20 September 2004

Ulasan Filem : Cronos (1994)

Oleh Mahhass

Kembali ber'horror'. Kali ini bukan sembarangan, kerana filem ini telahpun berjaya membolot 9 anugerah di Mexican Film Awards 1993 (Ariel Awards) – termasuk Filem Terbaik. Bukan itu sahaja, filem ini juga mendapat Critics' Prize (Merc-Benz Awards) di Cannes Film Festival 1993. Ya, Cronos adalah filem horror. Kenapa? Filem horror tak boleh menang award filem terbaik?

Apabila saya sebut nama Guillermo Del Toro, barangkali ramai yang menggeleng tak kenal, lainlah jika saya sebutkan filem-filem seperti Mimic, Devil's Backbone, Blade (2) atau yang terbaru Hellboy. Maka boleh jadi juga di kalangan mainstream, mereka lebih kenal filem berbanding pengarahnya. Malah bukan setakat tak kenal, mereka taknak ambil tahu pun.

Buktinya, apabila saya pernah mengesyorkan rakan saya sendiri untuk menonton filem Sepet yang akan ditayangkan di Singapura nanti. Saya memberitahunya filem itu arahan Yasmin Ahmad. (Sambil menggeleng) dia tanya saya siapa Yasmin Ahmad. Saya jawab yang bikin cerekarama Rabun. Sekali lagi dia geleng tanda tak tahu. Lalu saya jelaskan lagi yang Yasmin Ahmad adalah penulis/pengarah yang bikin iklan-iklan Petronas kat dalam TV tu. Ketika itu barulah terdengar "Oooo..." dari mulutnya seraya tersenyum. "Eh.. dia bikin iklan best-best, kalau bikin filem mesti lagi best kan?" - Saya jawab : "..sebab tu la aku suruh kau pergi S'pore, filem tu takkan ditayang sini." Dia jawab balik : "Pulak dah...?"

Sebenarnya, Guillermo Del Toro (pengarah kelahiran Mexico) ini mula bergiat dalam bidang perfileman sewaktu beliau dalam usia 21 tahun lagi. Sehinggalah beliau berjaya pada usia 29 tahun, sesudah meraih gelaran pengarah terbaik untuk filem Cronos ini. Jadi dalam usia semuda itu, bukan hanya berjaya, malah boleh dikatakan cemerlang khususnya untuk genre tersebut. Bukan mudah untuk membikin filem horror, memenangi anugerah lagilah teramat sukar. Tetapi beliau telah merealisasikannya.

Cronos ialah filem yang berkisarkan tentang 'immortaliti'. Ia juga boleh dianggap sebuah homage kepada filem-filem yang diadaptasi dari karya Bram Stoker : Nosferatu, Blood for Dracula (1974), Dracula (Ford Coppola), Vampire, Van Helsing serta filem-filem vampirisme lain. Meskipun homage, namun beliau masih memberikan sebuah karya 100% asli, tanpa perlu mengaitkan nama Bram Stoker atau mana-mana versi lain (vampire/Dracula) sebelum ini.

Di pembukaannya, Cronos membawa kita kembali pada abad ke 14, iaitu seorang alchemist berbangsa Sepanyol yang mencipta sebuah "alat" kecil sebesar tapak tangan dan berbentuk seperti kumbang berwarna emas. Alat tersebut apabila diletakkan di telapak tangan, akan mengeluarkan jarum kecil seterusnya merembeskan kandungannya. Seterusnya menjadikan pemiliknya 'immortaliti' atau tidak akan mati mahupun dimamah usia.

Beberapa abad kemudian, (untuk dijadikan ceritanya) alchemist tersebut telah mati di bawah runtuhan bangunan selepas kejadian gempa bumi besar. (Oh ya, pemakai alat tersebut boleh mati dengan syarat jantungnya ditikam atau ditusuk). Akhirnya kini, alat tersebut (yang tersorok dalam sebuah patung) jatuh ke tangan seorang peniaga (tua) kedai barangan antik bernama Jesus Gris (lakonan Federico Luppi). Di kedai, beliau ditemani cucu perempuannya, Aurora yang sentiasa dilihat membisu seribu bahasa.

Kekuatan kisah seram klasik ini sebenarnya tidak terletak pada ceritanya (barangkali klise), tetapi pada emosi yang dijanakan dalam karakternya yang begitu menyentuh sekali. Persis hubungan seorang datuk dan cucu yang terjalin begitu kuat – lihat sahaja ketika cucunya menyambut kepulangan datuknya, walhal dia tahu bahawa datuknya itu sepatutnya sudah mati. Dan ini menjadikan Cronos sebenarnya sebuah filem horror yang bertemakan kasih sayang. Maka kerana itu filem ini amat cantik lagi menghibakan. Ia diadun dengan sentuhan latarbelakang muziknya yang membentuk dan menggabungkan suasana seram-hiba tersebut.

Filem ini sebenarnya mengutuk immortaliti, malah penyangkalan hukum-ajal itu merupakan satu hukuman terhadap dosa yang pastinya ditanggung – maka dunia itu 'neraka' mereka. Ironinya, kasih sayang masih lagi terjalin di antara mereka sekeluarga. Perhatikan keadaan Jesus – yang tidak lagi 'hidup' secara fizikal dan akhirnya beliau hanya mampu terlantar. Barangkali menantikan sebuah lagi gempa bumi yang dahsyat (sekali lagi) datang mengambil nyawanya untuk selama-lamanya.

No comments: