Oleh Mahhass
Henry : Portrait of a Serial Killer merupakan filem yang diinspirasikan dari kisah benar. Kisah seorang pembunuh bersiri yang bernama Henry Lee Lucas.
Sewaktu penangkapannya, beliau mengaku bahawa mangsanya telahpun melebihi 500 orang bermula sejak umurnya 13 tahun – mangsa pertamanya adalah seorang remaja perempuan berumur 17 tahun. Beliau ditangkap sejurus selepas itu, lalu dikenakan hukuman penjara selama 6 tahun.
Setelah dibebaskan beberapa tahun kemudian, terjadi sedikit pertengkaran dengan ibunya yang mabuk ketika itu, yang mengakibatkan beliau menikam ibunya sampai mati. Lucas dijatuhkan hukuman penjara selama 30 tahun. Bagaimanapun, setelah hampir 10 tahun di penjara, beliau dibebaskan di bawah pemerhatian polis, meskipun waktu itu beliau sendiri ada mengatakan yang belum bersedia untuk dibebaskan, kerana pastinya beliau akan membunuh lagi!
Dan bermula sejak pembebasan inilah, filem ini menyorot kronologi kisah hidup seorang pembunuh (yang didukung cemerlang oleh Michael Rooker) yang pernah menggemparkan seluruh masyarakat Amerika waktu itu. Barangkali, tidak semuanya ditonjolkan kecuali watak-watak sebenar lain seperti watak Ottis dan adik perempuannya, Becky yang tinggal bersamanya.
Mengikut kajian yang dijalankan, hampir setiap pembunuh bersiri yang wujud di amerika (malah di seluruh dunia) berlatarbelakangkan keluarga disfungsi. Tidak terkecualilah juga dengan Henry, yang sejak kecil lagi sering didera, baik dari segi fizikal, mental mahupun seksual. Malah beliau sering dipakaikan pakaian perempuan untuk ke sekolah. Maka kita akan lihat satu titik punca yang agak jelas - segala-galanya berpunca dari keruntuhan moral keluarga mereka sendiri.
Dan dalam filem ini, oleh kerana terlalu ramai mangsa yang dibunuh beliau, sehinggakan sewaktu ditanya Becky tentang bagaimana cara beliau membunuh ibunya – pelbagai jawapan diberikan. Adakalanya beliau menjawab memukul dengan menggunakan kayu baseball, kemudian katanya menikam, tiba-tiba pula lain yang dijawabnya – mencekik sampai mati dan sebagainya. Seolah-olah beliau telah 'lali' membunuh.
Filem ini juga, sewaktu kali pertama dipertontonkan media dan pengkritik, hampir 30 peratus daripada audiennya memilih untuk keluar panggung (menghentikan tontonan) akibat keganasan moral yang melampau yang dipertonjolkan. Bagi saya, walaupun keganasan itu agak terlalu grafik (mungkin kerana saya pernah tonton yang lebih ganas dari ini) maka tidaklah keterlaluan pada hemat saya. Mungkin jika saya menonton pada waktu itu (1986), saya juga akan terloncat dibuatnya!
Segala elemen keganasan yang divisualkan dalam filem ini amat penting, yang berperanan untuk menggerakan plotnya, dan juga bagi menggambarkan sebuah realisme pembunuh bersiri. Lebih-lebih lagi sewaktu adegan pembunuhan kejam sebuah keluarga yang rata-ratanya menganggap terlalu getir, tegang dan "too damn real for most people". Sebelum itu, hanya mayat-mayat mangsa dipaparkan sambil 'situasi pembunuhan itu diperdengarkan kembali untuk penonton membayangkannya' – sememangnya idea yang unik.
Apa yang menarik lagi tentang filem ini lagi ialah emosi yang berjaya ditimbulkan oleh penulis lakon layarnya, Richard Fire serta diberikan tanggungjawab sepenuhnya kepada sutradara John McNaughton, yang pernah mengemudikan filem-filem (selepasnya) seperti Mad Dog and Glory (lakonan Robert DeNiro), dan juga Wild Things.
Khabarnya, tayangan filem ini tergendala sejak 1986 oleh kerana kontroversi "MPAA Rating" - Amerika meletakkan rating "X", namun akhirnya dilepaskan juga ke pasaran 4 tahun selepas itu dan dilabelkan sebagai UNRATED.
Kontroversi yang timbul barangkali kerana filem ini terlalu ganas (yang sebenarnya jujur!), anti-klimaks serta ia tidak berjaya menjustifikasikan dengan baik di antara karakter sebenar Lee Lucas dengan watak yang dipegang oleh Michael Rooker – tambahan lagi dengan tiadanya keadilan sosial serta hukuman terhadap segala dosa yang telah dilakukannya. Apapun, pada saya, filem ini berjaya merealisasikan sebuah gambaran yang hampir sempurna malah realistik kisah seorang pembunuh bersiri yang sungguh digeruni seantaro amerika suatu masa dahulu.
No comments:
Post a Comment