Undead merupakan sebuah lagi genre zombie yang baru sahaja dikeluarkan dalam bentuk DVD pada pertengahan Disember lalu setelah ditayangkan di Australia awal tahun ini.
Melihat akan tajuknya sudah pasti kita dapat mengagak jenis apakah filem ini. Setelah filem 28 Days Later keluaran UK yang ditayangkan diperingkat antarabangsa bermula pada bulan Jun lepas, pengeluar filem Undead pula mungkin mengambil langkah untuk menghadkan tayangannya diperingkat tempatan (Australia) sahaja. Hanya dipasarkan ke peringkat antarabangsa dalam bentuk DVD/VCD.
Mungkin filem ini sekadar filem 'low-budget' atau pengeluar tidak mahu mengambil risiko kerugian. Walaubagaimanapun, awal-awal lagi saya sudah membeli DVD yang sudahpun masuk ke pasaran lanun ini. Siapa kata mereka 'tak guna sesen'?
Mereka sangat berguna terutama untuk orang macam saya. Nak harapkan pihak berwajib meluluskan filem ini harus saya tunggu berbulan-bulan lagi dan yang pasti, banyak adegan dikerat 16. Siapa yang rugi? Mereka, awak atau saya?
Filem Undead yang diarahkan oleh dua adik beradik kelahiran Australia iaitu Peter Spierig & Michael Spierig ini mengisahkan Berkeley, sebuah pekan kecil yang pada mulanya dipertontonkan kita akan kedamaiannya serta kehidupan yang harmoni sehinggalah pada suatu ketika didatangi oleh ratusan meteorit yang jatuh ke bumi Berkeley tersebut mengakibatkan kebanyakan penduduk di situ telah bertukar menjadi zombie.
Walaubagaimanapun, 6 orang daripadanya telah terselamat dan berjuang melawan zombie-zombie tersebut.
Skrip filem ini dilihat begitu tidak konsisten. Bayangkan makhluk asing yang mendarat ke bumi cuba menukarkan manusia menjadi zombie tanpa sebab munasabah. Apa motif sebenar yang cuba dilakukan (oleh makhluk asing) tidak pula diketahui. Sayang sekali, pengarah dilihat hanya cuba menonjolkan elemen zombie tanpa mempedulikan aspek lain.
Kalau dinilai dari segi logikal, memang ketara sekali dan rasanya tidak perlu saya bincangkan. Walaubagaimanapun, visual efek yang diperlihatkan saya akui agak menarik walaupun kadang-kadang nampak lucu sekali.
Elemen zombie merupakan klise trilogi Romero seperti Night of the Living Dead, Dawn of The Dead dan juga kebanyakan filem-filem zombie klasik yang lain. Saya kira, tidak ada salahnya disitu kerana secara tradisinya (sejak filem Zombie pertama dikeluarkan pada tahun 1968), memang begitulah rupa makhluk zombie dan penonton saya kira boleh menerima-seadanya.
Undead sebenarnya filem zombie yang baik tetapi kombinasi watak makhluk asing dan zombie khususnya saya lihat amat kurang sesuai. Sedang kita ditakutkan dengan zombie, tiba-tiba makhluk asing muncul berpakaian menutup kepala mengajak mereka menyertainya.
Watak Marion juga kelihatan melucukan apatah lagi gaya percakapannya yang kononnya seperti hero koboi macho, bersenjatakan 2 pucuk pistol dengan aksi-aksi kelakar sewaktu menentang zombie.
Apapun, filem ini boleh ditonton untuk sekadar mengisi masa lapang dan juga khusus untuk peminat filem-filem zombie bagi menambahkan koleksi mereka.
SKRIN Rating: C (1.5/5)