, seperti aksi lompatan sommersault beliau, tendangan pantas, melompat dari tempat yang agak tinggi, memanjat tembok dan lain-lain. Cuma sentuhan pengarah, Prachya Pinkaew yang dilihat banyak mengulang-ulangkan aksi tersebut terlalu kerap dan hampir kesemua aksi diulang beberapa kali, sedikit-sebanyak menjejaskan keterujaan saya sewaktu menonton filem ini. Saya akui, pengarah tidak perlu berbuat sedemikian rupa. Jika sekali dua, tak mengapa.

Keseluruhannya, filem Ong-Bak ini merupakan sebuah filem yang baik dan menghiburkan walaupun saya tidak mengambil kira dari segi lakonan serta klise cerita yang seakan-akan pernah saya tonton sebelum ini.

Malah, rakyat Thailand saya kira patut berbangga dengan terbitnya filem aksi bermutu ini yang secara langsung mengenengahkan seni mempertahankan diri Muay Thai (atau kita kenali dengan Tinju Siam), setelah banyak filem Hong-Kong dan Hollywood juga, mendominasikan filem-filem aksi khususnya Karate, Kung-fu dan lain-lain lagi.

Saya masih ingat lagi satu masa dahulu, kita dipertontonkan dengan siri tv 'Pendekar' kalau tak silap saya. Persoalannya, di mana kegemilangan seni silat kita selepas siri atau filem tersebut? Atau penerimaan seni silat di negara kita masih lagi ditertawakan tatkala aksi silat ditonjolkan di kaca TV? Atau penonton kita sendiri yang lebih suka berangan-angan sambil menonton filem-filem cinta?

...apa dipandang padi seberang?

SKRIN Rating : A- (4/5)