19 December 2003

Ulasan Filem : Wishing Stairs (2003)

Wishing StairsOleh Mahhass

Wishing Stairs merupakan sebuah lagi filem keluaran negara Korea berkonsep drama/seram serentak ditayangkan tatkala demam LOTR masih hangat melanda ketika ini. Saya tertarik untuk menonton filem ini berikutan dari trailer/preview filem ini yang tampak begitu menarik sekali.

Namun ramalan saya ternyata silap. Wishing Stairs tidak langsung menampilkan sebarang kelainan dari filem seram lain sebelum ini. Saya difahamkan bahawa Wishing Stairs merupakan susulan dari filem pertamanya iaitu Whispering Corridors, seterusnya filem kedua Momento Mori.

Walaubagaimanapun, Wishing Stairs bukan merupakan sambungan malah tidak mempunyai sebarang kaitan dengan kedua-dua filem tersebut. Ia hanya mempunyai persamaan dari segi konsep iaitu 'kisah seram di sekolah perempuan'.

Filem ini dimulakan seperti kebanyakan drama-drama biasa. Kita dibawa untuk mengenali watak-watak seperti So-Hee dan Jin-Sung, dua sahabat baik yang sama-sama memasuki kelas ballet. So-Hee dilihat lebih menonjol dari segi bakat malah beliau mempunyai rupa paras yang menarik berbanding Jin-Sung, yang seperti kebanyakan pelajar di sekolah tersebut.

Setengah jam yang pertama filem ini, tiada menampilkan unsur seram. Hampir terlelap saya dibuatnya.

Sehinggalah pada suatu ketika, salah seorang pelajar yang paling gemuk di sekolah itu kelihatan menjadi kurus. Ini disedari oleh Jin-Sung. Akhirnya, beliau mendapat tahu bahawa salah satu tangga menuju ke asrama mereka mempunyai rahsia tersendiri.

Tangga tersebut pada hakikatnya hanya mempunyai '28 anak tangga'. Sekiranya sesiapa menaiki tangga tersebut sambil membilang satu persatu beserta dengan hati yang ikhlas, anak tangga ke '29' akan muncul dan dari situ mereka boleh membuat apa sahaja 'permintaan' tidak kira baik mahupun buruk.

Maka, Jin-Sung mencuba lalu meminta dari 'fox-spirit' tangga ke 29 tersebut agar beliau dipilih oleh gurunya untuk beraksi di pertandingan ballet tersebut walhal kawan baiknya So-Hee dilihat lebih layak untuk terpilih.

Akibatnya, dalam satu kejadian yang tidak disengajakan, So-Hee telah terjatuh dari tangga dan menyebabkan beliau telah menjadi lumpuh walaupun situasinya agak mengelirukan untuk saya fahami. Akibat tertekan, So-Hee membunuh diri. Maka sekali lagi bermulalah tradisi filem seram Korea iaitu roh bangkit akibat ketidaktenteraman.

Secara keseluruhannya, saya boleh katakan bahawa tiada apa yang menarik tentang filem ini. Apatah lagi, elemen hantu yang ditonjolkan langsung tidak ada sebarang kelainan.

Filem ini saya boleh kategorikan sebagai sebuah drama biasa berkisarkan tentang persahabatan, ketamakan, kecurangan dan sebagainya yang hanya diselitkan beberapa babak seram. Jauh sekali untuk melihat unsur 'twist' seperti filem A Tale of Two Sisters. Plot yang agak goyah serta banyak babak yang tergantung tanpa diketahui punca dan penyelesaiannya.

Secara jujur, saya tidak mengesyorkan anda membuang masa lebih 1 setengah jam untuk menonton filem ini walaupun preview/trailer filem ini dilihat seakan hebat dan memanggil-manggil untuk ditontoni.

SKRIN Rating : C- (1/5)