23 December 2003

Ulasan Filem : Out of Time (2003)

Out of Time(Ulasan ini ada mengandungi 'Spoiler', jadi saya sarankan anda menonton filem ini terlebih dahulu sebelum membacanya. Terima kasih - Mahhass)

Out of Time menampilkan lakonan terbaru pemenang anugerah Academy® Denzel Washington, yang juga merupakan salah seorang pelakon yang saya gemari setelah lakonan cemerlang beliau dalam "Training Day".

Dalam filem ini, beliau memegang watak sebagai Matt Whitlock, seorang ketua jabatan polis yang disegani di Banyan Key, Florida. Beliau bagaimanapun, secara sulitnya telah menjalankan hubungan dengan Ann (Sanaa Lathan) yang juga merupakan isteri Chris lakonan Dean Cain, yang dilihat seringkali memukul isterinya.

Ann bagaimanapun memerlukan wang sejumlah USD485,000 bagi menjalankan rawatan perubatan kanser yang dihidapi. Ini berikutan dari penerangan doktor yang kononnya telah mengesahkan bahawa Ann akan hanya hidup untuk tempoh 5-6 bulan sekiranya tidak diberikan rawatan.

Atas dasar simpati dan agak berat hati, Matt mencuri wang hakmilik rampasan DEA (polis anti-narkotik) yang diamanahkan beliau untuk disimpan di pejabatnya, setelah diyakinkan bahawa wang insurans akan diperolehi dalam tempoh 2 hari akan datang. Setelah wang tersebut diserahkan, Matt dikejutkan dengan berita keesokan paginya bahawa rumah Ann telah terbakar, 2 mayat rentung yang tidak dikenalpasti dijumpai.

Justeru polis mengklasifikasikan sebagai kes bunuh maka siasatan dijalankan dan yang nyatanya, Matt menyedari bahawa beliau turut sama terlibat apatah lagi beliau merupakan pewaris insuran yang bernilai USD1,000,000.

Oleh sebab rasa tertipu, Matt seterusnya cuba menyembunyikan segala bukti hubungan beliau dengan mangsa sambil mencari dalang yang bertanggungjawab dan berusaha mendapatkan kembali wang tersebut.

Melihatkan sinopsis yang agak menarik tersebut sebenarnya tidak menggambarkan keadaan sebenar dalam filem ini. Amat mudah untuk meramalkan plot filem ini. Di pengakhiran filem ini menyaksikan Matt berjaya menjejaki semula teman wanita dan suaminya.

Sayang sekali, filem ini tidak digarapkan dengan sebarang unsur twist atau kejutan. Lakonan Denzel Washington yang dibawanya dengan cemerlang dibayangi oleh skrip filem yang tiada istimewanya. Perhatikan bagaimana Denzel bijak membawa watak dalam situasi kelam-kabut, juga cemas sewaktu beliau melarikan diri dari buruan polis. Sayangnya, semua ini dikaburi dengan sebuah naratif yang mengecewakan.

Denzel seharusnya tidak menerima skrip filem dengan membuta-tuli dan ini sedikit sebanyak memberikan kesan terhadap status atau menjejaskan reputasi beliau sebagai pelakon yang pernah mendapat gelaran yang terbaik di antara yang terbaik di majlis penganugerahan filem paling berprestij di Hollywood.

Keseluruhannya, filem ini saya boleh katakan OK. Mungkin sesetengah mengatakan filem yang baik, namun bagi saya sekadar filem biasa sahaja. ...atau mungkin juga antisipasi saya terlalu tinggi untuk filem ini.

SKRIN Rating: B- (2.5/5)

Filem Terbaru Denzel Washington : Ulasan Filem MAN ON FIRE (2004)